Kontroversi Nicolas Anelka Difilemkan

Aktif, Bola

Selepas kejayaan drama dokumentari bersiri The Last Dance yang menceritakan mengenai kisah jatuh bangun Michael Jordan, kali ni Netflix tampil dengan filem dokumentari terbaru melibatkan salah seorang pemain bola sepak yang pernah berada di puncak suatu masa dahulu, Nicolas Anelka bertajuk Anelka: Misunderstood. Sebelum kita kaji dengan lebih mendalam mengenai filem dokumentari Anelka: Misunderstood, sukanya kami untuk ingatkan korang supaya tengok drama dokumentari bersiri The Last Dance yang ditayangkan kat Netflix, sama ada korang pernah kenal Michael Jordan atau pun tak, pernah minat Michael Jordan atau pun tak. Banyak benda yang kita boleh belajar sebagai penonton menerusi drama dokumentari bersiri The Last Dance.

Filem dokumentari terbaru daripada Netflix, Anelka: Misunderstood akan mula ditayangkan di seluruh dunia pada 5 Ogos 2020, mengisahkan tentang perjalanan karier bola sepak Nicolas Anelka yang penuh dengan onak dan duri, sehingga pernah dihalau balik oleh Konfederasi Bola Sepak Perancis (FFF) semasa kejohanan Piala Dunia FIFA 2010. Selain tu, filem dokumentari ni juga akan menceritakan kisah sebenar dan sebab kenapa Nicolas Anelka terkenal sebagai pemain yang suka berpindah kelab dalam masa yang singkat. Sejak mula beraksi secara profesional pada tahun 1996 sehingga bersara pada tahun 2015, Nicolas Anelka pernah bersama dengan 12 kelab termasuk lah Arsenal, Real Madrid, Liverpool, Manchester City dan Chelsea.

Selain daripada menampilkan Nicolas Anelka sendiri menceritakan kisah kejayaan dan kontroversi yang pernah berlaku sepanjang kariernya, individu lain yang juga berpengaruh dalam bidang bola sepak dan rapat dengan Nicolas Anelka antaranya Arsene Wenger, Thierry Henry, Didier Drogba, Emmanuel Petit dan Paul Pogba turut dijemput oleh Netflix dalam dokumentari Anelka: Misunderstood untuk menceritakan kepada penonton siapa sebenarnya Nicolas Anelka yang belum kita kenal.

Salah satu kontroversi melibatkan Nicolas Anelka yang pernah menggegarkan dunia berlaku semasa kejohanan Piala Dunia FIFA 2010 di Afrika Selatan, selepas bermati-matian melayakkan pasukan kebangsaan Perancis untuk beraksi di Piala Dunia FIFA 2010, Nicolas Anelka dihalau balik oleh Perancis selepas tewas 2-0 kepada Mexico disebabkan mempertikaikan tugas dan mengeluarkan kata kesat kepada pengurus pasukan Perancis, Raymond Domenech. Nicolas Anelka digantung daripada beraksi bersama pasukan Perancis sebanyak 18 perlawanan selepas gagal untuk memohon maaf secara terbuka seperti yang diarahkan oleh Konfederasi Bola Sepak Perancis (FFF). Selepas hukuman ditetapkan oleh Konfederasi Bola Sepak Perancis (FFF), Nicolas Anelka mengumumkan secara rasmi bersara daripada beraksi bersama pasukan Perancis.

Sebelum kontroversi bersama pasukan Perancis berlaku, Nicolas Anelka pernah menghadiahkan 2 piala yang bermakna kepada Perancis antaranya piala UEFA EURO 2000 dan Piala Konfederasi FIFA 2001 sebelum hilang status sebagai penyerang utama skuad Perancis sejak tahun 2001 sehingga 2007 sebab terlalu sibuk berpindah kelab. Sekarang ni, Nicolas Anelka dah mula terlibat secara aktif dalam bidang kejurulatihan. Tak lama lagi mungkin kita boleh tengok Nicolas Anelka menguruskan salah satu kelab bola sepak ternama dunia.

KATALAKI: Sebab selalu sangat tukar kelab, tak tahu nak cakap Nicolas Anelka legenda kelab mana. Legenda Chelsea la kot sebab paling lama beraksi dengan Chelsea.

Last modified: 25 July 2020