Lagu-Lagu Yang Menyokong Gerakan ‘Black Lives Matter’

Sembang, ZAP, ZeKool

Minggu lepas dunia kembali diharungi dengan kontroversi tentang gerakan ‘Black Lives Matter‘ berikutan satu kes kematian lelaki Afrika-Amerika yang disyaki dibunuh oleh seorang pegawai polis. Video bagaimana lelaki yang bernama George Floyd itu dikasari oleh pegawai polis mula tersebar dan mencetuskan perdebatan yang hebat di ruang-ruang media sosial. Apa yang menerukkan lagi keadaan, kematian George Floyd telah membangkitkan kemarahan ribuan rakyat di Amerika Syarikat, terutamanya bagi masyarakat Afrika-Amerika.

Walau bagaimanapun, isu berkenaan ‘Black Lives Matter‘ ini bukan lah sesuatu yang baharu. Masyarakat Afrika-Amerika telah lama memperjuangkan hak mereka dan juga keselamatan mereka di tanah Amerika. Perhambaan, diskriminasi perkauman dan stereotaip telah mengakibatkan penindasan terhadap masyarakat Afrika-Amerika sejak berabad-abad lamanya. Daripada kes ini, dan juga banyak kes-kes lain lagi sebelumnya, kekejaman polis terhadap masyarakat Afrika-Amerika kembali menjadi satu topik hangat.

Boleh dilihat seluruh dunia memberikan sokongan terhadap gerakan ‘Black Lives Matter‘ ini, dan golongan pemuzik juga tidak terkecuali untuk turut serta. Walaupun pemuzik seperti Jay Z, Ariana Grande dan My Morning Jacket telah mengeluarkan muzik baru untuk menyokong gerakan ‘Black Lives Matter,’ terdapat juga lagu-lagu lama yang telah mengangkat isu ini. So jom kita tengok lagu-lagu yang telah lama membawa isu ini ke mata dunia.

PUBLIC ENEMY – “FIGHT THE POWER”

Lagu ini dikeluarkan pada tahun 1989 sebagai permintaan dari pengarah Spike Lee untuk filemnya yang berjudul ‘Do the Right Thing.’ Filem ini juga turut menimbulkan kontroversi dan dikatakan boleh membawa kepada rusuhan perkauman di Amerika. Dengan meletakkan budaya Afrika-Amerika sebagai tema lagu, “Fight the Power” menekankan isu perkauman dan mendorong masyarakat Afrika-Amerika untuk membela hak mereka.

J COLE – “BE FREE”

J Cole menulis lagu ini pada tahun 2014, betul-betul selepas kematian Michael Brown yang tragis. Seperti kes George Floyd juga, Michael Brown dibunuh dengan tragis oleh anggota polis. Dia ditembak mati oleh seorang anggota polis bernama Daren Wilson, dan pada ketika itu Michael Brown baru berusia 18 tahun. Lagu “Be Free” yang dialunkan dengan rentak yang suram itu menyeru dan mendesak kepada keamaan serta equality terhadap semua kaum.

KENDRICK LAMAR – “THE BLACKER THE BERRY”

Lagu yang dikeluarkan pada tahun 2015 ini merupakan single kedua Kendrick Lamar dari ‘To Pimp A Butterfly.‘ Lagu ini turut mencetuskan kontroversi dalam komuniti Afrika-Amerika itu sendiri. Ia didakwa menyeru komuniti Afrika-Amerika untuk tidak bersikap hipokrit ke atas kematian saudara mereka yang tragis. Kendrick Lamar secara khusus mengatakan bahawa sesetengah individu dari komuniti Afrika-Amerika bersikap hipokrit kerana tetap melakukan jenayah ganas walaupun mereka berkabung ke atas kematian saudara mereka. Baginya, gang violance dan police brutality tidak ada beza sama sekali.

MICHAEL JACKSON – “THEY DON’T CARE ABOUT US”

Dikeluarkan pada tahun 1996, lagu ini merupakan lagu yang paling kontroversi dinyanyikan oleh Michael Jackson sepanjang kerjayanya. Di dalam lagu tersebut jelas Michael Jackson menyeru orang-orang yang berkuasa berhenti mengabaikan hak asasi manusia, terutamanya masyarakat Afrika-Amerika.

USHER – “CHAINS”

Lagu ini dikeluarkan pada tahun 2015, mengisahkan tentang kekejaman polis dan keganasan antara kaum di Amerika. Muzik video bagi lagu ni juga turut menjadikan ia sebuah lagu yang sangat kuat mengangkat gerakan ‘Black Lives Matter‘ dengan paparan gambar Trayvon Martin, Ramarley Graham, Caesar Cruz, Rekia Boyd, Amadou Diallo, dan mangsa kekejaman polis yang lain. Lagu ini benar-benar memberi perspektif yang serius tentang realiti menjadi warga Afrika-Amerika di Amerika Syarikat.

KATALAKI: Lirik pada lagu-lagu ni memang kuat mengambarkan kepayahan hidup komuniti Afrika-Amerika di sana…

Last modified: 9 June 2020