Mancis Lejen Bertapak Di Malaysia Sebelum Merdeka Lagi?!

Sembang, ZAP

Kalau bercakap soal ‘lejenni memang selalunya akan merujuk kepada sesuatu benda atau perkara (atau orang) yang dah lama dan otai. Contohnya motosikal ‘kapcai’ yang dipanggil lejen sebab dah wujud sejak zaman atuk dan nenek kita muda-muda dahulu. Individu-individu lejen juga sama, merujuk kepada orang lama yang boleh dianggap otai dalam sesuatu perkara. Bila dah bergelar lejen ni, maksudnya benda tu juga bukan lah benda yang biasa-biasa.

So kali ni Thelaki akan share tentang sejarah sebatang mancis yang berjenama Cap Lada. Jenama mancis ni memang dari zaman atuk dan nenek kita dah pakai, dan ia masih dipakai sehingga sekarang. Masa korang kecil-kecil dulu pun selalu akan gunakan mancis ni untuk nyalakan pelita masa musim raya kan. Itu lah sebabnya mancis Cap Lada ini dikatakan sebagai lejen. Jadi apa kisah dan asal usul mancis ni?

DIPANGGIL ‘GESEK’ DI KELANTAN

Jangan tak tahu mancis Cap Lada ni dah lama wujud dekat Malaysia, iaitu sejak tahun 1933 lagi. Waktu tu mak dengan ayah kita pun belum lahir lagi. Kilang mancis Cap Lada ini mula dibuka dan beroperasi di kelantan, dan ia merupakan kilang mancis pertama dan tertua di Malaysia. Walaupun semakin mendapat permintaan yang kurang akibat persaingan daripada pemetik api yang lebih moden, kilang ini kekal beroperasi sehingga kini. Orang di Kelantan sebut mancis sebagai ‘gesek.’ Jadi kalau korang ke Kelantan nak cari mancis, boleh try cakap “gesek ada boh?.”

Kilang mancis ini (Kelantan Match Factory) mampu menghasilkan sebanyak 800,000 kotak mancis dalam masa sehari. Tapi dikatakan hanya kotak dan mancis sahaja yang dihasilkan di kilang tersebut, manakala batang mancis di import dari negara China. Menurut perkongsian daripada Kekanda Adinda di laman Facebook, kilang ini pada asalnya dimiliki oleh seorang pedagang dari Bombay dan telah bertukar tangan beberapa kali.

Pada tahun 1995 kilang ini dimiliki oleh Tan Chon San sehingga lah ke hari ini. Siapa nak melawat Kelantan Match Factory ni boleh pergi ke alamat No 4874-A Jalan Atas Bonggol, Kota Baharu, Kelantan. Walaupun dah lama bertapak dan mendapat saingan hebat dengan perubahan teknologi moden, kilang ini dikatakan masih mampu memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat. Terdapat juga lagi satu kilang mancis yang baru terletak di Taiping, Perak. 

KEKAL MURAH SEHINGGA KINI

Apa yang menarik tentang mancis ini adalah ia masih lagi dihasilkan menggunakan kaedah yang sama. kaedah tradisional ini mungkin menjadi rahsia pembuatan mancis Cap Lada kekal sehingga sekarang. Kalau ikutkan kali terakhir aku beli mancis Cap Lada ni harganya masih lagi 30 sen untuk satu kotak. Tapi sekarang tak pasti samada dah naik harga atau pun masih kekal lagi dengan harga lama.

Walau bagaimanapun, mancis ini masih lagi mengekalkan harga yang murah dan tidak lebih daripada satu ringgit sekotak. Berani untuk aku katakan bahawa mancis Cap Lada ini masih mempunyai pelanggan setia yang menjadikan mancis sebagai alat menyalakan api. Kalau lighter korang selalu rosak atau hilang kena rembat dengan member, mungkin korang boleh beralih kepada penggunaan mancis.

KATALAKI: Dekat rumah aku tak ada lighter, tapi ada mancis Cap Lada ni untuk nyalakan lilin. Memang mancis lejen!

Last modified: 10 August 2020