Kisah-Kisah Seram Dari Indonesia!

Sembang

Kembali lagi kita dalam segmen kisah-kisah seram yang popular daripada negara-negara selain Malaysia. Kali ini aku nak bercerita tentang urban legends ataupun kisah seram yang sememangnya popular dekat Indonesia daripada dulu sampailah sekarang.

Sebelum ini aku ada kongsikan kisah seram yang terdapat dekat negara Thailand. Kalau korang belum baca lagi korang boleh klik dekat SINI but jaga-jaga bila baca sebab takut ada “benda” teman korang baca sekali nanti!

SUSTER NGESOT

Mesti korang pernah dengar or tengok movie pasal Suster Ngesot inikan? Setahu aku ada dua movie pasal Suster Ngesot yang telah dikeluarkan. Yang pertama adalah movie bertajuk Suster Ngesot yang dikeluarkan pada tahun 2007 dan dilakonkan oleh Nia Ramadhani dan yang kedua adalah The Secret: Suster Ngesot Urban Legend yang dikeluarkan tahun lepas dan dilakonkan oleh Marshanda.

Suster Ngesot dikatakan bermula di sebuah hospital yang terletak di Jakarta yang menceritakan tentang seorang jururawat yang hilang secara tiba-tiba semasa sedang bertugas. Malam semasa dia sedang bertugas, cuma dia dan seorang doktor saja yang ada didalam hospital tersebut. Doktor tersebut dikatakan telah merogol jururawat tersebut dan bertindak mematahkan kaki jururawat terbabit untuk mengelakan dia melarikan diri sebelum membunuhnya dan menanam mayat jururawat terbabit disekitar hospital tersebut.

Sejak daripada itu, pekerja-pekerja di hospital tersebut mula diganggu satu makhluk yang mamakai baju jururawat dan mengesot disepanjang laluan hospital. Makhluk tersebut dikatakan adalah roh jururawat yang telah dibunuh dan dia cuma mampu mengesot kerana kakinya yang telah dipatahkan oleh doktor yang membunuhnya.

WEWE GOMBEL

Wewe Gombel ini kalau dekat Malaysia kita panggil dia Hantu Kopek atau Hantu T**tek. Masa aku kecik dulu mak aku selalu takut-takutkan aku jangan keluar waktu maghrib ataupun lewat malam sebab nanti Hantu Kopek akan culik aku lepas itu sorok aku dekat Kopek dia buatkan semua orang tak akan jumpa aku. Pelik-pelik betul cerita orang-orang dulu nak menakut-nakut anak dorang hahaha!

Kisah Wewe Gombel ini mulanya berasal dari Bukit Gombel, Semarang Indonesia. Kisahnya pada masa itu ada sepasang suami isteri yang telah berkahwin agak lama namun tidak dikurniakan cahaya mata. Satu hari dia dapat tahu yang suami dia ada perempuan lain dan sebaik sahaja suami dia balik kerumah, dia bertindak membunuh suami dia. Jiran-jiran yang berdekatan yang dapat tahu dia membunuh suami dia telah bertindak menghalau dia daripada kampung tersebut.

Oleh kerana masih lagi kecewa dengan tindakan suaminya, dia telah bertindak membunuh diri dan disebabkan itu roh dia tak tenteram dan menjadi Wewe Gombel. Wewe Gombel dikatakan akan munculkan diri pada waktu matahari terbenam dan menculik kanak-kanak yang masih bermain diluar rumah dan menyorok kanak-kanak tersebut dibawah payudaranya.

BANASPATI

Makhluk seterusnya ini dikatakan sebenarnya datang daripada bangsa jin yang dibela oleh orang-orang dahulu sebagai penghantar santau dan sebagainya. Banaspati mempunyai rupa seperti berbola api ataupun tengkorang yang dikelilingi dengan api marak dan kadangkala ada yang cakap dia menyerupai manusia dengan badan yang terbakar macam Ghost Rider tu hahaha!

Banaspati ini sangat popular di daerah Pulau Jawa. Banaspati juga dikatakan ada dua jenis. Jenis pertama yang selalu orang jumpa adalah Banaspati Geni yang berasaskan api dan udara. Banaspati Geni dikatakan mendapat kekuatan daripada ketakutan so bila ada orang nampak Banaspati Geni dan dia lari ketakutan, makhluk ini akan bertambah kuat dan mengejar orang tersebut dan membakar badan orang tersebut

Jenis yang kedua adalah Banaspati Tanah Liat. Banaspati yang berasaskan tanah ini suka duduk didalam hutan. Bila dia dapat menangkap mangsanya, dia akan mengisap darah mangsanya sehingga kering. Banaspati ini akan mencari mangsanya yang masuk didalam hutan tapi kakinya tidak mencecah tanah atau senang cerita orang pakai kasut bila masuk hutan. So untuk mengelakan diri daripada ditangkap oleh makhluk ini, orang dulu-dulu akan masuk kedalam hutan dengan berkaki ayam.

LEYAK

Makhluk Leyak ini sangat popular di daerah Bali. Kalau korang pernah bercuti dekat Bali mesti korang akan nampak patung-patung Leyak yang terdapat pada depan rumah or kawasan-kawasan kuil.

Leyak ini dikatakan pada mulanya adalah seorang manusia biasa yang mengamalkan ajaran ilmu hitam dan mempunyai sifat cannibalistic or senang cerita dia suka makan manusia. Terdapat tiga jenis Leyak yang sangat terkenal iaitu dua Leyak betina dan satu Leyak jantan. Leyak juga mempunyai sifat seperti hantu penanggal yang mana mangsa dia terdiri daripada wanita mengandung dan bayi yang baru lahir. Leyak akan menghisap darah wanita mengandung dan darah daripada bayi baru lahir ini.

Leyak mempunyai permaisuri dia sendiri yang bernama Rangda. Terdapat satu upacara di Bali yang mana dorang akan ambil topeng yang dipercayai topeng permaisuri Leyak iaitu Rangda dan dorang akan bawa topeng ini mengelingi satu kampung dan memujanya.

JELANGKUNG

Jelangkung ini adalah satu ritual pemujaan yang lebih kurang macam Ouija Board. Orang dulu-dulu akan menggunakan Jelangkung untuk memanggil roh-roh orang yang telah mati untuk bercakap dengan roh tersebut. Alat-alat yang biasanya digunakan untuk ritual Jelangkung adalah sebuah gayung air yang biasanya diperbuat daripada tempurung kelapa, pakaian putih dan batang kayu.

Biasanya dorang akan gunakan alat-alat ini tadi dan jadikannya seperti tubuh manusia yang mana tempurung tadi dijadikan kepala dan diikat pada batang kayu tadi yang dijadikan tubuh badan dan akhir sekali memakaikan baju putih tadi pada batang kayu terbabit.

Terdapat beberapa versi Jelangkung di Indonesia. Misalnya di daerah Jawa, Jelangkung dipanggil dengan nama Nini Thowok dan biasanya ianya digunakan untuk menolak bala. Bagi daerah Minangkabau pula, Jelangkung dipanggil sebagai Lukah Gilo dan lebih kepada satu pertunjukan seperti pertunjukan wayang kulit.

KATALAKI: Korang jangan selalu keluar malam nanti kena culik dengan Wewe Gombel karang!

Last modified: 16 April 2019