Lif Paling Tinggi Di Dunia

Sembang, ZAP, ZeKool

Menurut sejarah, lif terawal yang berjaya dibina untuk membawa penumpang turun dan naik setiap tingkat bangunan dengan selamat berlaku pada 23 Mac 1857 yang terletak di dalam bangunan 5 tingkat, dikenali sebagai Haughwout Building di New York. Elisha Otis merupakan individu bijaksana yang bertanggungjawab mencipta sebuah alat untuk menjamin keselamatan pengguna di dalam lif yang masih menjadi panduan sehingga kini. Tapi, korang pernah terfikir tak lif mana satu yang merupakan lif paling tinggi di dunia?

Bagi individu yang fobia atau takut untuk menggunakan lif, jumlah tingkat yang perlu diharungi untuk sampai ke tingkat yang dituju ibarat penyeksaan yang memang tak boleh dielakkan. Kalau bangunan tersebut setinggi 30 tingkat, lagi lah bertambah seksa nak mengharungi perjalanan ke tingkat yang dituju. Lif tertinggi di dunia pernah dicatat di dalam sejarah Guinness World Records yang terletak di Mponeng Gold Mine, Afrika Selatan, mempunyai ketinggian 2283 meter. Kalau nak dibandingkan, Menara Berkembar Petronas (KLCC) mempunyai ketinggian 452 meter dan Burj Khalifa setinggi 830 meter.

Mula beroperasi pada tahun 1986, lif paling tinggi di dunia yang terletak di Mponeng Gold Mine digunakan untuk tujuan membawa lebih daripada 4000 orang pekerja, 120 orang pekerja dalam satu masa, masuk ke dalam lombong emas yang mempunyai kedalaman sejauh 4 kilometer dari permukaan bumi. Selain daripada memegang rekod lif paling tinggi di dunia, Mponeng Gold Mine juga terkenal sebagai satu-satunya lombong emas yang mempunyai had kedalaman paling dalam di dunia. Disebabkan terlalu hampir dengan pusat bumi, suhu di dalam lombong emas Mponeng Gold Mine mampu mencecah sehingga 60 darjah celsius.

Mungkin susah untuk korang merasa sendiri pengalaman untuk menggunakan lif paling tinggi di dunia di Mponeng Gold Mine memandangkan tempat tersebut merupakan tempat bekerja untuk pelombong emas. Ada sebuah lagi lif yang juga pernah mencatat sejarah Guinness World Records, kali ni merupakan lif luar bangunan paling tinggi di dunia yang terletak di Hunan, China, dikenali sebagai Bailong Elevator.

Mula beroperasi untuk kegunaan umum pada tahun 2002, Bailong Elevator mempunyai ketinggian setinggi 326 meter yang dibina di tebing bukit Zhangjiajie National Forest Park, mengambil masa selama 1 minit 32 saat untuk penumpang sampai ke puncak. Bailong Elevator mempunyai 3 lif bertingkat untuk membawa penumpang menikmati pemandangan memukau Zhangjiajie National Forest Park, mampu menampung penumpang seramai 50 orang dalam satu masa setiap lif. Kalau korang teringin nak rasa sendiri pemandangan dan pengalaman menggunakan lif luar bangunan tertinggi di dunia, Zhangjiajie National Forest Park mengalu-alukan kedatangan pelawat dan pelancong untuk mencuba sendiri Bailong Elevator.

KATALAKI: Lagi bertambah seram kalau lif paling tinggi di dunia menggunakan tapak kaca yang boleh nampak pemandangan bawah kaki dengan jelas.

Last modified: 17 June 2020