Kisah ‘Pembunuh Bersiri’ Yang Menjadi Penyanyi

Sembang, ZeKool

Kisah pembunuhan ini berlaku di sebuah bandar kecil di Jakarta selatan, Indonesia. Dilaporkan seorang lelaki bernama Very Idham Henyansyah, atau lebih dikenali dengan nama Ryan, telah melakukan jenayah bunuh dimana sebanyak 11 orang menjadi mangsanya. Siri pembunuhannya berakhir selepas beberapa bag yang berisi kepala dan cebisan badan manusia dijumpai di bandar tersebut. Identiti mangsa yang dijumpai di dalam bag tersebut adalah Heri Santoso, seorang ahli perniagaan berusia 40 tahun.

Selepas polis pergi ke rumah Heri, mereka menemui satu nota yang boleh dikaitkan dengan Ryan. Hasil siasatan polis selama tiga hari mendapati bag-bag tersebut adalah milik Ryan, yang menetap di sebuah pangsapuri tidak jauh dari lokasi bag-bag tersebut dijumpai. Sewaktu ditangkap, Ryan sedang membeli-belah dengan menggunakan kad kredit milik Heri. Selepas ditahan, Ryan pada awalnya hanya mengaku membunuh Heri Santoso, tapi lepas siasatan berlanjutan, Ryan mengaku telah membunuh beberapa orang lagi di bandar Jombang.

KEHIDUPAN AWAL RYAN

Semasa disoal oleh pakar psikiatri, Ryan banyak menyalahkan kehidupan lampaunya bersama keluarganya. Dia menyatakan trauma yang dia alami semasa sedang membesar menjadi punca dia melakukan jenayah bunuh. Dia dilahirkan pada 1 Februari 1978. Membesar dalam komuniti yang boleh dikatakan warak dan ramai menyara diri dengan berladang. Zaman kecil Ryan dikatakan sebagai seorang yang pendiam dan lebih suka menyendiri. Dia kurang bercakap dengan adik-beradiknya dan juga ibu bapanya. Ryan menyatakan dia tak pernah rasa bahagia masa zaman kanak-kanaknya.

Semasa berumur 10 tahun, Ryan menunjukkan tanda-tanda tekanan mental dan bertindak ganas. Dia mula melawan dan marah-marah kalau hatinya disakiti. Memang tidak ada tempat untuk mengadu, jadi yang dia boleh buat cuma melepaskan amarahnya saja.

DIA SEORANG REMAJA JIWA KACAU

Ketika berumur 16 tahun, Ryan memasuki alam persekolahan menengah di Jombang. Ternyata sekolah memberikannya ketenangan yang tidak dapat diperolehi di rumahnya. Pengetua sekolah juga menyatakan bahawa Ryan seorang pelajar yang baik, rendah diri dan pandai. Dia tidak menimbul sebarang masalah di sekolah. Jadi agak terkejut juga bila didapati Ryan terlibat dengan jenayah bunuh.

Ketika remaja juga, Ryan mengakui bahawa dia seorang homoseksual. Di sekolah, dia sering diketepikan oleh pelajar lain sebab berpewatakan lembut seperti perempuan. Dia juga lebih senang berkawan dengan perempuan berbanding lelaki. Tapi ada seorang guru agama yang rapat dengan dia. Dalam diam Ryan sebenarnya suka dengan guru agama tu tapi dikecewakan lepas dapat tahu guru tersebut bakal bernikah dengan gadis pilihan. Selepas dikecewakan, Ryan yang penuh rasa marah mencari tempat untuk melepaskan amarahnya. Dalam masa setahun selepas merasai kecewa, Ryan melakukan pembunuhan pertamanya.

MENJADI SELEBRITI SELEPAS MEMBUNUH

Semasa di dalam penjara, Ryan menceritakan kisah hidupnya dengan kata-katanya sendiri yang ditulis dalam bentuk autobiografi yang bertajuk ‘The Untold Story of Ryan’. Dia menceritakan segala butir-butir pembunuhan yang pernah dia lakukan, termasuk lakaran tempat dia menanam mangsa yang dibunuhnya. Dengan tulisannya ini, dia merupakan pembunuh yang menjadi selebriti selepas autobiografinya menjadi popular.

Ryan juga ada menerima tawaran untuk merakamkan album kerana minatnya terhadap bidang nyanyian sejak kecil. Albumnya berjudul ‘Persembahan Terakhir’ telah menjadikannya seorang penjenayah sensasi di Indonesia dan dikenali sebagai ‘Penyanyi Pembunuh Bersiri’. Dia dikatakan suka dengan populariti yang diterimanya sepanjang perbicaraan berjalan.

Pada tahun 2009, selepas perbicaraan selesai, Ryan dijatuhkan hukuman mati atas kesalahan membunuh Heri Santoso. Walaupun beberapa rayuan telah dibuat olehnya, mahkamah tetap menjatuhkan hukuman mati terhadap Ryan.

KATALAKI: Nak jadi terkenal bukan macam ni caranya…

Last modified: 3 June 2020