Mercu Tanda Bersejarah Yang Hampir Dimusnahkan

Sembang, ZeKool

Terdapat beberapa mercu bersejarah yang sangat sinonim dengan beberapa bandar dan negara. Contohnya seperti Eiffel Tower di Paris dan juga Leaning Tower of Pisa di Itali. Mercu-mercu bersejarah ini nampak megah dan agak sukar membayangkan mercu tanda ini musnah.

Tapi untuk pengetahuan korang, beberapa mercu tanda bersejarah ini sebenarnya hampir dimusnahkan oleh manusia dan juga akibat bencana alam. Jom kita tengok mercu tanda bersejarah mana yang sebenarnya hampir dimusnahkan oleh manusia dan bencana alam!

TAJ MAHAL

Bangunan yang menjadi simbol cinta agung ini hampir dimusnahkan pada abad ke 18. Ini semua terjadi apabila Lord William Bentick, Gabenor Inggeris yang menetap di India ketika itu telah mengarahkan supaya Taj Mahal ini dimusnahkan pada tahun 1830. Dia dikatakan cuba memusnahkan Taj Mahal kerana dia berniat untuk melelong batu marmar pada Taj Mahal kepada orang British kelas atasan namun ia tidak berjaya.

Pada tahun 1857, Taj Mahal sekali lagi hampir musnah apabila tentera dan kerajaan British dilihat mengambil batu-batu berharga dan lapis lazuli yang terdapat dalam Taj Mahal ketika pemberontakan yang berlaku pada zaman tersebut. Namun ia berjaya dipulihkan semula oleh Lord Curzon dan telah mengembalikan keindahan Taj Mahal.

EIFFEL TOWER

Kalau pergi ke Paris, Eiffel Tower sememangnya menjadi satu mercu tanda yang wajib kena pergi dan ambil gambar kalau tidak lengkaplah percutian ke Paris korang. Tapi untuk pengetahuan korang, Eiffel Tower ini sebenarnya hampir tidak dibina kerana mendapat tentangan daripada orang awam kerana dikatakan hanya akan merosakan pemandangan kota tersebut.

Walaupun ia telah siap dibina, mercu tanda ini sekali lagi menghadapi masalah apabila Adolf Hitler telah mengarahkan komender Nazi, Jeneral Dietrich von Choltitz untuk merobohkan Eiffel Tower dan memusnahkan bandar Paris. Namun ia berjaya diselamatkan apabila Jeneral Dietrich telah mengingkari arahan tersebut!

LEANING TOWER OF PISA

Menara condong yang terletak di Itali ini telah hampir dimusnahkan oleh tentera Amerika Syarikat ketika perang dunia kedua. Pada ketika ini, pihak tentera Amerika Syarikat mengesyaki yang bangunan ini telah digunakan oleh tentera Jerman sebagai menara pemerhatian dan tempat mereka menyerang hendap tentera Amerika Syarikat.

Sebelum mercu tanda ini dimusnahkan, Leon Weckstein yang merupakan tentera Amerika Syarikat telah diarahkan menyempurnakan misi yang agak bahaya yang mana dia harus pergi dekat dengan menara tersebut dan memastikan sama ada ia digunakan oleh tentera Jerman ataupun tidak. Namun dia tidak berani untuk pergi berdekatan dengan menara tersebut dan kerana merasa menara tersebut satu mercu tanda yang cantik, dia telah mengesahkan menara tersebut tidak digunakan oleh tentera Jerman.

COLOSSEUM

Selepas Colosseum ini selamat dibina pada abad ke-1 CE, ia telah disambar kilat sebanyak dua kali. Ketika pertama kali ia disambar kilat pada tahun 217, kesan dari bencana alam tersebut telah mengakibatkan lantai Colosseum yang bina menggunakan kayu ini terbakar. 103 tahun kemudian, ia sekali lagi telah disambar kilat namun tiada kebakaran yang berlaku.

Selain daripada disambar kilat, Colosseum ini turut terkena bencana alam yang lain seperti gempar bumi. Kesan daripada gempar bumi ini telah mengakibatkan beberapa dinding Colosseum ini roboh dan telah mengubah bentuk asalnya. Terdapat dua gempar bumi yang dikatakan menjadi faktor Colosseum ini berubah bentuk. Dua gempar bumi tersebut berlaku pada tahun 847 dan tahun 1231.

KATALAKI: Mercu tanda Malaysia iaitu KLCC masih teguh berdiri!

Last modified: 16 January 2020