Kisah Tragik Pembunuhan Mahatma Gandhi

Sembang, ZAP, ZeKool

Nama Mahatma Gandhi memang tidak asing lagi sebagai seorang tokoh yang memperjuangkan kemerdekaan negara India daripada jajahan British. Cara perjuangannya juga dikatakan unik dengan tidak menggunakan sebarang kekerasan sehingga diberi gelaran ‘Mahatma’ yang bermaksud ‘berjiwa besar.’ So sekarang dah tahu lah ‘Mahatma’ tu adalah gelaran yang diberikan kepada beliau. Nama sebenar beliau adalah Mohandas Karamchand Gandhi, dilahirkan pada tahun 1869. Bapanya merupakan seorang pegawai kerajaan ketika itu, manakala ibunya merupakan seorang yang mendalami ilmu agama. Ketika kecil, Gandhi telah pun didedahkan dengan agama Jainisme yang banyak menekankan tentang tindakan tanpa keganasan.

DARIPADA SEORANG PELAJAR BIASA KE SEORANG PEJUANG KEADILAN

Gandhi bukan lah seorang pelajar yang cemerlang semasa usia mudanya, tetapi pada tahun 1888 beliau telah diberikan peluang untuk menyambung pelajarannya dalam bidang perundangan di England. Pada tahun 1891, beliau kembali ke India tetapi gagal mendapat pekerjaan dalam bidang perundangan. Kemudian pada tahun 1893 Gandhi menerima pekerjaan kontrak selama setahun di Afrika Selatan. Di situ lah beliau terdedah dan terkena tempias dengan amalan diskriminasi terhadap kaum (racism). Ketika itu, undang-undang di Afrika Selatan menghadkan hak pekerja yang berasal dari India. Terdapat satu insiden dimana Gandhi telah dihalau keluar daripada gerabak keretapi kelas pertama hanya kerana dia berbangsa India. Jadi bermula saat itu beliau memutuskan untuk melawan segala jenis amalan diskriminasi.

Semasa kontrak kerjanya sudah tamat, Gandhi memutuskan untuk kekal di Afrika Selatan dan melancarkan kempen menentang ketidakadilan undang-undang di negara itu. Selama tujuh tahun juga Gandhi menjalankan protes aman (Civil Resistance) sehingga lah beliau berjaya mengadakan perbincangan dengan kerajaan Afrika Selatan ketika itu.

PENJARA TIDAK MEMATAHKAN SEMANGATNYA

Pada tahun 1914, Gandhi kembali ke India dan menjalani kehidupan yang penuh kerohanian serta jauh dari dunia politik di India. Beliau menyatakan sokongan terhadap Britain semasa Perang Dunia Pertama, tetapi pada tahun 1919 beliau melancarkan Satyagraha (iaitu sejenis protes aman) untuk membantah tindakan mewajibkan rakyat India diserap menjadi tentera Britain. Ratusan ribu rakyat India menyertai protes Gandhi dan menjelang 1920 beliau dijadikan pemimpin gerakan untuk memerdekakan India. Semasa protes, beliau melancarkan boikot besar-besaran terhadap barangan, perkhidmatan, dan institusi British di India. Pada tahun 1922, Gandhi terpaksa menghentikan Satyagraha kerana berlakunya rusuhan dan kekerasan. Sebulan kemudian, Gandhi ditangkap oleh pihak Britain di atas dakwaan membuat hasutan secara besar-besaran dan dipenjarakan selepas didapati bersalah.

Selepas dibebaskan pada tahun 1924, beliau kemudian kembali dalam arena politik negara pada tahun 1928 dan meminta status dominan masyarakat India. Kemudian, pada tahun 1930 beliau melancarkan protes terhadap cukai garam yang dikenakan oleh British dan dikatakan memberi kesan buruk terhadap ekonomi orang-orang yang miskin di situ. Protes ini dikatakan sangat besar dimana hampir 60,000 pengikutnya berarak ke Laut Arab untuk menghasilkan garam mereka sendiri. Tapi perarakan itu berakhir dengan tangkapan Gandhi. Walau bagaimanapun, protes tersebut berjaya mendapat penghormatan dan sokongan dari para pemimpin di peringkat antarabangsa. 

Dengan tercetusnya Perang Dunia Kedua, Gandhi sekali lagi kembali ke dalam arena politik dan membuat tawaran kepada pihak British untuk memberikan kemerdekaan kepada India sekiranya India bekerjasama dengan British dalam peperangan tersebut. Tetapi British enggan bersetuju dengan tawaran tersebut dan cuba memecahkan sokongan rakyat India kepada dua kumpulan, iaitu masyarakat Hindu dan juga masyarakat Islam. Tindakbalas Gandhi pula selepas itu adalah melancarkan satu lagi gerakan pada tahun 1942, iaitu gerakan ‘Quit India’ yang menyeru pemisahan penuh terhadap British. Sekali lagi, Gandhi dan beberapa pemimpin nasionalis yang lain dipenjarakan sehinga tahun 1944. 

Semasa di dalam penjara, pengaruh beliau tidak hilang di hati rakyat India. Beliau turut mengatakan bahawa “untuk menuju kemerdekaan politik dan kerohanian, setiap orang di India mesti bersedia untuk dipenjarakan.” 

DIBUNUH KEJAM OLEH RAKYATNYA SENDIRI

Tahun 1945 menyaksikan sebuah kerajaan baru menaiki takhta di Britain. Maka rundingan untuk kemerdekaan India pun bermula. Gandhi mahukan India yang bersatu antara masyarakat Hindu dan Islam, tetapi ia tidak berjaya selepas satu pihak tidak mahu untuk memegang kerakyatan bersama. Kemudian pihak Britain pun mewujudkan dua negara merdeka yang memisahkan kedua-dua masyarakat iaitu India dan Pakistan pada 15 Ogos 1947. Gandhi sememangnya kecewa dengan perpecahan itu, dan kemudian satu episod pertumpahan darah berlaku di antara masyarakat Hindu dan Islam di situ.

Sebagai usaha untuk menghentikan keganasan dan perselisihan antara dua agama tersebut, Gandhi melancarkan protes dengan berpuasa dan melawat ke tempat-tempat yang terkesan. Tidak lama lepas tu, Gandhi dibunuh dengan tembakan oleh seorang ekstremis yang menolak idea beliau untuk menyatukan masyarakat Hindu dan Islam. Usaha yang murni akhirnya dibunuh dengan tragik. Kaedah protes aman yang dilakukan oleh Gandhi mendapat perhatian dan pengaruh di seluruh dunia sehingga menjadi inspirasi kepada Martin Luther King Jr di Amerika Syarikat.

KATALAKI: Mahatma Gandhi telah mengajar dunia bahawa kekerasan bukan lah cara untuk menyelesaikan sesuatu masalah.

Last modified: 10 August 2020