Kisah Sebenar Amukan Berdarah Prebet Adam

Feature, Sembang, ZAP

ϟ Trending

Pada tahun 1987 negara kita pernah digemparkan dengan satu kes amukan daripada seorang Prebet tentera yang melakukan tembakan rambang di pusat bandar raya. Prebet tersebut yang bernama Adam Jaafar dikatakan menggunakan M16 yang diambil dari kem tentera di Ipoh dan telah mengakibatkan satu kematian. Memang waktu ni walaupun tiada media sosial untuk tularkan insiden tersebut, ia tetap mengejutkan seluruh negara dan warga Lembah Klang terutamanya. Walau bagaimanapun, insiden ini tetap dibanjiri dengan kisah-kisah rekaan sehingga ramai yang keliru dengan punca sebenar amukan berdarah tersebut.

Kali ini Thelaki akan bawakan kisah sebenar kenapa Prebet Adam bertindak sedemikian dan apa kisah palsu yang selalu diceritakan kepada orang ramai suatu ketika dahulu. Tujuan kami membuka semula kisah ini bukan lah untuk menimbulkan spekulasi tambahan, tetapi sekadar memperbetulkan persepsi yang salah terhadap kes ini. 

KISAH ‘DONGENG’ PUNCA AMUKAN PREBET ADAM

Memang dah menjadi lumrah orang kita agaknya yang lebih gemar menghebahkan fake news berbanding cerita sebenar yang berfakta. Kisah amukan Prebet Adam ini juga tidak terlepas dengan fake news yang dikira agak sensasi juga. Yang peliknya, ramai pula yang percaya dengan kisah dongeng tentang punca amukan Prebet Adam ini. Kisah dongeng yang dimaksudkan itu adalah, Prebet Adam dikatakan mengamuk kerana adiknya telah mati dipukul oleh salah satu kerabat diraja di Malaysia.

Selepas insiden amukan Prebet Adam, negara kita ketika itu secara tiba-tiba hangat dengan khabar angin yang mendakwa Adam berbuat demikian sebagai membalas dendam ke atas kematian adiknya. Entah dari mana lah munculnya kisah dongeng yang tidak berasas seperti ini dan tentu sekali ia telah menimbulkan sedikit ketegangan antara rakyat dan keluarga kerabat diraja waktu itu.

Tentang kematian adiknya pula, sebenarnya adik perempuannya sudah lama meninggal dunia semasa usianya masih muda. Dikatakan adiknya meninggal dunia di hadapan mata Adam sendiri apabila rumah mereka di Pulau Pinang terbakar. Adik perempuannya meninggal dunia ditempat kejadian akibat ditimpa sisa kebakaran. Kisah ini juga ada diceritakan oleh ahli keluarga Adam sendiri bagi menyangkal dakwaan bahawa adiknya menghembuskan nafas terakhir akibat dipukul oleh kerabat diraja. 

PUNCA SEBENAR AMUKAN PREBET ADAM

Peristiwa lebih 30 tahun dahulu berlaku di Chow Kit sehingga menyebabkan kawasan Chow Kit lengang seketika. Prebet Adam dikatakan berlari sambil menembak secara rambang selepas berlaku perselisihan faham dengan seorang pemilik hotel. Tembakan rambang itu telah mengakibatkan kematian seorang lelaki. Tidak cukup dengan itu, Prebet Adam juga dikatakan cuba membakar sebuah stesen minyak berdekatan. Tragedi amukan Prebet Adam berakhir pada petang esoknya selepas berjaya dipujuk oleh seorang pegawai tinggi tentera, Leftenenan Jeneral (B) Abdul Ghani Abdullah.

Selepas disoal siasat, punca sebenar amukan Prebet Adam adalah kerana dia menjadi mangsa kepada penderaan secara emosi dan fizikal semasa di kem ketenteraan. Penderaan itu dilakukan oleh seniornya yang sering membulinya sewaktu di kem. Kesan daripada penderaan ini, Prebet Adam hilang pertimbangan sehingga tercetusnya insiden amukan di Chow Kit. Menurut laporan, anggota tentera yang melakukan penderaan terhadap Adam telah pun dihukum di mahkamah tentera di atas perbuatannya.

SUDAH JELAS DI PERINGKAT MAHKAMAH!

Punca sebenar amukan Prebet Adam telah pun dijelaskan di dalam mahkamah semasa perbicaraan, dan Adam sendiri telah membuat pengakuan bersumpah tentang isu kematian adiknya yang diperkatakan mati dipukul oleh kerabat diraja, yang mana ia tidak benar sama sekali. Jadi sebenarnya isu ini sudah lama selesai di peringkat mahkamah dan tiada sebab untuk masyarakat mempercayai lagi kisah dongeng Prebet Adam.

Selesai perbicaraan, pihak Mahkamah memutuskan untuk menghantar Adam ke Hospital Bahagia Tanjung Rambutan kerana mengalami masalah mental. Keputusan ini juga telah menggugurkan segala pertuduhan ke atasnya. So rasanya memang dah jelas punca sebenar tentang amukan Prebet Adam tu. Tapi amat penting sebenarnya untuk kita sentiasa mencari fakta sebenar dalam kes-kes seperti ini sebab takut ia akan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat kita sehingga timbul persepsi yang kurang enak. Apa yang telah ditulis dan dijelaskan adalah sekadar perkongsian sejarah yang pernah berlaku suatu ketika dahulu.

KATALAKI: Adakah anda tergolong dalam golongan yang masih percaya dengan kisah dongeng amukan Prebet Adam?

ϟ Trending

Last modified: 3 September 2020