Kung Fu Master Mana Lagi Hebat?

Sembang, ZAP, ZeKool

Kali ni bukan nak bercerita tentang Kung Fu Master yang betul-betul dalam dunia martial arts, tapi lebih kepada Kung Fu Master yang selalu kita tengok dalam filem tu. Tapi walaupun apa yang korang tengok dalam filem tu hanya lakonan semata-mata, diorang ni semua tetap belajar dan ada ilmu martial arts yang sebenar. Jadi dalam ramai-ramai Kung Fu Master dalam filem tu, siapa yang paling hebat? Jom tengok senarai dekat bawah siapakah mereka yang tersenarai itu. Aku yakin semua dekat bawah ni korang kenal, tapi kita tengok siapa yang berada pada ranking paling atas. 

6. SAMMO HUNG

Dalam industri filem di China, nama Sammo Hung memang tidak asing dalam filem-filem Kung Fu di sana. Seperti rakan lamanya, Jackie Chan, Sammo Hung juga pernah menuntut ilmu seni bela diri di Peking Opera School sebelum memulakan kariernya dalam industri filem China pada tahun 1961. Semasa zaman kanak-kanaknya, dia dan juga Jackie Chan merupakan ahli kumpulan ‘Seven Little Fortunes’ yang sering membuat persembahan martial arts. Nama Sammo Hung mungkin kurang dikenali di Hollywood seperti rakannya, tetapi di China beliau merupakan seorang pelakon, pengarah, stuntman, dan juga koreografer aksi untuk beratus buah filem. 

5. MICHELLE YEOH

Sebagai rakyat Malaysia, nama Michelle Yeoh ni wajib kita kenal sebab beliau merupakan antara pelakon yang berasal daripada Malaysia (anak kelahiran Ipoh, Perak) yang menjadi bintang besar di Hollywood. Tapi mesti korang pelik kenapa Michelle Yeoh dikira sebagai Kung Fu Master sedangkan kebanyakkan filem lakonannya di Hollywood tak berkaitan dengan filem aksi Kung Fu. Tapi dalam filem Police Story 3, di mana beliau berlakon bersama Jackie Chan, telah menjadikan beliau setaraf dengan pelakon-pelakon aksi Kung Fu lain. Michelle Yeoh memang lakonkan babak aksinya sendiri, sebab tu dia layak menjadi sebahagian Kung Fu Master yang hebat dalam filem. Filem yang telah melonjakkan namanya adalah seperti filem Magnificent Warriors, Executioners, dan juga Tai Chi Master di mana korang boleh tengok sendiri babak-babak aksi yang dilakonnya sendiri. Perasan tak Michelle Yeoh ada muncul sebagai cameo dalam filem Guardians of the Galaxy Vol. 2?

4. DONNIE YEN

Donnie Yen ni kira superstar besar lah dekat China tu dan merupakan pelakon aksi yang memiliki bakat terhadap martial arts yang lain juga. Donnie Yen mula melibatkan diri sebagai stuntman pada tahun 1983. Peranannya dalam filem seperti Iron Monkey, Ip Man dan Hero telah meletakkan dirinya sebagai salah seorang pelakon aksi yang hebat. Lakonannya dalam filem Hollywood seperti yang terbaru Rogue One: A star Wars Story, telah membuktikan lagi kehebatannya dalam babak-babak fighthing. Tapi paling best dalam filem Ip Man lah. 

3. JET LI

Nama yang tak asing lagi kalau cerita babak-babak aksi fighting. Jet Li sebenarnya dah lama menempa nama di tanah kelahirannya, China sebelum menjadi terkenal juga di Hollywood. Apa yang membuatkan Jet Li lain daripada master Kung Fu yang lain adalah melalui aksinya dalam filem Once Upon A Time In China, Black Mask, dan juga Fist of Legend. Itu antara filem yang memaparkan aksi hebat Jet Li berlawan lah. Banyak lagi filem-filem lakonannya yang lain, yang bagi aku worth to watch.

2. JACKIE CHAN

Siapa je yang tak kenal Jackie Chan. Beliau lah Kung Fu Master dari China yang paling kerap muncul dalam filem-filem Hollywood. Jackie Chan memang terkenal sebagai pelakon yang melakonkan lagak aksinya sendiri, dan kebanyakkan stunt yang dilakonkan olehnya adalah stunt yang bahaya! Kalau patah tulang tangan semua akibat lagak aksinya tu kira dah biasa sangat dah. Seperti rakan seperjuangannya Sammo Hung, Jackie Chan juga melalui latihan yang memenatkan di Peking Opera School semasa zaman kanak-kanaknya. Antara filem yang mula memperkenalkan namanya sebagai bintang filem (atau Kung Fu Master) adalah seperti Drunken Master, The Big Brawl dan juga siri filem Police Story.

1. BRUCE LEE

Tak lain dan tak bukan, Bruce Lee lah merupakan Kung Fu Master yang terbaik sepanjang zaman. Mungkin korang pun dah dapat agak yang Bruce Lee akan berada di tempat pertama antara ramai-ramai. Walaupun hayatnya berakhir ketika berumur 32 tahun, tetapi beliau telah berjaya mengubah lanskap perfileman dengan aksi Kung Fu yang dipamerkannya. Dikatakan juga sepanjang hayatnya, Bruce Lee juga sempat mencipta martial arts sendiri yang diberi nama Jun Fan Gung Fu dan juga Jeet Kune Do. Filem lakonannya seperti The Big Boss, Fist of Fury, Way of the Dragon dan Game of Death masih menjadi rujukan sehingga sekarang sebagai aksi fighting yang best dalam filem. Pengaruh Bruce Lee sampai ke Asia sehinggakan adanya filem dari Singapura yang di haramkan lebih 30 tahun yang diinspirasikan daripada kegilaan filem-filem Kung Fu lakonan Bruce Lee. 

KATALAKI: Kalau ada babak-babak fight style Kung Fu dalam filem, muka-muka ni lah yang wajib ada…

Last modified: 8 July 2020