Mike Dean, Pengadil Yang Selalu Kena Troll

Aktif, Bola, ZAP, ZeKool

Kalau korang salah seorang peminat, penggemar atau penonton Premier League, mesti korang sangat kenal dan familiar dengan nama Mike Dean, pengadil perlawanan yang selalu ditugaskan untuk mengendalikan perlawanan-perlawanan penting di England. Kalau tengok muka Mike Dean, mesti korang dah tahu pengadil mana satu yang kami maksudkan.

Mike Dean atau nama sebenarnya Michael Dean, lahir pada 2 Jun 1968 dan berasal dari England, mula terlibat dalam karier pengadil bola sepak seawal umur 17 tahun. Memang cita-cita dari zaman kanak-kanak nak jadi pengadil bola sepak ni.

Pada tahun 2000, Mike Dean mula terlibat untuk menjadi pengadil utama dalam beberapa perlawanan Premier League dan kini merupakan salah seorang pengadil yang berpengaruh di peringkat dunia dan dikenali di seluruh dunia walaupun pernah mencipta macam-macam kontroversi. Mungkin gak sebab kontroversi Mike Dean popular.

Walaupun Mike Dean tak pernah terpilih untuk menjadi pengadil utama di kejohanan bola sepak tertinggi peringkat Eropah atau antarabangsa sama ada UEFA Champions League, EURO atau Piala Dunia, tapi Mike Dean pernah terlibat dengan beberapa perlawanan kelayakan Champions League, Europa League, kelayakan Piala Dunia dan kelayakan EURO. Pada tahun 2013, ketika berumur 45 tahun, Mike Dean secara rasmi bersara daripada terlibat dalam mana-mana perlawanan peringkat Eropah atau antarabangsa, kini hanya fokus dengan perlawanan bola sepak di England.

Korang ingat lagi tak kontroversi yang pernah melibatkan Mike Dean sebagai pengadil perlawanan? Pada tahun 2015, lebih daripada 50,000 penyokong Arsenal melancarkan satu petisyen untuk menghalang Mike Dean daripada mengadili perlawanan yang melibatkan pasukan Arsenal. Penyokong Arsenal mula bengang sampai bersungguh-sungguh melancarkan petisyen disebabkan tak berpuas hati dengan mutu pengadilan Mike Dean dalam perlawanan Premier League antara Chelsea dan Arsenal di Stamford Bridge. Chelsea menang 2-0 ke atas Arsenal. Diego Costa dengan Gabriel Paulista siap bergaduh dalam perlawanan tu.

Setakat ni, Chelsea merupakan pasukan paling banyak pernah menerima kad merah daripada Mike Dean iaitu sebanyak 6 kad merah sejak Mike Dean memulakan karier sebagai pengadil bola sepak. Pasukan yang paling banyak dapat kad kuning daripada Mike Dean buat masa ni adalah Manchester City, diikuti oleh Arsenal, Chelsea dan Manchester United. Mike Dean juga merupakan pengadil pertama yang melayangkan 100 kad merah dalam sejarah Premier League.

KATALAKI: Kadang-kadang lawak gak tengok aksi Mike Dean kat dalam padang. Penyeri perlawanan la kiranya.

Last modified: 19 February 2020