Korang Kenal Siapa Levi Strauss?

Sembang

Pada 20 Mei 1873, seorang ahli perniagaan yang dikenali sebagai Levi Strauss dan Jacob Davis yang bekerja sebagai tukang jahit, mencipta sejarah dunia apabila berjaya mempatenkan sejenis seluar tahan lasak yang diperkuatkan lagi dengan penggunaan sejenis paku dikenali sebagai rivet, menandakan lahirnya sehelai pakaian yang kini masih lagi popular di seluruh dunia, dikenali sebagai seluar jean atau blue jeans.

Sejarah kewujudan seluar jean bermula apabila Levi Strauss yang berasal dari Jerman, menjalankan sebuah perniagaan kedai kelengkapan di San Francisco, Amerika Syarikat, berkenalan dengan seorang tukang jahit, Jacob Davis yang kerap membeli kelengkapan untuk menghasilkan pakaian di kedai yang dimiliki oleh Levi Strauss. Idea seluar jean datang daripada Jacob Davis yang pakar dalam bidang pakaian untuk menghasilkan sejenis seluar yang tahan lasak, diperkuatkan lagi dengan penggunaan rivet di bahagian yang mudah koyak antaranya poket, sebelum mencadangkan kepada Levi Strauss untuk menjadi rakan kongsi dan dipatenkan.

Didaftarkan di bawah syarikat David Stern & Levi Strauss yang kini dikenali sebagai Levi Strauss & Co. atau Levi’s, penjualan seluar jean pada awalnya digunakan ramai oleh pekerja-pekerja yang terlibat dalam bidang kerja kasar antaranya pelombong, pekerja kilang, petani dan penternak haiwan. Semasa seluar jean semakin rancak menuju kejayaan, Levi Strauss disahkan meninggal dunia pada tahun 1902, mewariskan syarikat Levi Strauss & Co. kepada 4 orang anak saudaranya untuk meneruskan empayar Levi’s. 6 tahun kemudian, Jacob Davis disahkan meninggal dunia pada tahun 1908.

Seluar jean Levi’s semakin popular digunakan oleh golongan orang muda apabila pelakon ternama, James Dean menggayakan seluar jean Levi’s dalam filem Rebel Without a Cause yang ditayangkan pada tahun 1955. Selepas menerima saingan daripada syarikat-syarikat pengeluar yang lain sejak awal tahun 1990, Levi’s mula memperkenalkan penggunaan Red Tab di semua seluar jean Levi’s pada tahun 1936 untuk membezakan produk jenama Levi’s dan jenama lain. Levi’s juga mempunyai rangkaian seluar selain daripada seluar jean, dikenali sebagai khaki, fabrik yang lebih lembut daripada seluar jean, mula diperkenalkan pada tahun 1986 menerusi jenama Dockers.

KATALAKI: Kalau korang belum pernah lagi merasa pakai seluar jean Levi’s, seluar jean pertama di dunia, korang patut fikir-fikirkan.

Last modified: 12 May 2020