Makna Sebenar Boomer, Gen X & Millennial

Sembang, ZAP, ZeKool

Kalau korang salah seorang daripada individu yang sangat aktif di media sosial, sebelum ni mesti korang pernah ternampak sebaris ayat “Ok, boomer” yang digunakan oleh ramai pengguna media sosial sehingga tular. Ayat “Ok, boomer” mula wujud selepas golongan generasi yang lebih muda cuba mengekspresikan respons kepada golongan Boomer yang dianggap ketinggalan zaman, dah tak relevan dan takut dengan perubahan. Tapi persoalannya, siapa sebenarnya yang tergolong dalam golongan Boomer ni?

BABY BOOMERS

Boomer atau juga dikenali sebagai Baby Boomers merupakan generasi manusia yang lahir pada tahun 1946 sehingga 1964, membesar semasa dunia baru selesai menghadapi Perang Dunia Kedua yang tamat pada tahun 1945. Maknanya, pada tahun 2020, generasi Boomer berumur di antara 56 tahun sehingga 74 tahun.

Generasi Boomer juga adalah golongan terbesar yang mengamalkan penggunaan media tradisional antaranya TV, radio, surat khabar dan majalah. Disebabkan teknologi semakin maju sekarang ni, dah semakin ramai generasi boomer yang mula terlibat dalam penggunaan media sosial untuk kekal berhubung dengan generasi yang semakin moden dan kawan-kawan lama. Selain daripada memiliki daya pemikiran dan penggunaan media yang berbeza dengan generasi terkini, generasi Boomer juga dianggap mempunyai pengurusan kewangan yang diatur untuk kegunaan masa akan datang termasuk lah memastikan diri mempunyai duit pencen selepas tidak lagi mempunyai tenaga untuk bekerja dan menyediakan bekalan kewangan untuk anak-anak.

GENERATION X

Selepas generasi Boomer, muncul pula generasi baru yang semakin terdedah kepada zaman kemodenan, dikenali sebagai Generation X (Gen X) yang lahir di antara tahun 1965 sehingga 1979. Berumur 41 tahun sehingga 55 tahun pada tahun 2020, Gen X masih lagi menggunakan radio, surat khabar dan majalah sebagai sumber media. Tapi lebih banyak menggunakan masa untuk menonton TV, dalam masa yang sama, aktif di media sosial terutama sekali Facebook.

Daripada segi kewangan, Gen X dibantu dengan kemudahan internet untuk mengatur dan mengkaji rancangan kewangan secara digital, tapi sebarang urusan kewangan masih lagi cenderung menggunakan kaedah lama iaitu secara bersemuka.

MILLENNIALS

Juga dikenali sebagai Gen Y, generasi Millennials lahir di antara tahun 1980 sehingga 1994 yang kebanyakkannya dah mula beralih arah daripada segi penggunaan media. Ada lagi generasi Millennials yang menonton TV, tapi disebabkan sekarang ni dunia lebih banyak didedahkan dengan kemudahan menonton rancangan kesukaan secara atas talian, ramai yang dah mula melupakan siaran TV dan lebih cenderung kepada Netflix, YouTube, Disney+ dan sebagainya. Generasi Millennials juga lebih selesa berurusan dan berkomunikasi menggunakan peranti mudah alih, di samping mempunyai beberapa pilihan akaun media sosial.

Generasi Millennials antara generasi yang mengalami kepayahan dalam pengurusan kewangan disebabkan hutang pengajian, peluang pekerjaan yang semakin sengit dan sebagainya. Ini menyebabkan kebanyakan generasi Millennials yang lewat mendirikan rumah tangga dan masih gagal memiliki sebuah rumah.

GENERATION Z

Generation Z atau Gen Z merupakan generasi paling moden yang lahir di antara tahun 1995 sehingga 2015, yang kebanyakkannya sudah pun terdedah dengan penggunaan telefon pintar ketika berumur 10 tahun sama ada menggunakan telefon pintar ibu bapa masing-masing atau memiliki telefon pintar sendiri. Disebabkan kepayahan yang berlaku kepada generasi Millennials, kebanyakan Gen Z dah mula sedar tentang betapa pentingnya perancangan kewangan. Gen Z lebih cenderung untuk mengelakkan daripada mempunyai sebarang hutang, dengan penggunaan teknologi kad debit dan mobile banking.

KATALAKI: Sekarang dah boleh kenal pasti, korang tergolong dalam generasi yang mana satu.

Last modified: 23 June 2020