Makna Setiap Bendera Dalam MotoGP

Aktif, Motorsports

Kalau yang selalu layan MotoGP, mesti korang perasan ada macam-macam warna bendera yang dikibarkan oleh pegawai litar untuk bagi isyarat kepada pelumba yang berada di dalam litar. Kadang-kadang kita yang tengah sedap layan MotoGP ni jadi blur jap kenapa lak bendera banyak berkibar ni.

Bendera yang dikibarkan tu bukan untuk pelumba je sebenarnya. Tapi untuk penonton yang tengok perlumbaan MotoGP gak. Sama ada penonton kat litar atau pun kat TV. Kali ni kami nak kongsikan mengenai makna bendera yang digunakan dalam MotoGP supaya korang lebih faham lepas ni.

Black Flag

Image Via : motogp.com

Jika Black Flag dikibarkan, ini bermakna pelumba tersebut dibatalkan daripada perlumbaan atas sebab-sebab tertentu. Pelumba yang dikenakan Black Flag kena masuk ke laluan pit untuk menamatkan perlumbaan. Pasukan pelumba tersebut akan diberitahu dulu mengenai Black Flag yang akan dikibarkan. Lepas tu baru lah pegawai litar kibarkan Black Flag berserta nombor motor kepada pelumba tersebut yang berada di dalam litar lumba.

Black Flag with Orange Disc

Bendera ni akan dikibarkan jika motor pelumba tersebut mengalami masalah dan boleh mengundang bahaya kepada pelumba lain. Pelumba tersebut kena tinggalkan litar lumba dan masuk ke dalam laluan pit dengan segera.

White Flag

Image Via : visordown.com

White Flag akan dikibarkan sekiranya perlumbaan bermula dalam cuaca yang panas dan tiba-tiba hujan mula turun. Semua pelumba kena masuk ke dalam pit masing-masing untuk tukar motor, gunakan motor yang sesuai digunakan dalam keadaan hujan. Sebelum ni kami ada kongsikan pasal White Flag dan perlumbaan Flag-to-Flag dengan lebih mendalam. Korang boleh baca kat sini.

White Flag with diagonal Red Cross and Yellow & Red Striped Flag

Image Via : sukan.my

Image Via : sukan.my

Jika dua bendera ni dikibarkan secara serentak, ini bermakna hujan mula turun di kawasan litar berdekatan dengan bendera yang dikibarkan. Pelumba kena berhati-hati melalui kawasan tersebut jika masih menggunakan motor yang tidak sesuai digunakan dalam keadaan hujan.

Blue Flag

Bendera ni bermaksud pelumba di depan wajib memberi laluan untuk pelumba yang berada di belakang. Kalau Blue Flag dikibarkan masa ujian masa, bertujuan untuk memberi amaran kepada pelumba yang di depan supaya jangan berada di dalam racing line pelumba lain yang tengah mengambil ujian masa. Kalau dalam perlumbaan, Blue Flag digunakan untuk memberi amaran kepada pelumba yang baru keluar daripada laluan pit supaya berhati-hati sebab ada motor lain yang tengah berlumba menuju ke jalan keluar laluan pit.

Yellow Flag

Yellow Flag ni digunakan untuk banyak peringkat. Kalau bendera ni dikibarkan semasa perlumbaan baru nak bermula, ini bermakna perlumbaan akan ditangguhkan sementara sesuatu isu yang terjadi selesai.

Jika bendera ni dikibarkan semasa perlumbaan atau ujian masa, tujuannya untuk memberi amaran kepada pelumba supaya berhati-hati sebab ada sesuatu yang bahaya terjadi kat depan. Jika dua Yellow Flag dikibarkan, pelumba kena lebih berhati-hati sebab ada sesuatu yang lebih bahaya terjadi dan perlumbaan mungkin akan dihentikan. Pelumba tidak dibenarkan untuk memotong sehingga Green Flag dikibarkan.

Green Flag

Bendera ni bermakna litar lumba selamat untuk digunakan

Red Flag

Sama ada dalam perlumbaan atau ujian masa, setiap pelumba wajib memperlahankan motor dan bersedia masuk ke dalam pit masing-masing jika Red Flag dikibarkan.

Chequered Flag

Ini bermakna perlumbaan atau pun ujian masa dah pun tamat.

KATALAKI: Lepas ni tengok MotoGP, korang rajin-rajin tengok bendera yang dikibarkan oleh pegawai litar lepas tu cuba fahamkan apa yang terjadi bila bendera tu dikibarkan.

Last modified: 12 July 2019