Makhluk² Ajaib Yang Menjadi Ketakutan Manusia

Sembang, ZAP

Makhluk-makhluk ajaib yang aku nak cerita ni bukan lah makhluk-makhluk ajaib seperti dalam filem ‘Fantastic Beasts and Where to Find Them,’ tapi makhluk-makhluk mitos. Bila sebut berkenaan mitos ni tentu lah ia bermaksud perkara yang tidak dapat dibuktikan dengan penemuan saintifik tetapi masih lagi menjadi pegangan atau kepercayaan sesetengah masyarakat. So kali ini Thelaki akan rungkaikan beberapa makhluk ajaib atau mitos ni yang dikatakan menjadi ketakutan manusia. Mungkin beberapa makhluk ni korang tak pernah dengar kisah lagendanya.

HYDRA

Yang ini tak sama dengan ‘Hail Hydra’ dalam filem Avengers okay. Hydra merupakan makhluk yang mempunyai sembilan kepala menyerupai naga dan dikatakan sangat beracun sehingga nafasnya juga mengeluarkan racun. Dikatakan kalau salah satu kepalanya dipenggal, maka ia akan tumbuh yang baru. Ia menjadikan makhluk ini sukar untuk dibunuh (itu pun kalau betul wujud lah makhluk ni). Tapi Hydra ni dah banyak kali juga muncul dalam filem-filem fiksyen Hollywood sebagai haiwan atau raksasa buas.

KRAKEN

Banyak perdebatan tentang makhluk yang menyerupai sotong bersaiz gergasi ni. Sebabnya para saintis pernah menemui seekor sotong raksasa yang mampu membesar sehingga lebih 270 kilogram. Mungkin rupa sebenar Kraken ini hanya ditokok tambah, tapi apa yang benar-benar ada di lautan masih kekal misteri. Jadi sebab itu ada sesetengah orang kata tak mustahil Kraken ni wujud. Ketika abad ke-18, terdapat laporan yang mengatakan bahawa nelayan dari Norway sering melihat makhluk ini yang selalunya muncul ketika cuaca panas. Banyak juga kisah-kisah pelaut yang menjadi mangsa korban kepada Kraken yang besarnya dikatakan menyamai panjang 10 buah kapal perang. Sehingga kini, ia masih menjadi kisah yang menakutkan buat para pelaut. 

NIAN

Ia merupakan makhluk mitos yang terkenal di negara Cina. Menurut lagenda, makhluk ini akan turun daripada gunung setahun sekali untuk mencari makanan di perkampungan. Tidak ada senjata yang dapat menghentikan makhluk ini dan hanya menunggu masa sahaja untuk haiwan ini berlalu pergi. Menurut kisah orang-orang Cina kuno, mereka hanya mampu untuk menutup semua tingkap, mengunci pintu, dan bersembunyi di bawah katil dengan harapan Nian tidak memakan mereka.

Rupa makhluk ini dikatakan mempunyai wajah seperti singa dengan dua tanduk besar di kepalanya dan satu set gigi yang tajam yang terkeluar dari mulutnya. Ia juga sangat besar, bahkan lebih besar daripada gajah atau makhluk lain yang ada di muka bumi ini. Kalau kita dekat zaman moden ni, bunyi pun dah macam mengarut dah. Makhluk ini juga dikatakan gemar memakan kanak-kanak. 

Jadi apa yang menariknya tentang makhluk ini adalah ia telah mewujudkan satu budaya dalam masyarakat Cina, iaitu cara sambutan perayaan Tahun Baru Cina. Dikatakan makhluk tersebut adalah jelmaan tuhan dan boleh ditakutkan dengan kain warna merah serta bunyi yang kuat. Sehingga ke hari ini, perayaan Tahun Baru Cina sangat sinonim dengan bunyi mercun yang kuat, serta pemakaian dan hiasan warna merah. Kira ni dah menjadi sebahagian budaya diorang lah, so korang jangan marah pula kalau dengar bunyi mercun kuat-kuat masa CNY tu.

BASILISK

Kalau korang pernah tengok cerita Harry Potter, mungkin korang familiar dengan makhluk ni. Basilisk merupakan makhluk yang menyerupai ular tetapi bersaiz besar seperti raksasa dan mempunyai paruh seperti burung. Dikatakan hikayat makhluk ini bermula pada tahun 1587 di Warsaw (ibu negara Poland). Seorang gadis berusia lima tahun dikhabarkan hilang dari rumahnya selepas keluar bermain dengan kawannya. Ibunya serta pembantu rumah pun pergi mencari kanak-kanak tersebut dan menjumpainya di bilik bawah tanah sebuah rumah yang terbengkalai selama 30 tahun. 

Mereka menemui gadis tersebut dalam keadaan badan mereka kaku dan tak bergerak. Semasa pembantu rumah itu turun ke bawah, dikatakan tiba-tiba badannya juga kaku mengeras. Penduduk di bandar tersebut mengatakan bahawa pembantu rumah tersebut membeku selepas menatap mata makhluk Basilisk itu. Maka terkenal lah makhluk itu dengan kebolehan membunuh hanya dengan satu pandangan. 

Tapi mungkin ianya merupakan haiwan sebenar yang mana cerita tentang rupa bentuknya ditokok-tambah untuk menakutkan lagi orang ramai. Sebabnya memang ada ular jenis kobra yang berasal dari Libya yang boleh menyemburkan racun dan membunuh orang.

PULGASARI

Dikatakan Korea Utara telah menjadikan makhluk ini sebagai bintang filem propaganda terhebat mereka. Di bawah pemerintahan Kim Jong-II, dua pengarah Korea telah diculik untuk menghasilkan filem ini, iaitu sebuah filem raksasa seperti Godzilla yang diselitkan mesej-mesej berkaitan komunis. 

Dalam kisah lagenda asal pula, Pulgasari sebenarnya diciptakan oleh seorang sami Buddha ketika seorang gabenor jahat sedang menjalankan operasi menangkap semua sami Buddha untuk dimasukkan ke dalam penjara. Sami Buddha tersebut kemudian bersembunyi di dalam almari bilik adiknya. Untuk menghabiskan masa ketika bersembunyi, sami itu memcipta seekor makhluk kecil dari sebutir nasi. Agak terkejut juga si sami itu bila mendapati makhluk itu hidup. Sami itu pun bagi makan jarum kepada makhluk tu, sebab itu je yang ada masa tu.

Bila Pulgasari dah semakin besar daripada rumah tersebut, dia pun pergi merayau ke bandar untuk mencari makanan rujinya, iaitu besi. Maka hancur lah bangunan-bangunan di bandar itu dikerjakan oleh Pulgasari. Disebabkan dia hanya memakan besi, dikatakan kulitnya juga keras seperti besi dan sukar untuk dibunuh. Macam menarik kisah lagenda Pulgasari ni, tetapi ia dikatakan hanya kisah propaganda ciptaan Korea Utara. 

KATALAKI: Malaysia punya versi makhluk ajaib pula contohnya macam Geruda, Sang Kelembai, Duyung, dan Naga Tasik Chini…Tapi tu kita cerita dalam next artikel pula ya gais!

Last modified: 21 July 2020