Kisah Remaja Perempuan Diculik Sehingga Beranak

Sembang, ZAP, ZeKool

Pada 6 Mei 2013, 3 orang perempuan dewasa dan seorang kanak-kanak diselamatkan oleh pihak berkuasa daripada terus menjadi mangsa culik seorang lelaki yang dikenali sebagai Ariel Castro, selama 11 tahun sejak tahun 2002. 3 orang wanita tersebut dikenali sebagai Michelle Knight, Amanda Berry dan Gina DeJesus, masing-masing berumur 21 tahun, 16 tahun dan 14 tahun ketika diculik pada waktu yang berbeza di sekitar tahun 2002 sehingga 2004 di Cleveland, Amerika Syarikat. Seorang kanak-kanak yang berusia 6 tahun juga berjaya diselamatkan, anak kepada Amanda Berry, selepas dirogol oleh Ariel Castro.

Michelle Knight menjadi mangsa penculikan pertama yang dilakukan oleh Ariel Castro pada tahun 2002 sebelum Amanda Berry menjadi mangsa ke-2, diculik ketika pulang dari tempat kerja pada tahun 2003 dan Gina DeJesus menjadi mangsa terakhir, diculik semasa balik dari sekolah. Sepanjang diculik, semua mangsa diikat, diseksa, dirogol, dibiarkan kelaparan dan dikurung di bahagian tingkat bawah tanah (basement) rumah Ariel Castro. Michelle Knight dikatakan mengandung sebanyak 5 kali selepas dirogol oleh Ariel Castro, tapi digugurkan oleh Ariel Castro dengan cara menendang, menumbuk dan menghempas Michelle Knight ke dinding setiap kali disahkan mengandung.

Selama 11 tahun menjadikan Michelle Knight, Amanda Berry dan Gina DeJesus mangsa culik, Ariel Castro tetap menjalani kehidupan yang biasa di luar, bekerja sebagai pemandu bas sekolah, berborak dengan jiran dan aktif menggunakan media sosial. Penyeksaan Michelle Knight, Amanda Berry dan Gina DeJesus akhirnya berakhir pada 6 Mei 2013 apabila Amanda Berry menjerit sekuat hati meminta pertolongan daripada jiran rumah sebelah selepas Ariel Castro keluar meninggalkan rumah. Jeritan Amanda Berry didengar oleh beberapa orang jiran sebelum berjaya diselamatkan, bersama anak perempuannya yang berusia 6 tahun, dibawa ke rumah jiran untuk menghubungi pihak polis. Michelle Knight dan Gina DeJesus diselamatkan selepas pihak polis tiba dan Ariel Castro ditangkap serta-merta.

Pada 1 Ogos 2013, Ariel Castro dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup, tambahan 1000 tahun, selepas mengaku bersalah terhadap lebih daripada 900 tuduhan termasuk menculik, merogol dan menyebabkan kematian bayi dalam kandungan. Sebulan kemudian, Ariel Castro ditemui mati tergantung di dalam sel, menggunakan cadar tilam untuk membunuh diri.

Rumah Ariel Castro yang dijadikan lokasi untuk menculik dan mengurung Michelle Knight, Amanda Berry dan Gina DeJesus, diruntuhkan pada 7 Ogos 2013, sambil disaksikan dan diruntuhkan sendiri oleh Michelle Knight dan beberapa orang ahli keluarga Gina DeJesus.

KATALAKI: Jangan biasakan berjalan seorang diri tanpa ditemani, terutama sekali perempuan.

Last modified: 12 May 2020