Leonarda Cianciulli – Nenek Paling Kejam di Dunia!

Sembang


Bila bercerita tentang pembunuh bersiri, memang jaranglah kita dengar yang perempuan jadi pembunuh bersiri apatah lagi kalau perempuan tersebut dah pangkat nenek! Tapi hari ini aku akan share dengan korang tentang Leonarda Cianciulli, seorang nenek dan seorang pembunuh bersiri yang terkenal dengan jadikan mayat mangsa dia sebagai sabun.

Disebabkan cara pembunuhan dia yang cukup kejam dan pelik ini, Leonarda mendapat gelaran The Human Flesh Soap Maker. Leonarda Cianciulli dilahirkan pada tahun 1894 di dalam keluarga yang agak kucar-kacir. Ada yang mengatakan ibu Leonarda merupakan seorang ibu yang teruk dan dia turut memberitahu hidup Leonarda telah di sumpah sejak dari kecil.

Semasa remaja, Leonarda pernah cuba untuk membunuh diri sebanyak dua kali namun tidak berjaya. Leonarda juga telah berkahwin dengan Raffaele Pansardi yang bekerja sebagai seorang kerani. Namun perkahwinan ini tidak mendapat restu daripada Ibunya. Leonarda mempunyai 17 orang anak namun hanya 4 daripada 17 orangnya yang hidup melepasi umur 10 tahun.

Daripada luaran, Leonarda nampak seperti wanita biasa malah dia sangat disenangi oleh jiran-jirannya. Namun tiada siapa yang tahu sifat sebenar Leonarda sehinggalah semuanya telah terlambat. Dari tahun 1939 sehingga tahun 1940, Leonarda telah membunuh tiga orang wanita. Korang nak tahu apa yang dia buat dengan mayat tiga orang wanita tadi?

Korang bayangkan, satu hari jiran korang ajak korang datang rumah dia makan kek. Jiran korang ni memang korang kenal sebagai seorang jiran yang baik dan peramah. Punyalah sedap korang makan kek dan berborak, rupa-rupanya kek yang korang makan tadi diperbuat daripada daging manusia!

Itulah yang terjadi kepada salah seorang jiran Leonarda sebelum Leonarda ditangkap polis. Tapi ada sebab kenapa Leonarda membunuh wanita-wanita ini tadi. Disebabkan dia percaya dengan apa yang ibu dia cakap iaitu hidup dia telah disumpah, Jadi wanita-wanita yang dia bunuh ini sebenarnya adalah satu satu korban yang dia percaya boleh mengubah hidup dan menghindari anak-anak dia daripada malapetaka.

Ketiga-tiga wanita ini dibunuh dengan cara yang sama iaitu Leonarda akan mengajak wanita ini tadi datang ke kedainya. Selepas itu dia akan meletakkan ubat tidur pada makanan sebelum berikan makanan tersebut kepada wanita tadi. Sebaik sahaja dorang sudah tertidur, Leonarda akan menetak wanita tadi dengan kapak dan merebus mayat mangsa dengan caustic soda yang terdapat dalam kedainya.

Selain daripada membuat kek daripada mayat mangsa, Leonarda juga terkenal dengan menggunakan mayat mangsa dan jadikannya sebagai sabun mandi. Sabun mandi normal biasa mengandungi lemak haiwan dan Leonarda mendapat satu idea menukar lemak mangsanya tadi sebagai bahan untuk dia buat sabun mandi.

Leonarda turut menulis bagaimana dia jadikan lemak mangsanya tadi kepada sabun dalam buku diarinya:

“Her flesh was fat and white. when it had melted, i added a bottle of cologne, and after a long time on the boil, i was able to make some most  acceptable creamy soap.”

Dia kemudiannya memberikan sabun mandi ini tadi kepada jiran-jirannya dan juga kepada mereka yang selalu datang ke kedainya. Leonarda mempunyai cara dia yang tersendiri untuk dia mengumpan mangsanya. Ketiga-tiga wanita ini tadi sebelum dibunuh telah ditawarkan kerja sebagai cikgu diluar negara oleh Leonarda.

Tapi taktik Leonarda akhirnya dapat dihidu oleh pihak polis. Salah seorang mangsa Leonarda iaitu Virginia Cacioppo telah dilaporkan hilang dan kakaknya telah memberitahu pihak polis yang Leonarda merupakan orang terakhir yang berjumpa dengan adik perempuannya.

Pada mulanya Leonarda menafikan segala tuduhan polis terhadap dirinya tapi selepas polis cuba menuduh anak lelakinya, Giuseppe terlibat dalam kes kehilangan wanita-wanita ini barulah Leonarda mengaku dan memberitahu pihak polis perkara yang sebenar. Leonarda akhirnya telah di dakwa atas kes kehilangan dan pembunuhan tiga orang wanita tadi. Dia telah menerima hukuman penjara selama 30 tahun dan juga tiga tahun di hospital gila. Dia akhirnya mati disebabkan penyakit Cerebral Apoplexy pada usia 76 tahun.

KATALAKI: Ini baru betul nenek kebayan yang sebenar!


Last modified: 31 July 2019