Mainan² Anak Patung Seram Yang Tak Patut Dimiliki

Sembang

Kalau lelaki mungkin tak ada lah mainan-mainan anak patung macam ni. Kalau ada pun kita tak panggil anak patung, tapi action figure. Tapi sejak beberapa tahun ni, figura-figura anak patung yang seram semakin menjadi topik tumpuan orang ramai. Semuanya hasil daripada filem seram yang memaparkan keseraman anak patung seperti Annabelle dan juga Chucky. Selain daripada kedua-dua permainan anak patung ni, sebenarnya ada lagi mainan-mainan anak patung lain yang pernah dijual kepada umum dan dalam masa yang sama agak creepy untuk dimiliki. Walaupun dah tak ada dijual lagi pada masa sekarang, tapi jom tengok permainan anak patung mana yang pernah dikatakan seram untuk dimain oleh kanak-kanak. 

PATUNG MAINAN THOMAS EDISON

Selepas mencipta peti nyanyian pada tahun 1877, Thomas Edison mendapat idea ‘bijak’ untuk menggunakan peti nyanyian tersebut. Suara dirakamkan ke dalam peti nyanyian tersebut dan kemudian diletakkan ke dalam mainan anak patung. Maka, anak patung yang boleh bercakap dan bernyanyi pun mula dihasilkan dan dijual pada tahun 1890. Walaupun ianya dah lama, tapi anak patung ini dikatakan masih tersimpan lagi sehingga sekarang. Dikatakan ketika anak patung ini dihasilkan, produksi kilang hanya bertahan selama enam minggu sahaja disebabkan ianya agak rapuh untuk penghantaran. Antara sebab lain hayat anak patung ini pendek adalah sebab kanak-kanak ketika itu takut dengan suara dan juga bunyi yang keluar darinya. Kalau korang dengar sendiri mungkin korang pun rasa seram.

ANAK PATUNG MAIN BISIK-BISIK

Pada tahun 1965, syarikat mainan Mattel dengan gahnya memperkenalkan mainan anak patung bercakap yang dikenali dengan nama ‘Baby Secret.’ Mainan anak patung ini gemar untuk berada hampir dengan pemiliknya, sehampir yang boleh sehingga bisikan ‘Baby Secret’ ini mampu didengari. Antara ayat yang dibisikan adalah seperti “I like to sleep with you” dan “hold me closer.” Mungkin kalau bermain dengan anak patung ini pada waktu siang tak menimbulkan perasaan takut, tapi kalau tengah malam boleh tahan seram sejuk dia. Dah kenapa nak main bisik-bisik dekat telinga. 

TELEPHONE TAMMY INSPIRASI KEPADA KISAH SERAM

Dikatakan daripada mainan ini lah terhasil sebuah kisah seram tentang seorang pengasuh yang hampir dibunuh lelaki misteri di dalam rumah. Kisah seram atau urban legend ini mengisahkan tentang seorang pengasuh yang sedang menonton TV di tingkat bawah selepas menidurkan anak-anak kecil jagaannya. Tiba-tiba satu panggilan telefon daripada lelaki yang tidak dikenali memintanya untuk melihat anak-anak kecil di atas.

Pengasuh itu menelefon polis selepas beberapa kali lelaki misteri itu menelefonnya. Selepas itu, polis meminta pengasuh itu untuk keluar dari rumah tersebut kerana lelaki misteri itu sebenarnya berada di tingkat atas, dan anak-anak kecil semuanya telah mati dibunuh. Versi yang lagi real pula mengatakan tiada sesiapa pun di tingkat atas. Yang ada cuma lah anak patung ‘Telephone Tammy’ yang berlumuran darah. Tapi ada Mila Kunis lah dalam iklan Telephone Tammy ni

PATUNG MAINAN FURBY CAKAP BAHASA ASING

Dikatakan patung mainan Furby ini telah menakutkan ramai orang sejak pertama kali dilancarkan pada tahun 1998. Tapi ia tidak menjadi penghalang patung mainan ini dibeli oleh orang ramai dan menjadi salah satu patung mainan yang popular. Korang sempat tak beli Furby ni? Tapi dikatakan Furby telah menjadi inspirasi untuk banyak kisah seram dan mimpi ngeri. Ada juga yang mengatakan mainan ini sebenarnya dirasuki syaitan.

Mungkin apa yang menyeramkan tentang mainan ini adalah bahasa asing yang dituturkan serta kebolehan untuk ‘belajar’ daripada pemiliknya. Patung mainan ini juga berkebolehan untuk berinteraksi sesama mereka dengan adanya teknologi infrared yang tertanam di bahagian kepala. Bayangkan korang tinggalkan beberapa patung mainan ni dalam bilik kemudian mereka mula bercakap sesama sendiri. Jadi memang boleh bertukar daripada patung mainan yang comel kepada patung mainan creepy

CHUCKY VERSI PEREMPUAN

Anak patung bernama ‘Cricket’ dipasarkan dua tahun sebelum keluarnya filem seram ‘Child’s Play.’ Anak patung Cricket mampu untuk kelipkan mata, gerakan bibir yang sama dengan nyanyian lagu, serta membuat lawak ‘knock knock.’ Semasa dipasarkan, anak patung ini sepatutnya menjadi permainan yang diimpikan oleh semua gadis kecil. Sehingga lah filem Child’s Play keluar yang telah menghantui kanak-kanak terhadap permainan anak patung yang boleh bercakap dan kelipkan mata. Mungkin apa yang dipaparkan dalam filem tersebut seolah-olah sama dengan anak patung bernama Cricket itu dan membuatkan kanak-kanak takut dengan Cricket.

Kebanyakkan anak patung yang menyeramkan ni datang daripada zaman dahulu. Kalau zaman sekarang rasanya dah tak ada anak patung yang dikaitkan dengan misteri atau keseraman. Kalau ada siapa-siapa rasa nak kumpul mainan anak patung yang dikatakan seram ni, boleh lah cari yang second-hand punya. Boleh buat rare item collection.

KATALAKI: Selain Annabelle dan Chucky, ada juga permainan anak patung lain yang dikatakan pernah menghantui kanak-kanak zaman dahulu…

Last modified: 30 July 2020