Kisah Permusuhan Lin Dan & Chong Wei Kini Tamat

Aktif, ZAP, ZeKool

Jaguh badminton dunia yang pernah berkali-kali membanggakan negara China dan menghampakan rakyat Malaysia, Lin Dan yang bakal berumur 37 tahun pada 14 Oktober 2020, akhirnya secara rasmi mengumumkan persaraan selepas 20 tahun mengabdikan diri kepada sukan badminton. Berita persaraan Lin Dan diumumkan oleh Lin Dan sendiri menerusi aplikasi Weibo, salah satu aplikasi media sosial paling popular di China.

Kalau korang boleh ingat lagi, pada 13 Jun 2019, selepas legenda sukan badminton Malaysia, Datuk Lee Chong Wei secara rasmi bersara, perhatian seterusnya tertumpu kepada Lin Dan, musuh ketat di dalam gelanggang dan kawan baik di luar gelanggang kepada Datuk Lee Chong Wei, yang menanti saat sempurna untuk menamatkan karier profesional dalam bidang sukan badminton. Menurut jangkaan, Lin Dan ada kemungkinan untuk merebut peluang beraksi buat kali terakhir di pentas Sukan Olimpik yang sepatutnya berlangsung di Tokyo pada tahun 2020 sebelum bersara. Tapi disebabkan pandemik COVID-19 yang menyebabkan Sukan Olimpik Tokyo terpaksa ditangguhkan ke tahun 2021, Lin Dan akhirnya terpaksa akur dengan tahap kecergasan dan kesihatannya yang tak mampu lagi bersaing dengan jaguh-jaguh badminton muda dari China untuk merebut tempat di Sukan Olimpik Tokyo.

Persaraan Lin Dan daripada gelanggang sukan badminton ibarat tirai yang ditutup dengan perlahan tapi sempurna apabila tamatnya permusuhan paling sengit yang pernah berlaku dalam sejarah badminton melibatkan dua legenda sukan badminton, Lin Dan dan Datuk Lee Chong Wei yang menamatkan karier masing-masing selang setahun. Datuk Lee Chong Wei berbakti kepada negara dan sukan badminton selama 19 tahun, Lin Dan pula selama 20 tahun. Kedua-duanya kali pertama berjumpa pada tahun 2000, di Asian Junior Championships yang berlangsung di Kyoto, Jepun.

Mengikut rekod, Lin Dan dan Datuk Lee Chong Wei pernah berentap dalam 40 perlawanan sepanjang karier, dengan jumlah kemenangan yang lebih berpihak kepada Lin Dan iaitu sebanyak 28 kemenangan dan 12 kemenangan yang pernah dicapai oleh Datuk Lee Chong Wei ke atas Lin Dan. Kalau nak dibandingkan daripada segi pencapaian, Lin Dan pernah menang pingat emas di Sukan Olimpik sebanyak 2 kali, World Championships sebanyak 5 kali dan BWF Super Series sebanyak 21 kali kejuaraan. Datuk Lee Chong Wei pula pernah menang pingat perak di Sukan Olimpik sebanyak 3 kali, pingat perak di World Championship sebanyak 3 kali dan kejuaraan BWF Super Series sebanyak 46 kali.

Kalau dalam sukan bola sepak, Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi yang sentiasa dibalahkan siapa yang paling hebat. Tapi bagi peminat sukan badminton, perbalahan untuk menentukan siapa pemain badminton terhebat sepanjang zaman, sama ada Lin Dan atau Datuk Lee Chong Wei takkan pernah berhenti walaupun kini masing-masing dah menamatkan permusuhan di dalam gelanggang secara rasmi. Takde lagi dah perlawanan badminton yang dinanti-nantikan dan mendebarkan yang menemukan Lin Dan dan Datuk Lee Chong Wei dalam gelanggang yang sama di pentas tertinggi. Tengok balik video-video lama perlawanan Lin Dan dan Datuk Lee Chong Wei kat YouTube je la lepas ni.

Kalau korang berniat nak tengok balik video perlawanan yang melibatkan Lin Dan dan Datuk Lee Chong Wei, mungkin korang boleh fikir balik perlawanan-perlawanan epik peringkat akhir yang pernah menemukan dua legenda badminton ni, antaranya perlawanan akhir di Sukan Olimpik pada tahun 2008 dan sekali lagi dipertemukan di perlawanan akhir Sukan Olimpik 2012 yang menyaksikan Datuk Lee Chong Wei kempunan merasa pingat emas Sukan Olimpik disebabkan kebijaksanaan Lin Dan di dalam gelanggang.

KATALAKI: Lin Dan dah bersara, ramai lagi pelapis dari China yang tengah menuju ke puncak dunia. Datuk Lee Chong Wei bersara, rasa macam dah lama betul tak rasa berdebar-debar tengok hero negara berjuang dalam gelanggang badminton.

Last modified: 17 July 2020