Masak Lemang Guna Buloh Je lah!

Sembang, ZeKool

Pejam celik pejam celik kita dah pun memasuki ke fasa akhir bulan Ramadan dan dijangka akan menyambut bulan Syawal pada 24 Mei ini. Tentu sekali raya pada tahun ini adalah sangat asing buat kita disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membendung penularan wabak COVID-19. Tak ada siapa pun menjangkakan yang kita bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam suasana tertutup. Walau bagaimanapun, raya tetap disambut secara kecil-kecilan bersama kerabat keluarga yang dekat. Dan setiap kali raya pasti akan ada juadah istimewa bagi memeriahkan lagi sambutan hari raya.

Juadah lemang boleh dikira sebagai antara juadah paling sinonim dengan hari raya. Cara masak lemang memang kebiasaannya menggunakan buloh yang diisi pulut nasi dan kemudiannya dibakar. Memang itu lah cara untuk masak lemang. Tapi ada juga orang kita yang terlebih kreatif masak lemang menggunakan tin dan juga Periuk Kera. Kedengaran aneh tapi memang ada yang masak menggunakan cara ni shingga mendapat sambutan orang ramai. Nampak macam ‘rare’ dan trendy tapi sebenarnya ada keburukan memasak lemang menggunakan tin kosong dan juga Periuk Kera.

BAHAYA MASAK DALAM TIN

Menurut seorang ahli kimia, Dr Fatimah Salim, yang berkongsikan maklumat di Facebook berkenaan bahaya memasak lemang dalam bekas tin, beliau menyatakan bekas tin mengalami tindakbalas kimia jika terdedah kepada suhu yang tinggi. Ini kerana bahan yang digunakan untuk membuat tin, termasuk lah aluminium merupakan sejenis logam yang reaktif. Jadi jika terdedah kepada haba memasak secara berterusan ia akan mengakibatkan bahan masakan bertindakbalas dengan bahan kimia tin tersebut.

Tambahan beliau, tin yang diperbuat daripada aluminium pula, tidakbalas akan menjadi lebih cepat dengan masakan yang bersifat asidik atau basik. Jadi kalau korang masak gunakan bekas tin kosong, makanan korang sebenarnya akan bercampur dengan bahan kimia yang dilepaskan tin tersebut. Ia akan membahayakan kesihatan korang juga sebab kandungan aluminium yang tinggi dalam badan boleh mengakibatkan masalah kesihatan berkaitan saraf tulang dan otak.

TAK SAMA DENGAN ALATAN MEMASAK

Walaupun ada yang kata tin tu sama je dengan kuali memasak di rumah, sebenarnya ia berbeza dengan alatan memasak yang diperbuat daripada aluminium di mana ia mempunyai satu lapisan aluminium oksida (Al2O3) yang sangat stabil. Lapisan ini menghalang hakisan aluminium dari masuk ke dalam makanan kita sekiranya tidak dikikis semasa mencuci.

Daun pisang yang digunakan pun sebagai pembalut pun tidak dapat menjamin tiada campuran aluminium ke dalam lemang tersebut sebab kita tak tahu berapa banyak aluminium yang terhakis semasa memasak dan berapa banyak daun pisang tu boleh menyerap. Jadi sebenarnya ada risiko kepada kesihatan masak lemang guna tin ni.

LEMANG PERIUK KERA ‘KOTOR’

Memang tiap tahun ada je orang yang nak buat makanan rare tanpa pedulikan kesan-kesannya. Lemang Periuk Kera ni dah lama juga ada, dan dah diberi amaran juga tentang bahayanya. Tapi tahun 2020 ni masih ada lagi yang degil nak buat lemang Periuk Kera ni. Selain daripada merosakkan ekosistem alam, sebenarnya Periuk Kera ni tak ada lah bersih sangat. Ini kerana Periuk Kera di dalam hutan dijadikan sebagai ‘tandas’ oleh haiwan seperti tupai.

So lepas ni kalau rasa nak makan, fikir-fikir lah dulu pasal ‘tandas’ haiwan di hutan. Pakar-pakar botani pun dah menyeru untuk tidak menjadikan lemang Periuk Kera sebagai juadah hari Raya Aidilfitri demi menyelamatkan spesies flora ini daripada pupus.

KATALAKI: Nak ‘rare’ boleh tapi jangan lah sampai membahayakan kesihatan dan merosakkan alam sekitar…

Last modified: 23 May 2020