Ini Gaya LIVERPOOL Julang Piala Premier League Pertama Kali Dalam Sejarah

Aktif, Bola, ZAP, ZeKool

Selepas Premier League mengumumkan secara rasmi mengenai perlawanan Premier League yang akan disambung semula pada 17 Jun 2020 selepas tertangguh hampir 3 bulan disebabkan pandemik COVID-19, tumpuan penuh sudah pastinya tertumpu kepada Liverpool yang kembali mempunyai peluang dan kelebihan untuk menjulang piala Premier League, pertama kali dalam sejarah Liverpool. Kali terakhir Liverpool pernah merasa mengucup piala liga bola sepak Inggeris adalah pada tahun 1990. Masa tu Premier League belum lagi diperkenalkan.

Sejak Premier League ditangguhkan pada bulan Mac tahun 2020, Liverpool berada di puncak liga menjarakkan diri daripada Manchester City dengan perbezaan 25 mata, berbaki 9 perlawanan. Kalau mengikut reputasi dan prestasi semasa pasukan Liverpool, agak mustahil untuk Manchester City menidakkan peluang Liverpool untuk bergelar juara Premier League musim 2019/20. Korang dah boleh bayangkan tak macam mana agaknya keadaan dan suasana ketika Liverpool menjulang piala Premier League nanti, semasa dunia masih lagi mengamalkan budaya penjarakan sosial?

Yang terbaru, kelab bola sepak yang bersaing di liga bola sepak Austria, RB Salzburg dah pun dinobatkan sebagai juara Austrian Cup untuk musim 2019/20 dan meraikan kejayaan dengan mengamalkan normal baharu dunia bola sepak termasuk lah masih mengekalkan amalan penjarakan sosial dan tanpa disaksikan oleh penyokong-penyokong di dalam stadium. Menerusi cara sambutan kejuaraan liga yang diraikan oleh RB Salzburg, rasanya kita sendiri dah boleh nampak, Liverpool juga akan menggunakan SOP (Standard Operating Procedure) yang sama untuk meraikan kejayaan kali pertama menjulang piala Premier League selepas tamat saingan Premier League untuk musim 2019/20 nanti.

Buat masa ni, jadual terbaru perlawanan terbaru Premier League belum lagi ditentukan secara rasmi oleh pihak Premier League. Korang boleh sentiasa semak jadual Premier League di aplikasi Premier League yang dah lama berhabuk atau boleh gak follow akaun media sosial rasmi Premier League untuk dapatkan berita terkini mengenai tarikh baru perlawanan Premier League. Tapi setakat yang dah confirmed, 2 perlawanan yang dah lama tertangguh disebabkan bertembung dengan tarikh perlawanan akhir Carabao Cup pada 1 Mac 2020 yang lepas akan dilangsungkan terlebih dahulu melibatkan perlawanan Aston Villa menentang Sheffield United dan Manchester City menentang Arsenal pada 17 Jun 2020 nanti.

KATALAKI: Jadual perlawanan padat nanti, kita pun meriah lah nak updateΒ pemain kat Fantasy Premier League.

Last modified: 31 May 2020