Kisah Wanita Yang Mempunyai 3 Identiti Lelaki

Sembang

Apa perasaan korang bila orang yang korang sayang sebenarnya tipu korang hidup-hidup? Bukan setakat tipu dan perdaya, tapi sebenarnya tak wujud pun. Dengar macam cerita seram, tapi ini adalah kes jenayah yang pernah berlaku di United Kingdom dimana seorang wanita menyamar sebagai tiga lelaki yang berbeza untuk memperdaya dua gadis muda. Kejadian ini berlaku sekitar tahun 2009 sehingga pertengahan tahun 2010. Dah 10 tahun juga lah kes ini berlaku, tapi mungkin ia tidak berlaku di Malaysia jadi tak ramai yang tahu pasal kes ni.

GEMMA BARKER SI PENYAMAR

Gemma Barker merupakan si penyamar yang telah berjaya memperdaya dua orang gadis dengan memegang identiti sebagai lelaki dan menjadi teman lelaki mereka. Semasa Gemma melakukan jenayahnya itu, dia baru berusia 19 tahun tetapi sudah berjaya mencipta tiga personaliti lelaki yang berbeza. Dia memberikan ketiga-tiga ‘lelaki’ ini keperibadian yang berbeza termasuk cara pemakaian, membuat akaun Facebook dan emel berbeza, dan menggunakan nombor telefon berbeza untuk setiap identiti fake yang direka. Nama kepada tiga identiti lelaki ini adalah Aaron Lampard, Connor McCormack dan Luke Jones.

Menurut laporan, mangsa kepada Gemma merupakan rakannya juga. Dengan menggunakan identiti Aaron, Connor dan Luke, dia memulakan hubungan dengan dua orang rakannya yang berusia 15 dan 16 tahun ketika itu. Hubungan mereka bermula di alam maya, tapi lama kelamaan ia mula berubah menjadi hubungan fizikal dan seksual. Gemma juga dikatakan memainkan peranan sebagai dirinya untuk memujuk kedua rakannya itu menjalinkan hubungan dengan ‘lelaki’ yang mereka kenali dalam Facebook. 

Apa yang membuatkan Gemma ni berbahaya, lakonannya begitu baik sehingga ibu bapa kepada salah seorang gadis itu tertipu walaupun pada hakikatnya mereka mengenali Gemma. Menurut salah seorang mangsa, watak ‘Connor’ dilihat sebagai seorang lelaki yang pemalu dan sering mengenakan hoodie dan pakaian yang besar. Ia dikatakan untuk menutupi bentuk fizikal wanitanya. Menurut seorang lagi mangsa semasa pertemuan pertamanya dengan Aaron, dia melihat Aaron memakai pakaian yang longgar dan daripada caranya berjalan memang kelihatan seperti lelaki. Jadi memang waktu tu tak terlintas langsung bahawa teman lelakinya itu sebenarnya adalah seorang perempuan. 

KISAH CINTA SI PENYAMAR SEBAGAI ‘AARON’ 

Gadis yang menjadi kekasih Aaron mengatakan bahawa dia benar-benar sukakan Aaron dan tak pernah sangka bahawa kekasihnya itu sebenarnya adalah kawannya sendiri, iaitu Gemma. Menurut laporan, kedua-dua mereka pernah mengadakan hubungan seksual. Tapi gadis ini memberitahu yang Aaron tidak pernah membuka bajunya dan hanya melakukan hubungan tersebut di dalam gelap. Bagi gadis tersebut (yang berusia 16 tahun ketika itu) mungkin hubungan intim seperti itu adalah normal. Aaron berkelakuan baik dan tidak menyakiti gadis tersebut.

Satu hari, sesuatu yang mengejutkan ditemui oleh gadis tersebut di dalam bag Aaron. Ketika sedang mencari kunci kereta seperti yang diminta Aaron, gadis tersebut terjumpa sejenis alat permainan ‘dewasa’ berwarna pink. Bila dah kantoi, Aaron menjelaskan ia hanya digunakan sekali sahaja semasa mereka bersama. Gadis tersebut pun berasa marah dengan apa yang dilakukan Aaron dan hubungan mereka menjadi renggang selepas itu. Tapi Gemma tidak berdiam diri dan terus menggunakan watak Connor untuk memberitahu kekasih Aaron yang Aaron terlibat dengan kemalangan. Ni kira taktik murahan nak raih simpati lah ni

SI PENYAMAR KANTOI

Connor merupakan buah hati kepada Jessica, iaitu kawan baik kepada gadis yang bercinta dengan Aaron. Semasa dia menjalankan tugas memberitahu yang Aaron terlibat dengan kemalangan, Connor sedang berada di rumah Jessica untuk bermalam di situ. Alangkah terkejutnya Jessica apabila menyedari bahawa lelaki yang tidur bersamanya itu mempunyai rupa yang sama dengan Aaron. Jadi Jessica pun mengesyaki bahawa Aaron curang terhadap rakannya itu. Tapi itu hanya sangkaannya sahaja dan bukan hakikat sebenar. Keesokkan hari Connor pun menghilangkan diri.

Jessica pergi membuat laporan polis terhadap Aaron kerana melakukan gangguan seksual terhadapnya. Pada waktu itu, kedua-dua gadis tersebut masih berfikir ini semua adalah kerja Aaron. Tetapi hasil siasatan pihak polis selepas itu amat mengejutkan. Aaron yang telah ditahan pihak polis sebenarnya bukan lah seorang lelaki, tetapi adalah seorang perempuan. Paling mengejutkan, perempuan ini adalah Gemma Barker iaitu kawan mereka sendiri. Memang trauma lah buat kedua-dua gadis ini. 

DISYAKI MEMPUNYAI MASALAH ‘AUTISME’

Hasil pemeriksaan psikologi mendapati bahawa Gemma Barker mengalami gangguan spektrum autisme dan gangguan hiperaktif defisit perhatian yang biasanya dikenali sebagai ADHD. Dikatakan mereka yang menderita penyakit ini agak sukar untuk memahami dan mematuhi norma tingkah laku sosial. Selain itu, mereka juga boleh menjadi obses dengan sesuatu perkara dan mampu memanipulasi keadaan untuk kepuasan sendiri.

Walau bagaimanapun, Gemma tetap dijatuhkan hukuman penjara selama 30 bulan pada bulan Mac tahun 2012. Salah seorang mangsa kepada Gemma menyatakan bahawa dia merasakan dirinya jijik, kotor, dan terasa seperti mahu membunuh dirinya. Sememangnya jenayah seperti ini tidak boleh dipandang ringan kerana akan mengakibatkan gangguan emosi seseorang. 

KATALAKI: Walaupun dengar macam tak logik, kesan terhadap mangsa mampu mengakibatkan gangguan emosi yang dasyat…

Last modified: 18 August 2020