Manusia Pertama Yang Terbukti Dilanggar Meteor

Sembang

Sebelum kita bercerita pasal alam angkasa lepas, pastikan korang tahu apa beza asteroid, meteoroid dan meteor. Asteroid adalah sejenis batu yang berada di angkasa lepas. Meteoroid pula merupakan batu yang terpisah daripada Asteroid. Bila meteoroid masuk ke dalam atmosfera bumi, ia dipanggil meteor.

Kejadian meteor menghentam bumi yang pernah direkodkan dalam sejarah berlaku pada tahun 2013 di Chelyabinsk, Rusia, mencederakan lebih daripada 1000 orang penduduk.

Walaupun hujan meteor pernah berlaku lebih daripada sekali dalam sejarah, tapi hanya seorang manusia je yang pernah rasa betapa sakit dan seksanya apabila dihentam oleh meteor iaitu Ann Hodges, satu-satunya mangsa hentaman meteor yang direkodkan dalam sejarah.

Selalunya, kalau ada kecederaan yang berlaku kepada manusia dalam kejadian hujan meteor sebelum ni, hanya disebabkan kesan impak selepas meteor menghentam tanah, bukan cedera disebabkan terkena hentaman meteor secara langsung.

Kejadian epik yang terjadi kepada Ann Hodges berlaku pada tahun 1954 di Sylacauga, Amerika Syarikat. Ann Hodges yang tengah sedap melepak siap berselimut di atas sofa, tiba-tiba dihentam oleh meteor yang menembusi bumbung dan siling rumah sebelum terkena badan Ann Hodges di bahagian peha. Nama Ann Hodges popular satu dunia masa ni.

Ann Hodges seterusnya dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan dan meteor tersebut diserahkan kepada United States Air Force. Disebabkan publisiti kejadian Ann Hodges ni mendapat liputan luas satu dunia, ramai yang mula mempersoalkan siapa yang berhak untuk simpan cebisan meteor yang menghentam Ann Hodges. Atas desakan orang ramai, meteor tersebut diberikan kepada Ann Hodges tapi dicabar oleh tuan rumah tempat kejadian berlaku.

Disebabkan Ann Hodges hanya merupakan penyewa, tuan rumah berjaya memiliki meteor tersebut melalui undang-undang mahkamah. Tak berhenti kat situ, Ann Hodges beli meteor tersebut daripada tuan tanah, sebab kononnya boleh jual balik dengan harga yang lebih mahal. Malang sekali, takde orang pun yang berminat nak beli dan meteor tersebut disedekahkan kepada Alabama Museum of Natural History pada tahun 1956, dipamerkan sehingga kini.

KATALAKI: Korang ada rasa teringin nak pegang dan tengok cebisan meteor depan mata?

Last modified: 20 March 2020