Kisah Sebenar Lapu-Lapu Hero Mobile Legends

Sembang, ZAP, ZeKool

Mobile Legends boleh dikira sebagai satu mobile game yang terkenal di Malaysia. Tak kira peringkat umur berapa, adik-adik yang di sekolah rendah pun main game ni. Tambahan lagi, musim Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ni menambahkan lagi jumlah pemain aktif dalam game ni. Siapa yang main Mobile Legends ni mesti perasan sesetengah watak hero yang diadaptasi daripada kisah lagenda, mitos ataupun daripada kisah sebenar. Seperti hero Badang yang diadaptasi dari watak lagenda Malaysia dan juga Gatotkaca seorang pahlawan dari Indonesia. Tapi kali ni aku nak share pasal satu watak hero yang berasal dari Filipina, dikenali dengan nama Lapu-Lapu.

ASAL USUL LAPU-LAPU

Lapu-Lapu sebenarnya merupakan pemerintah di Wilayah Mactan, sebuah pulau di Visayas yang kini menjadi sebahagian Filipina moden. Lapu-Lapu juga dikenali dengan panggilan Datu Lapu-Lapu dan disebut sebagai seorang pahlawan pertama dari kepulauan terbabit yang menentang penjajahan Portugis. Soal agama Lapu-Lapu pula masih menjadi perdebatan sebab tiada catatan yang jelas mengenai agamanya. Tapi dikatakan Lapu-Lapu tidak memakan babi atau haiwan darat yang lain. Secara logiknya sebab dia merupakan orang laut, jadi makanan diet orang laut adalah dari laut.

Di Filipina, Lapu-Lapu diangkat sebagai hero pertama bangsa Filipina di atas keberaniannya menentang penjajah Portugis. Lapu-Lapu juga dikatakan tidak berasal dari kepulauan Filipina, tetapi dari Borneo. Walaupun tarikh ketibaannya tidak diketahui, kebanyakan catatan sejarah menyatakan Lapu-Lapu sampai di pesisiran Sugbo (kini disebut sebagai Cebu) dari pulau Borneo. Pada ketika itu, Rajah Humabon sedang memerintah Sugbo.

Lapu-Lapu yang tiba di situ meminta Rajah Humabon mencarikan tempat untuk dia menetap di kawasan sekitar. Rajah Humabon menawarkan wilayah Mandawili (kini dikenali sebagai Mandaue) kepada Lapu-Lapu, termasuk lah wilayah Opon. Tak lama lepas tu, Lapu-Lapu pun menjadi ketua wilayah dan digelar sebagai Datu Lapu-Lapu dari pulau Mactan.

PEPERANGAN MENENTANG PENJAJAH PORTUGIS

Lapu-Lapu juga dikenal dengan nama Cilapulapu, Si Lapulapu, Salip Pulaka, Cali Pulaco, dan LapuLapu Dimantag. Walaupun para pengkaji sejarah tidak sebulat suara dalam menentukan nama sebenar Lapu-Lapu, tetapi kisah pahlawan ini selalu terpahat dalam sejarah penentangan penjajah Portugis, iaitu Ferdinand Magellan yang memulakan ekspedisi Sepanyol.

Pada tahun 1521, Ferdinand Magellan dengan tidak sengaja menemui Pulau Homonhon (kini dikenali dengan nama Samar) ketika dia dalam perjalanan ke kepulauan rempah di Indonesia. Ketika di kepulauan itu, Magellan memulakan penjajahannya melalui Rajah Humabon dengan mengajak mereka untuk memasuki agama Kristian. Insiden ini dikatakan sebagai permulaan agama Kristian diperkenalkan di Filipina.

Selepas mendapat layanan yang mesra dari Rajah Humabon, Magellan kemudian berusaha mengenalkan agama Kristian ke pulau-pulau berdekatan seperti Mactan. Dan di sini lah kesilapan besar Magellan sebab pulau Mactan diketuai oleh Lapu-Lapu. Lapu-Lapu tidak menerima tawaran Magellan dan selepas itu berlaku lah Perang Mactan. Mengikut catatan, Rajah Humabon sendiri yang provoke tentera Magellan untuk berperang melawan Lapu-Lapu dan tenteranya.

Lapu-Lapu bersama bala tenteranya seramai 1,500 orang menyerang tentera Ferdinand Magellan dengan menggunakan tombak dan parang. Magellan terbunuh di dalam peperangan tersebut. Tidak lama lepas tu, Lapu-Lapu dikatakan kembali ke tempat asalnya, iaitu di Borneo dan menghabiskan sisa hidupnya bersama anak-anak dan isterinya.

SATU PENGHORMATAN DI FILIPINA

Bagi menghormati kemenangan Lapu-Lapu, monumen tembaga setinggi 20 meter didirikan di pulau Mactan, dan kota Opon di Cebu diubah nama menjadi Kota Lapu-Lapu. Setiap tahun, Kota Cebu akan mengadakan sambutan pada 27 April yang disebut Kadaugan sa Mactan (kadaugan bermaksud bebas untuk semua) bagi memperingati kemenangan dalam Pertempuran Mactan. Dalam Mobile Legends, boleh dikira Lapu-Lapu ni sebagai watak hero dari kisah sebenar yang pernah terjadi dan dicatatkan dalam sejarah. Pemain Mobile Legends di Filipina mesti bangga dapat gunakan hero mereka ni.

KATALAKI: Sebenarnya sambil-sambil main game pun kita boleh belajar pasal sejarah sikit.

Last modified: 30 May 2020