Macam Tak Sangka, Adama Traore Rupanya Produk Barcelona

Aktif, Bola, ZeKool

Selepas berjaya menjaringkan 3 gol dalam dua perlawanan menentang Manchester City dan 1 gol menentang Tottenham Hotspur, nama Adama Traore mula popular di kalangan peminat dan penonton Premier League terutama sekali kepada korang yang terlibat dengan permainan Fantasy Premier League. Ada gak peminat bola sepak yang baru tahu sebenarnya Adama Traore datang daripada sebuah pasukan ternama di Sepanyol iaitu Barcelona sebelum berhijrah ke Premier League. Tapi siapa sebenarnya Adama Traore ni?

Lahir pada tahun 1996 dan berumur 24 tahun pada tahun 2020, Adama Traore dilahirkan di sebuah bandar di Sepanyol yang dikenali sebagai L’Hospitalet, terletak di Catalonia. Pasukan pertama yang mencungkil bakat Adama Traore di usia muda adalah sebuah pasukan yang berpangkalan di L’Hospitalet iaitu CE L’Hospitalet sebelum berpindah ke Barcelona pada tahun 2004 ketika berumur 8 tahun.

Selama 9 tahun bakat Adama Traore diasah oleh akademi bola sepak Barcelona, pada tahun 2013, Adama Traore secara rasmi beraksi di La Liga bersama dengan pasukan senior Barcelona. Masa ni Neymar masih lagi bersama dengan Barcelona. Selepas berjaya diserapkan untuk beraksi dengan pasukan senior Barcelona, Adama Traore berjaya jaringkan 1 gol dalam 4 perlawanan dan menang 2 piala bersama Barcelona sebelum berpindah ke Aston Villa untuk beraksi di Premier League buat pertama kali pada tahun 2015.

Hanya 1 musim beraksi di Aston Villa, seterusnya Adama Traore berpindah untuk bersama dengan pasukan Middlesbrough pada tahun 2016 dan berjaya menang beberapa anugerah antaranya Middlesbrough Fans’ Player of the Year, Middlesbrough Players’ Player of the Year, Middlesbrough Young Player of the Year untuk musim 2017/2018.

Selepas aksi mantap yang ditampilkan bersama Middlesbrough, Wolves yang baru melonjak masuk ke Premier League pada tahun 2018 membeli Adama Traore dengan harga yang dikatakan mencecah 18 Juta Pound Sterling bersamaan dengan RM 96 Juta.

Buat masa ni, Adama Traore dah berjaya jaringkan 6 gol dan mencipta 10 bantuan gol dalam 65 perlawanan bersama Wolves. Kalau korang sendiri tengok Adama Traore beraksi atas padang, kelajuan dan kelincahan merupakan salah satu kelebihan yang dimiliki oleh Adama Traore walaupun memiliki badan yang sasa. Ada yang kata Barcelona gagal untuk membentuk Adama Traore menjadi seorang pemain bola sepak ternama dan ada gak yang kata Adama Traore bukan orang yang penyabar sebab selalu berpindah pasukan. Tapi keputusan Adama Traore untuk beraksi dengan pasukan Wolves buat masa ni nampak bijak memandangkan ramai gak pemain bola sepak yang berbakat ada kat Wolves. Wolves sekarang ni pun antara pasukan yang digeruni oleh pasukan gergasi Premier League.

KATALAKI: Korang rasa suatu hari nanti Adama Traore patut berpindah ke pasukan yang lebih ternama atau kekal dengan Wolves?

Last modified: 3 January 2020