Kisah Superhero Sebenar Yang Membelah Gunung

Sembang, ZAP, ZeKool

Ini merupakan kisah yang bagi aku patut dijadikan teladan untuk kita semua. Ia merupakan kisah di mana seorang lelaki bernama Dashrath Manjhi, dari India telah membuktikan pada dunia bahawa tidak ada apa yang dapat menghalang semangat serta keazaman seseorang untuk melakukan sesuatu. Apa yang dilakukan oleh lelaki ini telah membuatkan dia menjadi superhero sebenar, dan bukannya superhero ciptaan manusia seperti di dalam komik. Jadi apa kisah sebenar Dashrath Manjhi ni sehingga dia digelar lelaki gunung ataupun ‘Mountain Man’. 

SEMUANYA BERMULA DARI KISAH CINTA

Manjhi lahir pada tahun 1929 dalam keluarga yang agak susah dan dikatakan keluarga mereka berada dalam kasta paling bawah di India. Semasa beliau masih remaja, beliau dikatakan telah lari daripada rumah untuk bekerja di sebuah perlombongan arang batu. Selama tujuh tahun lamanya beliau meninggalkan kampung halamannya, tetapi kemudian kembali semula. Bila Manjhi balik sahaja ke kampung halamannya, beliau terserempak dengan seorang gadis dan mula jatuh hati. Gadis tersebut bernama Falguni Devi dan dikatakan adalah cinta hatinya semasa zaman kanak-kanak. 

Pada awalnya hubungan mereka dihalang oleh bapa Devi, tetapi Manjhi tetap bertegas mahu mengahwini Devi. Tak lama lepas itu, mereka mula hidup sebagai suami isteri dan Devi pun melahirkan anak lelaki pertama mereka. Kemudian pada tahun 1960, Devi hamil lagi buat kali kedua. Untuk kehamilan yang kedua ini, Devi dikatakan telah mengalami kemalangan.

Devi yang sedang sarat mengandung ketika itu ingin membawakan lunch buat suaminya itu yang berada di ladang. Tapi untuk pergi ke ladang tersebut, Devi perlu mendaki satu gunung. Kalau tak menaiki gunung tersebut, mungkin agak jauh untuk sampai ke ladang tersebut. Malang tidak berbau, Devi tergelincir jatuh dari gunung tersebut. Kemudian seseorang dari kampungnya bergegas pergi ke Manjhi untuk memaklumkan kemalangan yang ditimpa isterinya.

Manjhi menjadi panik selepas melihat isterinya itu berlumuran dengan darah dan membawanya ke rumah sakit berhampiran. Tapi malangnya rumah sakit paling dekat adalah sejauh 70 kilometer. Sampai sahaja ke hospital Devi disahkan meninggal dunia, tapi Devi sempat melahirkan seorang bayi perempuan. Tragedi ini betul-betul membuatkan Manjhi berasa sedih dan marah. 

MISI BALAS DENDAM MEMBELAH GUNUNG

Manjhi yang kesedihan dan patah hati mula memaki gunung tersebut kerana membuatkan dia kehilangan orang yang paling dia sayang. Beliau juga berjanji akan memecah dan membelah gunung tersebut. Dengan berbekalkan keazaman dan sepasang tukul dan pahat, Manjhi memulakan misi yang amat mustahil dalam hidupnya. Beliau berazam untuk mencangkul gunung tersebut sikit demi sedikit dan membentuk sebuah jalan supaya tidak ada orang lain yang mengalami nasib yang sama seperti isterinya.

Orang kampung termasuk ayahnya mengejeknya diatas tindakan yang dilakukan Manjhi. Tidak mungkin gunung sebesar itu dapat dibelah oleh seseorang. Tapi terdapat seorang wartawan tempatan tertarik dengan apa yang dilakukan oleh Manjhi dan mula mendekatinya untuk mendapatkan kisah sebenar Manjhi. Tahun demi tahun berlalu, ramai penduduk kampung yang berpindah daripada tempat itu kerana kemarau yang melanda kawasan itu. Ayah Manjhi juga turut memintanya untuk ikutnya bekerja di sebuah kota bagi menyara kehidupan kedua-dua anaknya itu. Tetapi Manjhi tetap berkeras mahu menyempurnakan kerjanya itu tanpa bekalan makanan dan air sehingga terpaksa meminum air yang kotor dan memakan daun. 

UNSUNG HERO BERHATI MULIA

Manjhi dikatakan telah membelah gunung tersebut dan membentuk sebuah jalan sejauh 110 meter dengan kedalaman 7.7 meter serta keluasan 9.1 meter. Semua ini adalah hasil kerjanya yang tidak mengenal erti penat lelah serta tidak berputus asa selama 22 tahun. Usahanya itu dimulakan pada tahun 1960 dan berakhir pada tahun 1982. Dikatakan laluan ini telah memendekkan jarak daripada 55 kilometer kepada 15 kilometer sahaja.

Walaupun dikutuk dan dihina sepanjang dia melakukan kerja gila itu, akhirnya usahanya itu telah menyenangkan ramai orang di kampung Gehlaur. Selepas kematian Manjhi pada tahun 2007, baru lah jalan rasmi dibina di situ dengan menggunakan laluan yang dibuat oleh Manjhi.

KATALAKI: Sekecil-kecil usaha kadang-kadang mampu untuk membuahkan hasil yang besar, sekaligus memberi manfaat kepada orang ramai.

Last modified: 24 July 2020