Masih Single? Cuba Try Test Aplikasi Ni

Sembang

Dah berapa lama korang hidup keseorangan? Selain daripada keluarga dan kawan-kawan, setiap manusia juga memerlukan seseorang yang istimewa sebagai teman yang sentiasa berada di sisi. Bukan bermaksud hidup berseorangan tanpa teman istimewa tu tak bagus, tapi kalau korang nak cari teman istimewa dengan mudah, ada caranya. Sekarang ni semuanya di hujung jari.

Selain daripada menggunakan Instagram, Twitter atau Facebook untuk mencari kenalan baru, aplikasi mencari jodoh di smartphone atau lebih popular digelar sebagai dating apps merupakan salah satu cara yang mudah untuk korang mencari pasangan hidup. Terutama sekali kepada individu yang mempunyai kekangan masa atau terlalu pemalu untuk mencari kenalan baru di dunia realiti, dating apps mungkin boleh membantu korang menyelesaikan dilema yang korang tengah alami.

Sebelum menggunakan sebarang dating apps, pastikan korang tanam dulu sifat jujur dalam diri dan tentukan niat korang. Kalau korang dah berkahwin atau dah mempunyai teman istimewa, tapi masih nak guna dating apps, korang sendiri dah boleh fikir apa kebarangkalian yang akan terjadi pada masa akan datang.  Tapi, kalau korang masih lagi single and available, aplikasi mencari jodoh di smartphone mengalu-alukan kedatangan korang. Ingat, walaupun single, bukan bermakna korang terkecuali untuk berlaku jujur semasa berkenalan dengan orang baru di aplikasi mencari jodoh yang korang gunakan.

Kadang-kadang, dating apps juga boleh menyebabkan korang terdedah dengan beberapa risiko. Kalau kita sendiri dah paling jujur, tapi masih lagi ada kebarangkalian orang yang kita baru kenal tu belum tentu lagi jujur. Jadi, peringatan untuk korang, kena sentiasa bijak dan berhati-hati semasa menggunakan aplikasi mencari jodoh. Jangan sampai ada yang tertipu. Untuk memudahkan korang, ini antara aplikasi mencari jodoh yang boleh dipercayai dan mempunyai ramai pengguna lain yang juga aktif mencari jodoh. Selamat mencuba!

TINDER

Rasanya ramai yang pernah dengar aplikasi Tinder. Sebelum ni, Tinder memerlukan korang untuk menghubungkan akaun Facebook dan akaun Tinder baru boleh mula swipe ke kiri atau kanan. Tapi sekarang lebih mudah, kalau korang tak pernah lagi cuba aplikasi Tinder, korang hanya perlu cipta akaun Tinder dan seterusnya bermula lah perjalanan korang mencari teman hidup. Sama ada korang hanya berniat untuk mencari kenalan baru atau mencari pasangan hidup untuk dibawa ke jinjang pelamin, Tinder adalah aplikasi yang sesuai untuk korang cuba.

BUMBLE

Mungkin ada yang pernah dengar atau ada gak yang baru pertama kali dengar, aplikasi Bumble lebih kurang macam Tinder. Cuma perbezaannya, Bumble hanya membenarkan wanita sahaja untuk memulakan perbualan kalau korang berjaya match. Senang cerita, aplikasi Bumble lebih selamat dan lebih mudah untuk kegunaan wanita. Takde la berduyun-duyun mesej yang diterima daripada lelaki yang tak berkenan di hati. Tapi kalau nak guna Bumble, korang kena la rajin buka aplikasi ni sebab kalau dah berjaya match, wanita tersebut hanya mempunyai tempoh 24 jam untuk memulakan perbualan dan lelaki juga hanya diberikan tempoh 24 jam untuk membalas perbualan pertama yang dimulakan oleh wanita tersebut. Bila dah berbalas perbualan, baru lah masing-masing boleh berbual setiap masa, ikut suka.

OMI

Rasanya ramai yang pernah dengar aplikasi Omi walaupun tak pernah guna disebabkan cara promosi dan pengiklanan yang berjaya daripada pihak Omi. Aplikasi Omi juga memerlukan korang swipe ke kiri atau kanan kalau berkenan dengan seseorang, sama macam Tinder. Apa yang membezakan Tinder dan Omi adalah kebanyakan pengguna Omi mengharapkan bertemu jodoh untuk mendirikan rumah tangga dan ramai pengguna yang berbangsa Melayu atau Indonesia. Kalau ada yang berniat selain daripada mencari pasangan untuk mendirikan rumah tangga, aplikasi Omi mungkin agak kurang sesuai untuk korang. Tapi, belum cuba belum tahu, betul?

KATALAKI: Apa-apa pun, kejujuran paling penting sebelum korang mula mengenal hati budi masing-masing. Bila awal-awal lagi dah jujur, takde la masalah besar akan berlaku pada masa akan datang. 

Last modified: 14 July 2020