Maksud Sebenar Gelora Bung Karno

Aktif, Bola

Bukan senang untuk pasukan Harimau Malaya mencipta kemenangan di stadium keramat pasukan bola sepak kebangsaan Indonesia iaitu stadium Gelora Bung Karno. Lebih bermakna lagi, kemenangan yang berjaya dicatat oleh pasukan Harimau Malaya pada 5 September 2019 menentang pasukan Indonesia menghadiahkan 3 mata penting dan berharga untuk perlawanan pusingan ke-2 kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023.

Ibarat adik-beradik yang selalu bertekak dalam sebuah keluarga, permusuhan tradisi Harimau Malaya dan Indonesia dalam kancah bola sepak memang tak boleh dielak. Selepas Indonesia tewas kepada Harimau Malaya di stadium Gelora Bung Karno, ada segelintir penyokong Indonesia yang bertindak liar menggangu perjalanan perlawanan yang sedang berlangsung dan cuba memprovokasi penyokong Harimau Malaya yang tak henti mengerahkan jiwa dan raga untuk memberi semangat kepada Harimau Malaya beraksi di tempat lawan.

Keadaan semakin kecoh selepas tamat perlawanan sehingga penyokong Harimau Malaya terpaksa dikurung di dalam stadium untuk mengelakkan kejadian yang lebih buruk berlaku di luar stadium. Pemain-pemain Harimau Malaya pula terpaksa menggunakan kenderaan pihak polis untuk keluar dari stadium menuju ke hotel.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pun turut sama turun padang untuk memberikan sokongan kepada Harimau Malaya di stadium Gelora Bung Karno dan menyaksikan sendiri di depan mata kerakusan penyokong-penyokong pasukan Indonesia terhadap penyokong Harimau Malaya.

Kenyataan tegas yang dikeluarkan oleh Syed Saddiq mengenai insiden yang berlaku juga dipandang serius oleh Menteri Belia dan Sukan Indonesia, Imam Nahrawi yang memohon maaf secara langsung kepada Syed Saddiq.

Dalam masa yang sama, akaun Instagram FIFA dan AFC juga dihujani dengan komen-komen menceritakan situasi yang berlaku di stadium Gelora Bung Karno berserta dengan #BannedIndonesia.

Setakat perlawanan pertama untuk perlawanan kelayakan pusingan ke-2 kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023, Harimau Malaya mempunyai kelebihan dalam jumlah pungutan mata selepas Thailand dan Vietnam berkongsi 1 mata dengan keputusan perlawanan 0-0.

Untuk menguji pengetahuan korang mengenai stadium Gelora Bung Karno, korang tahu tak apa maksud Gelora Bung Karno tu?

Image Via : archinesia.com

Gelora tu bermaksud Gelanggang Olahraga dan Bung Karno sempena nama presiden pertama Indonesia, Soekarno. Stadium Gelora Bung Karno pernah ditukarkan nama menjadi Stadium Utama Senayan selepas Soeharto berjaya memperolehi kuasa sebagai presiden ke-2 Indonesia. Pada tahun 2001, nama Gelora Bung Karno kembali digunakan sehingga kini.

KATALAKI: Rakyat Malaysia yang berhati kering je yang berani turun ke stadium Gelora Bung Karno kalau ada perlawanan bola sepak antara Indonesia dan Malaysia.

Last modified: 10 September 2019