Kisah Tragis Atas Padang Bekas Pemain Manchester City

Aktif, Bola

Sebelum ni, kami dah pernah ceritakan mengenai nombor jersi yang dah tak boleh digunakan di beberapa kelab bola sepak atas sebab-sebab tertentu. Tahukah korang, satu-satunya nombor jersi yang tak boleh digunakan oleh pemain di Manchester City adalah nombor 23?

Marc-Vivien Foé merupakan pemain terakhir yang memakai jersi nombor 23 di Manchester City, dipinjamkan dari Lyon pada tahun 2002. Berasal dari Cameroon, nama Marc-Vivien Foé mula mendapat perhatian kelab-kelab ternama Eropah selepas selalu dipanggil untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan, sehingga dapat beraksi bersama Cameroon di Piala Dunia FIFA pada tahun 1994, ketika berumur 19 tahun.

Selesai Piala Dunia FIFA, Marc-Vivien Foé membuat keputusan untuk beraksi bersama kelab Eropah buat pertama kali dalam sejarah hidupnya apabila menyertai kelab RC Lens di Perancis. 5 tahun bersama RC Lens, Marc-Vivien Foé berjaya menjulang piala liga Perancis, Ligue 1 pada tahun 1998. Nama Marc-Vivien Foé sekali diseru oleh skuad kebangsaan Cameroon untuk mengharungi saingan Piala Dunia FIFA 1998.

Masa ni, dah ada ura-ura mengatakan yang Marc-Vivien Foé akan menyertai Manchester United untuk beraksi di England selepas tamat Piala Dunia FIFA 1998. Tapi malang sekali, Marc-Vivien Foé mengalami kecederaaan yang serius semasa dalam kem latihan skuad kebangsaan Cameroon, menyebabkan Marc-Vivien Foé terlepas beraksi di Piala Dunia 1998 dan juga terlepas beraksi bersama Manchester United.

Hampir 6 bulan berehat disebabkan kecederaan, Marc-Vivien Foé sekali lagi cuba untuk beraksi di England, kali ni secara rasmi berpindah ke West Ham pada tahun 1999. Walaupun Marc-Vivien Foé beraksi dengan baik dan terlibat dalam semua perlawanan penting West Ham, Marc-Vivien Foé hanya kekal satu musim dan kembali ke Perancis, kali ni bersama dengan Lyon pada tahun 2000.

Selama 2 tahun di Lyon, Marc-Vivien Foé berjaya menang 2 piala sebelum sekali lagi dipanggil untuk memperkuatkan skuad Cameroon di Piala Dunia FIFA 2002, tewas di peringkat kumpulan. Selesai Piala Dunia FIFA 2002, Marc-Vivien Foé kembali ke bumi England untuk kali ke-2, kali ni dipinjamkan dari Lyon ke Manchester City. Masa ni Manchester City dipimpin oleh Kevin Keegan dan belum lagi dibeli oleh orang kaya Arab.

Menjadi pemain penting dalam musim pertama bersama Manchester City, Marc-Vivien Foé dipanggil untuk menyertai skuad Cameroon, kali ni bagi mengharungi kejohanan Piala Konfederasi FIFA pada tahun 2003.

Pada 26 Jun 2003, dunia bola sepak dikejutkan selepas Marc-Vivien Foé tiba-tiba rebah di atas padang dalam perlawanan separuh akhir menentang Colombia di Piala Konfederasi FIFA 2003 dan disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan menuju ke bilik rawatan.

Cameroon tewas menentang Perancis di perlawanan akhir Piala Konfederasi FIFA 2003, tapi Marcel Desailly yang merupakan kapten pasukan Perancis dan ditugaskan untuk menjulang piala, tidak meraikan dengan terlalu gembira, sebaliknya menjemput ketua pasukan Cameroon untuk sama-sama menjulang piala bersama gambar Marc-Vivien Foé.

KATALAKI: Nombor 23, satu-satunya nombor yang kita dah tak boleh tengok kat dalam padang kalau Manchester City beraksi

Last modified: 7 April 2020