Malaysia Pembekal Sarung Tangan Getah Terbesar Di Dunia?

Sembang, ZAP, ZeKool

Semasa dunia diuji dengan pandemik COVID-19 yang memerlukan setiap manusia mementingkan tahap kebersihan diri, nama Malaysia berada di persada dunia apabila salah sebuah syarikat yang menghasilkan sarung tangan getah, Top Glove Corporation Bhd, sebenarnya merupakan pembekal sarung tangan getah terbesar di dunia. Sebelum dunia diserang wabak COVID-19, tak ramai yang tahu Top Glove memainkan peranan penting dalam membekalkan salah satu alat yang paling penting terutama sekali kepada frontliner yang memerangi wabak COVID-19, iaitu sarung tangan getah ke seluruh pelosok dunia.

Top Glove yang dah wujud sejak tahun 1991, ditubuhkan oleh Tan Sri Dr. Lim Wee Chai bersama isterinya dengan hanya mempunyai sebuah kilang pada mulanya, kini mempunyai kilang di 3 negara yang berbeza iaitu Malaysia, China dan Thailand. Selain daripada tu, Top Glove Corporation Bhd juga mempunyai pejabat pemasaran yang terletak di Amerika Syarikat, Jerman dan Brazil untuk mengeksport produk Top Glove ke 195 negara di seluruh dunia.

Selain daripada sarung tangan getah yang digunakan dalam pelbagai bidang antaranya perubatan, pengilangan dan pemakanan, Top Glove juga menghasilkan dan membekalkan produk lain yang berasaskan getah antaranya kondom, dental dam, alatan bersenam dan yang terbaru, topeng muka.

Dengan kejayaan sebuah syarikat menghasilkan produk berasaskan getah yang dijual ke seluruh dunia, Tan Sri Dr. Lim Wee Chai juga tersenarai dalam senarai 50 orang terkaya di Malaysia pada tahun 2020 yang dikeluarkan oleh Forbes, setanding Tan Sri G. Gnanalingam (Westports) ,Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary dan Tan Sri Jeffrey Cheah (Sunway). Tan Sri Robert Kuok masih lagi kekal sebagai manusia paling kaya di Malaysia pada tahun 2020, menurut Forbes.

Selain daripada Top Glove, ada lagi beberapa syarikat yang juga merupakan pengeluar sarung tangan getah terbesar di Malaysia antaranya Hartalega Holdings Berhad, Kossan Rubber Industries Bhd, Supermax Corporation Berhad dan Rubberex (M) Sdn. Bhd. Sebab tu lah Malaysia terkenal sebagai salah satu pengeluar sarung tangan getah terbesar di dunia.

KATALAKI: Sebesar-besar negara China dan Amerika Syarikat, dorang belum mampu lagi menjadi negara pengeksport getah terbesar di dunia.

Last modified: 18 May 2020