Kisah Seram Amityville Bermula Daripada Satu Pembunuhan Kejam

Sembang, ZAP

Sebelum kisah seram aktiviti paranormal Amityville ni popular dan banyak diadaptasikan kepada filem dan juga drama seram, terdapat satu kes pembunuhan kejam yang berlaku di situ sebenarnya. Pada bulan November tahun 1974, Ronald DeFeo Jr dilaporkan telah membunuh seluruh keluarganya dengan kejam. Kes pembunuhan ini juga menjadi ilham kepada pembikin filem untuk adaptasi menjadi satu horror film. Kalau di Malaysia mungkin bila sebut nama ‘Amityville’ kita tak akan rasa seram sangat, tapi bagi mereka yang berada di New York memang akan rasa keseramannya (ya Amityville ini berada di New York). Rumah berlakunya kes pembunuhan ini juga pernah dinamakan sebagai Top 10 rumah paling berhantu oleh majalah TIME. Mungkin kes pembunuhan kejam ini lah yang menjadikan ia dihantui.

AKTIVITI PARANORMAL DIRAGUI, TETAPI KES PEMBUNUHAN MEMANG BENAR BERLAKU

Terdapat khabar angin yang mengatakan kejadian aneh atau aktiviti paranormal yang berlaku dalam rumah itu mungkin ditokok tambah oleh penghuni yang duduk di situ. Tetapi tragedi pembunuhan satu keluarga yang tinggal di situ sebelum ini memang benar-benar berlaku. Pada waktu pagi 13 November 1974, enam anggota keluarga DeFeo didapati dibunuh dengan senapang berkaliber .35. Kesemuanya dibunuh di atas katil masing-masing. Ronald DeFeo Jr, berusia 23 tahun ketika itu mengaku bersalah membunuh seluruh ahli keluarganya. Dia merupakan anak sulung dalam keluarga itu.

Kes pembunuhan Amityville yang ngeri itu dianggap sebagai punca berlakunya gangguan makhluk halus di rumah tersebut. Namun, ada juga yang berpendapat bahawa keluarga DeFeo juga menjadi mangsa kepada gangguan makhluk halus sehingga mempengaruhi Ronald untuk membunuh seluruh ahli keluarganya. 

Menurut laporan, zaman kanak-kanak Ronald DeFeo Jr tidak lah kaya dan tidak lah susah. Sekadar cukup untuk mengharungi kehidupan seperti biasa. Namun, ayahnya seorang lelaki yang penuh dengan sifat dominan dan kasar. Manakala ibunya pula tidak begitu kelihatan dek kerana sikap suaminya itu. Mungkin disebabkan persekitaran yang kurang membina di rumah, Ronald mula mengambil dadah dan juga minuman beralkohol untuk lupakan masalah di rumah. Dia dikatakan pernah menyerang secara fizikal dan mengancam ayahnya dengan mengacukan pistol.

BERPURA-PURA TIDAK TAHU PADA AWALNYA…

Basically Ronald ni membesar jadi remaja yang bermasalah. Jadi pada tahun 1974, satu tragedi berlaku ke atas keluarga DeFeo. Ronald dikatakan pada awalnya berpura-pura tidak tahu apa yang berlaku dan sempat berlakon panik memasuki sebuah bar sekitar jam 6.30 pagi sambil menjerit “Saya perlukan bantuan! Ahli keluarga saya telah ditembak mati!.” Kemudian beberapa pelanggan yang masih di situ mengekorinya pulang ke rumah dan melihat sendiri mayat keluarganya terkulai di atas katil masing-masing. 

Semasa polis membuat siasatan, pelbagai alasan yang diberikan oleh Ronald. Ada satu ketika dia menyatakan bahawa dia tiada di rumah kerana sedang bekerja semasa tragedi itu berlaku, dan bila pulang ke rumah dia mendapati kesemua ahli keluarganya telah dibunuh. Tapi pihak polis mendapati cara kematian mereka adalah sangat pelik kerana tiada kesan pergelutan langsung. Seolah-olah si mati kenal dengan si pembunuh. Kemudian Ronald menukar ceritanya lagi dengan memberitahu seorang pembunuh upahan memaksanya melihat sendiri keluarganya dibunuh. Selepas ditekan oleh pihak polis, akhirnya Ronald mengaku bahawa dia lah pembunuh itu. 

Sepanjang Ronald menjalani hukuman, dia dikatakan menukar kisah bagaimana keluarganya dibunuh. Menurutnya, adik perempuannya yang membunuh ayahnya dan kemudian ibunya yang kecewa membunuh kesemua adik-beradiknya. Dalam cerita ini, Ronald hanya membunuh ibunya sahaja. Lagi satu versi menyatakan adik perempuannya yang membunuh kesemua ahli keluarganya dan dia cuma mempertahankan diri dan membunuh adiknya itu. Tak tahu lah nak percaya cerita yang mana satu. 

DARI TRAGEDI PEMBUNUHAN KE SEBUAH KISAH SERAM

George dan Kathy Lutz merupakan penghuni seterusnya selepas tragedi pembunuhan keluarga DeFeo itu. Mereka mula mendiami rumah tersebut selang 28 hari daripada kes pembunuhan tersebut. Selepas itu, bermula lah kisah gangguan makhluk halus yang menghantui rumah tersebut. Mereka mendakwa salah seorang anak mereka telah dirasuk oleh hantu, sama macam dalam filem The Exorcist. Bukan itu sahaja, penampakan lembaga hitam juga dikatakan ada di dalam rumah tersebut. Walaupun ada yang sangsi dengan kisah mereka dan mendakwa keluarga Lutz hanya mahu membuat duit hasil daripada cerita sensasi itu, mereka dilihat amat yakin dengan kisah mereka. George dan Kathy Lutz juga dikatakan pernah mengambil ujian pengesan pembohongan (lie detector test) mengenai kisah mereka, dan mereka didapati tidak menipu. 

KATALAKI: Banyak spekulasi lah kisah seram dia, tapi kisah pembunuhan kejam tu memang berlaku betul…

Last modified: 4 September 2020