Liverpool, Kelab Terbaru Yang Pernah Pegang Piala Premier League

Aktif, Bola, ZAP, ZeKool

Selepas berpuluh tahun terseksa dipertikaikan kemampuan dan dijadikan bahan lawak, akhirnya pemain, staf kejurulatihan dan terutama sekali penyokong-penyokong Liverpool boleh menikmati kejayaan terbaru kelab kesayangan sepuas-puasnya selepas Liverpool kini sah bergelar juara Premier League untuk musim 2019/20.

Takde lagi kelab yang pernah menempuh cabaran untuk menjulang piala Premier League pertama kali macam yang dilalui oleh Liverpool. Walaupun sejak di pertengahan musim Liverpool dah dijangka menjadi juara Premier League untuk musim 2019/20 selepas menampilkan prestasi menakjubkan, meninggalkan pencabar terdekat, Manchester City yang jauh tertinggal di belakang, tapi Liverpool terpaksa menunggu selama berbulan-bulan apabila sebarang perlawanan bola sepak di seluruh dunia terpaksa ditangguh disebabkan pandemik COVID-19. Semasa saingan Premier League lama tertangguh, ada pula ura-ura yang mengatakan Premier League musim 2019/20 terpaksa dibatalkan tanpa juara. Banyak betul dugaan. Akhirnya, semua cabaran dan halangan berjaya ditepis oleh Liverpool dan kini, buat pertama kali dalam sejarah, Liverpool sah diangkat sebagai juara Premier League di England.

Mungkin ada lagi yang masih keliru, takkan lah kelab sehebat Liverpool, ini baru pertama kali menang Premier League. Sebelum ni Liverpool dah pernah bergelar juara liga bola sepak tertinggi di England sebanyak 18 kali sejak tahun 1901 dan kali terakhir pada tahun 1990. Tapi, selepas jenama Premier League mula diperkenalkan pada tahun 1992, Liverpool belum pernah lagi berjaya menjulang piala Premier League sehingga lah pada tahun 2020. Maknanya, yang terkini, Liverpool dah pernah bergelar juara liga bola sepak tertinggi di England sebanyak 19 kali.

Secara keseluruhan dalam sejarah bola sepak England, Manchester United merupakan kelab paling berjaya di England selepas memegang rekod 20 kali pernah menjadi juara liga bola sepak tertinggi di England diikuti oleh Liverpool yang kini dah mengumpul 19 kali gelaran juara. Rasanya, dalam masa beberapa tahun lagi, tak mustahil untuk Liverpool memadam rekod yang dipegang oleh Manchester United walaupun baru pertama kali menjulang piala Premier League.

Selain daripada pemain dan penyokong, pengurus Liverpool, Jurgen Klopp juga diangkat sebagai individu paling penting yang membentuk dan membimbing Liverpool untuk menjadi sebuah kelab bola sepak terhebat di dunia dengan membuktikan kehebatan menerusi kemenangan piala UEFA Champions League 2018/19, FIFA Club World Cup 2019/20, UEFA Supercup 2019/20 dan yang paling terkini, juara Premier League untuk musim 2019/20. Musim pertama bersama Liverpool, Jurgen Klopp dihina teruk sehingga digelar sebagai “Jurgen Flop” selepas Liverpool hanya menamatkan saingan Premier League musim 2015/16 di tempat ke-8.

Musim seterusnya, selepas beberapa pemain baru berkualiti dibawa masuk ke Liverpool antaranya Andrew Robertson, Georginio Wijnaldum, Sadio Mané dan Mohamed Salah, Liverpool berjaya menamatkan saingan Premier League untuk musim 2016/17 dan 2017/18 di tempat ke-4. Tiba musim 2018/19, Jurgen Klopp betul-betul nak membuktikan Liverpool memang layak untuk menang piala, bukan je di England tapi juga di peringkat Eropah dengan membawa masuk Fabinho, Alisson dan Virgil van Dijk untuk menjadikan Liverpool sebuah pasukan yang lengkap.

Sekarang ni, kalau korang tengok senarai pemain Liverpool, semua posisi dibarisi dengan pemain-pemain yang berkualiti dan sudah pasti, kejayaan Liverpool akan diteruskan lagi pada masa akan datang. Bila dah terbukti sebagai kelab terbaik di England dan Eropah, semakin ramai pemain ternama dan berkualiti yang berminat untuk bermain untuk Liverpool lepas ni. Liverpool bukan lagi pasukan belasahan. Tak boleh bayangkan betapa gagahnya Liverpool pada masa akan datang dengan kehadiran pemain-pemain ternama baru yang berminat untuk berjuang bersama Liverpool.

KATALAKI: Tahun 2020 yang sangat bermakna untuk pemain dan penyokong Liverpool. Cara sambutan kemenangan Premier League pun lain daripada yang lain.

Last modified: 27 June 2020