Kes Kehilangan Kanak² Malaysia Yang Masih Belum Selesai!

Sembang

Kes kehilangan kanak-kanak di Malaysia bukanlah satu kes yang boleh dipandang sebelah mata. Menurut Star Online, dari January sehingga June 2017 sahaja pihak berkuasa telah menerima sebanyak 723 kes kehilangan kanak-kanak di Malaysia.

Rasanya antara kita semua mesti pernah dengar tentang kes Nurin Jazlin Jazimin yang mana telah dilaporkan hilang pada 20 Ogos 2007 dan disyaki telah diculik. Beberapa bulan selepas itu, rakyat Malaysia digemparkan dengan penemuan sebuah beg sukan di kawasan Petaling Jaya.

Di dalam beg tersebut, terdapat sekujur mayat kanak-kanak dalam keadaan bogel. Setelah bedah siasat dilakukan, pihak berkuasa telah mengesahkan yang mayat tersebut adalah mayat Nur Jazlin. Apa yang menyedihkan, hasil siasatan mengesahkan dia telah diseksa dan dicabul sebelum dia meninggal dunia. Sehingga hari ini, kes ini masih dibuka dan suspek masih tidak dapat dikesan.

Tidak dilupakan kes Nurul Nadirah Abdullah atau nama panggilannya Dirang yang berusia lima tahun telah dilaporkan hilang pada 1 Mac 2012. Namun lebih kurang seminggu kemudian, mayat Dirang telah dijumpai dikawasan tapak perumahan yang telah terbengkalai.

Tidak cukup dibunuh, mayatnya juga telah dibakar kerana suspek disyaki cuba menghapuskan bukti. Lebih menyedihkan suspek merupakan orang yang dikenali oleh Dirang dan motif pembunuhan tersebut adalah kerana suspek berdendam dengan nenek mangsa kerana sering dihina dan dipandang rendah.

Namun sehingga hari ini, terdapat beberapa kes kehilangan kanak-kanak yang masih tidak dijumpai dan dapat diselesaikan walaupun telah sejak 1996. Berikut merupakan antara beberapa kes kehilangan kanak-kanak yang mana sehingga hari ini masih belum selesai:

TING SONG SENG

Ketika kes ini berlaku, aku pada masa itu masih berusia lima tahun tapi aku masih ingat lagi betapa besarnya kes ini dan boleh dikatakan seluruh rakyat Malaysia pada masa itu bersama-sama membantu ayah dan ibu Ting Song Seng untuk mencari anak lelaki mereka.

Ting Song Seng dikatakan pada masa itu berusia 7 tahun dan dia dilaporkan hilang ketika sedang menunggu bas sekolah dihadapan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Taman Rasah, Klang pada 15 Januari 1996. Pelbagai gerakan mencari telah dilakukan.

Ibu dan ayah Ting Song Seng telah mengedar hampir 50,000 risalah dan poster tentang kehilangan anak lelaki mereka dan tidak dilupakan mereka juga turut bekerjasama dengan Pos Malaysia dan pihak berkuasa Thailand untuk menjejaki anak mereka namun sehingga hari ini kes ini masih belum selesai. Hari ini jika Ting Song Seng masih hidup, dia telah berumur lebih 30 tahun.

SHARLINIE MOHD NASHAR

Adik Sharlinie telah dilaporkan hilang pada 9 Januari 2008 ketika dalam perjalanan pulang daripada taman permainan yang mana hanya terletak 200 meter daripada kediaman mereka di Taman Medan, Petaling Jaya. Dia sebelum itu dilaporkan sedang bermain di taman permainan tersebut bersama-sama dengan kakaknya.

Disebabkan tiada petunjuk yang kukuh, kes ini masih lagi dibuka dan dalam siasatan pihak berkuasa. Ada yang menyatakan suspek merupakan seorang lelaki dewasa yang berpura-pura sedang mencari kucing dikawasan taman permainan tempat adik Sharlinie hilang.

Walaupun sudah lebih 11 tahun, ibu bapa adik Sharlinie masih memasang harapan yang anak mereka masih lagi hidup dan masih berada di Malaysia. Ketika ditemubual oleh Astro Awani, ibu bapa adik Sharlinie masih berharap anak mereka akan dijumpai dalam keadaan baik walau dimana pun anak mereka berada.

KATALAKI: Kedua-dua kes ini masih dibuka dan andai kata korang ada ternampak kedua-dua mangsa ini, korang masih boleh membuat laporan kepada pihak berkuasa.

Last modified: 4 October 2019