Kisah Tragik Lili Elbe Menjadi Seorang Lelaki dan Wanita

Sembang, ZAP

Ini merupakan kisah seorang insan dikenali sebagai Lili Elbe yang dikatakan menghabiskan sisa kehidupannya untuk memilih samada menjadi seorang lelaki sebagaimana dia dilahirkan atau menjadi wanita mengikut naluri hatinya. Nama asalnya semasa lahir adalah Einar Wegener, seorang lelaki berasal dari Denmark. Sepanjang dia menjadi Einar Wegener, dia dikatakan tidak mengetahui betapa kurang bahagianya dia sehingga lah dia berjumpa dengan Lili Elbe, iaitu dirinya sebagai wanita. Einar Wegener merasakan dirinya sebagai Lili Elbe adalah lebih membahagiakan. Tapi permulaan bagaimana dia nekad untuk menukar jantinanya bukan lah daripada dirinya sendiri, tetapi isterinya lah yang dikatakan sebagai punca.

BERTUKAR JANTINA SELEPAS KAHWIN

Memang agak pelik bagaimana seorang lelaki memutuskan untuk menjadi wanita sepenuhnya walaupun sudah berkahwin. Einar Wegener melangsungkan perkahwinan dengan Gerda pada tahun 1904. Gerda merupakan seorang pelukis yang sangat berbakat dan banyak menghasilkan lukisan potrait wanita berpakaian gaun mewah gaya ‘Art Deco’ untuk majalah fesyen. 

Menurut kisah sebenar yang diceritakan tentang bagaimana Einar Wegener tiba-tiba membuat keputusan untuk menukar jantinanya adalah selepas isterinya menjadikan dia sebagai model wanita untuk satu lukisan potrait. Semasa salah satu sesi lukisan potrait Gerda, wanita yang sepatutnya menjadi model untuk lukisan itu tidak dapat hadir. Kemudian seorang rakannya yang juga merupakan seorang pelakon mencadangkan Einar untuk mengantikan model tersebut. Pada awalnya Einar tidak bersetuju dengan cadangan itu, tetapi akhirnya bersetuju juga kerana isterinya betul-betul mahukannya menjadi model pada sesi tersebut. Maka bermula lah sesi solekan dan mengenakan pakaian ballerina yang cantik kepada Einar.

Rakan Gerda memuji betapa cantiknya rupa Einar menjadi model wanita dan terus menamakannya Lili. Bermula dari situ, lahir lah seorang wanita yang bernama Lili Elbe. Dikatakan sebenarnya Einar ni sewaktu zaman kecilnya memang agak feminin. Jadi bila dah kena provoke dengan solekan dan pakaian wanita, keluar lah segala naluri dan perasaan kewanitaannya sehingga membuatkan dia rasa lebih bahagia menjadi Lili Elbe. 

DISANGKA HANYA LAKONAN SEMATA-MATA

Selepas daripada sesi lukisan tersebut, Gerda terus memberi dorongan untuk suaminya itu berpakaian seperti wanita kalau mereka keluar bersiar-siar. Bagi Gerda itu mungkin hanya lakonan semata-mata dan melihat suaminya seperti seronok melakukannya. Gerda juga ketika itu tidak mengetahui naluri sebenar suaminya yang dikatakan lebih ke arah feminin. Mereka dikatakan sering menghadiri majlis rasmi dengan Einar mengenakan pakaian gaun mewah. Semasa di majlis pula, Einar akan diperkenalkan sebagai Lili Elbe. Mereka akan memberitahu Lili merupakan adik perempuan Einar yang sedang melawat mereka, dan juga merupakan model kepada lukisan potrait Gerda.

Lama kelamaan, kenalan rapat mereka mula meragui samada Lili Elbe itu sekadar satu lakonan ataupun tidak. Dikatakan Einar Wegener nampak lebih selesa dan bahagian selepas menjadi Lili Elbe. Tak lama selepas itu, Einar memberitahu isterinya bahawa selama ini dia merasakan dirinya lebih sesuai menjadi Lili Elbe, dan bermula saat itu tidak ada lagi lelaki bernama Einar Wegener.

MENJALANI KEHIDUPAN SEBAGAI WANITA

Gerda masih kekal bersama Lili Elbe walaupun dilanda kontroversi di negara asal mereka. Kemudian mereka pun berpindah ke Paris dimana Lili boleh menjalani kehidupannya sebagai wanita secara bebas. Gerda masih kekal sebagai pelukis dan masih menggunakan Lili sebagai modelnya. Gerda juga mula memperkenalkan Lili Elbe sebagai rakannya, dan bukan lagi sebagai suaminya. Kalau nak difikirkan ia mungkin akan menjadi satu keadaan yang membingungkan pada zaman sekarang. 

Tapi Lili tidak lah kekal bahagia walaupun boleh hidup bebas sebagai wanita di Paris. Secara tiba-tiba dia merasakan seperti sesuatu yang hilang. Walaupun dia berpakaian seperti seorang wanita, tetapi secara fizikalnya dia tetap seorang lelaki. Pada waktu itu, tidak ada lagi konsep yang wujud bagi mengambarkan keadaan dirinya itu. Kekeliruan dan kekecewaan ini mengakibatkan dia menjadi murung kerana dia benar-benar rasakan dia terperangkap dalam badan seorang lelaki. 

PEMBEDAHAN PALING KONTROVERSI PERTAMA DI DUNIA

Zaman dahulu memang tak wujud lagi lah pembedahan menukar jantina ni. Jadi memang tak ada cara juga bagi Lili untuk betul-betul menjadi wanita. Hampir enam tahun juga dia kemurungan dengan keadaan dirinya dan mencari sesiapa sahaja yang boleh memahami dirinya. Lili juga dikatakan hampir membunuh dirinya kerana terlalu kecewa dengan kehidupannya.

Kemudian pada awal tahun 1920, seorang doktor Jerman bernama Magnus Hirschfeld membuka sebuah klinik yang dikenali sebagai ‘German Institute for Sexual Science.’ Melalui doktor ini lah Lili akhirnya menemui jalan untuk menukarkan dirinya menjadi seorang wanita dengan melakukan pembedahan pertukaran jantina. Selama dua tahun, Lili Elbe menjalani empat pembedahan besar yang juga dikatakan pembedahan pertama yang pernah dilakukan terhadap manusia.

Selepas pembedahan ketiganya, Lili Elbe berjaya menukar namanya secara sah dan diisytiharkan sebagai seorang wanita. Tetapi perkahwinannya bersama Gerda juga terpaksa dibatalkan. Kemudian selepas pembedahan keempatnya, iaitu pembedahan untuk memindahkan rahim masuk ke dalam badannya, Lili jatuh sakit. Pembedahan ini memang mencetuskan pelbagai kontroversi kerana ia yang pertama di dunia. Lili mengatakan dia berharap untuk menjadi seorang ibu sekiranya pembedahan ini berjaya, walaupun pada hakikatnya doktor itu sendiri kurang yakin yang ia akan berjaya. 

Lili Elbe berkata selama 14 bulan dia hidup sebagai wanita, dia sangat gembira kerana impiannya akhirnya tercapai juga sebelum ajal menjemputnya. Dia juga sempat menulis surat kepada ahli keluarganya bahawa dia sangat gembira kerana dapat menjadi seorang wanita yang sebenar walaupun hanya sekejap. 

KATALAKI: Sebenarnya kisah ni ada difilemkan yang berjudul ‘The Danish Girl.’ 

Last modified: 28 August 2020