Kojek – Buaya Yang Dibela Macam Kucing?

Sembang, ZAP, ZeKool

Korang ingat lagi tak article aku yang bertajuk “Binatang Paling Rare Orang Jadikan Sebagai Pet“? Dalam article tersebut aku ada share yang ada orang jadikan haiwan-haiwan seperti beruang, biawak dan banyak lagi sebagai haiwan peliharaan dorang. Dalam article tersebut juga ada seorang lelaki dari Jepun yang jadikan seekor buaya caiman sebagai haiwan peliharaannya. Korang boleh baca dengan lebih lanjut dekat SINI.

Kali ini aku nak bercerita tentang seorang lagi lelaki yang menjadikan buaya sebagai haiwan peliharaannya dan kisah ini terjadi di negara jiran kita iaitu Indonesia! Hari ini aku nak berkongsi dengan korang cerita tentang Kojek, buaya yang hidup bersama-sama manusia selama lebih daripada 20 tahun!

Pada tahun 1997, Muhammad Irwan yang sedang bersiar-siar ternampak beberapa orang kanak-kanak sedang galak mendera seekor anak buaya yang berukuran 10cm. Tanpa berfikir panjang, dia menghalang kanak-kanak tersebut dari terus mendera anak buaya tersebut. Anak buaya tersebut rupanya telah ditangkap oleh seorang nelayan.

Takut yang ia akan didera lagi, Irwan mengambil keputusan untuk membeli anak buaya itu daripada nelayan tersebut dengan harga IDR20,000. Dia kemudiannya membawa pulang anak buaya tersebut ke rumahnya dan memberikan ia nama Kojek.

Irwan terus menjaga Kojek seperti haiwan peliharaan lain. Keluarganya juga menganggap Kojek tidak ubah seperti seekor kucing. Kojek yang sepatutnya seekor buaya yang ganas tidak langsung menunjukkan sifatnya yang ganas seperti buaya-buaya lain yang biasa kita lihat di kaca televisyen. Kojek tidak pernah menyerang atau mencederakan sesiapa pun baik Irwan, keluarganya dan juga jiran tertangganya yang selalu datang untuk melihat Kojek.

Kojek telah membesar menjadi seekor buaya bersaiz 2.75 meter panjang dengan seberat mencecah 200kg. Irwan dan keluarganya memberikan ia makan 2kg hingga 5kg ikan setiap hari sehinggakan ia mendapat gelaran Buaya Gendut. Seminggu sekali, Irwan akan memandikan dan juga memberus gigi Kojek.

Kisah tentang Kojek, si buaya gendut yang jinak telah menjadi bualan orang disekitar Indonesia dan juga di luar negara. Disebabkan kisahnya mula dikongsikan di media sosial, ramai pelancong luar negara seperti dari Australia, Eropah dan Amerika Syarikat datang ke rumah Irwan setiap minggu untuk melihat sendiri buaya yang jinak ini.

Ada pelancong yang menawarkan Irwan IDR1 juta untuk membeli Kojek namun tawaran itu telah ditolak oleh Irwan kerana dia telah menganggap Kojek seperti ahli keluarganya sendiri. Boleh dikatakan Irwan sangat-sangat sayang dengan Kojek.

Namun disebabkan kisah Kojek yang semakin diketahui oleh orang ramai, kisahnya telah diketahui oleh pihak berkuasa Indonesia. Balai Konservasi Sumber Daya Alam Jawa Barat (BKSDA) telah mengambil keputusan yang Kojek tidak selamat untuk dibela di dalam rumah walaupun Kojek tidak pernah menyerang sesiapa pun.

Pada 4 Febuari 2018, pegawai-pegawai Balai Konservasi Sumber Daya Alam telah datang ke rumah Irwan untuk mengambil Kojek dari jagaan Irwan kerana Kojek telah diklasifikasikan sebagai haiwan yang dilindungi di bawah undang-undang Indonesia dan menurut undang-undang, Kojek tidak boleh dijadikan sebagai haiwan peliharaan.

Kisah pemindahan Kojek telah disiarkan di kaca televisyen dan menjadi satu berita sensasi. Semasa proses pemindahan, Kojek seperti tidak mahu pergi dari rumah Irwan. Ibu Irwan sendiri menangis melihatkan Kojek telah dibawa keluar dari rumahnya kerana dia telah menganggap Kojek seperti cucunya sendiri.

Selepas lebih daripada 20 tahun hidup bersama Irwan dan keluarganya, Kojek kini telah dibawa dan dibela di Taman Safari. Kojek telah diletakkan dikandangnya sendiri dan tidak dicampurkan dengan buaya-buaya lain kerana sifat Kojek yang jinak. Kojek juga telah dikenakan diet yang ketat kerana ia dikatakan mengalami obesiti. Walaupun diletakkan di Taman Safari, Irwan tidak melepaskan peluang untuk berkunjung ke sana untuk melawat Kojek apabila dia mempunyai masa terluang.

KATALAKI: Kesian gila tengok mak Irwan menangis bila dorang bawa Kojek keluar 🙁

Last modified: 23 January 2020