Kisah Pemain Premier League, 3 Kali Masuk Penjara

Aktif, Bola, ZAP, ZeKool

Penjara bukan lah sebuah destinasi yang diidamkan oleh setiap manusia. Apatah lagi bagi manusia yang terlibat dalam bidang kerjaya yang memerlukan tahap profesionalisme yang tinggi. Walau bagaimanapun, tak kira lah apa pun bidang kerjaya yang diceburi, manusia tetap manusia, tak pernah lari daripada melakukan kesilapan. Kisah ngeri dan pengajaran dalam sukan bola sepak pernah terjadi kepada Marlon King yang dah merasa masuk penjara sebanyak 3 kali. Korang ingat lagi tak ketajaman Marlon King semasa beraksi di Premier League?

Permulaan karier Marlon King dalam bola sepak tak seindah pemain-pemain bola sepak ternama yang popular di seluruh dunia. Perjalanan Marlon king sebagai pemain bola sepak bermula pada tahun 1998, beraksi bersama kelab bola sepak yang bersaing di liga bawahan England, Barnet sebelum berpindah ke Gillingham. Ketajaman penyudah Marlon King yang beraksi di bahagian serangan mula menyinar ketika beraksi bersama Watford pada tahun 2005, sehingga berjaya menjadi pemain penting dan membantu Watford beraksi di Premier League pada tahun 2006.

Di sebalik perjalanan Marlon King di atas padang yang penuh liku, kehidupan normal Marlon King juga terganggu disebabkan beberapa kesalahan yang dilakukan. Pada tahun 2002, Marlon King pernah dijatuhkan hukuman penjara selama 18 bulan selepas didapati bersalah menerima barangan yang dicuri melibatkan kereta BMW yang dipandu oleh Marlon King. Masa ni, Marlon King masih lagi beraksi bersama Gillingham yang membantu hukuman Marlon King dikurangkan kepada 9 bulan. Selepas dibebaskan, Marlon King kembali ke atas padang bersama Gillingham.

Pada tahun 2009 ketika beraksi bersama Wigan Athletic, Marlon King sekali lagi ditahan oleh pihak berkuasa disebabkan kesalahan mencederakan seorang wanita sehingga dimasukkan ke hospital. Marlon King akhirnya terpaksa akur dengan perintah mahkamah yang menjatuhkan hukuman penjara selama 18 bulan atas kesalahan serangan seksual dan disenaraikan sebagai penjenayah seksual selama 7 tahun. Selepas didapati bersalah, kontrak Marlon King bersama Wigan Athletic ditamatkan serta-merta.

Pada tahun 2013, malang sekali lagi menyapa Marlon King apabila terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan kecederaan teruk kepada orang awam dan sekali lagi terlibat dalam kemalangan, kali ni lari daripada tempat kemalangan. Walaupun mengaku tidak bersalah, Marlon King tetap didenda hukuman penjara selama 18 bulan, lesen memandu digantung selama 3 tahun dan bersara daripada terlibat dalam sukan bola sepak profesional.

KATALAKI: Bermacam-macam ujian yang diterima oleh Marlon King sepanjang bergelar pemain bola sepak profesional. Semoga kisah Marlon King ni menjadi pengajaran untuk semua termasuk lah kita sendiri.

Last modified: 14 July 2020