Misteri Ratu Filem Horror Indonesia – Suzzanna!

Sembang, ZeKool

Siapa yang membesar tahun 1980-an sehingga hujung tahun 1990-an mesti ingat lagi dengan pelakon filem-filem seram Indonesia ini, iaitu Suzzanna. Satu sosok yang tidak asing lagi dalam arena perfileman genre seram. Antara filem-filem seram yang pernah dilakonkannya adalah seperti Titisan Dewi Ular (1990), Bangunnya Nyi Rorol Kidul (1985), dan juga yang tidak asing lagi Sundelbolong (1981). Wajah Suzzanna seperti menjadi wajah yang wajib kalau ada filem-filem horror yang dihasilkan dari tanah seberang. Walaupun berjaya menghidupkan watak dalam filem-filem seram, keseraman Suzzanna tidak hanya berada di dalam filem tetapi dikatakan kehidupannya juga dipenuhi dengan misteri. So jom kita kupas beberapa misteri yang pernah dikaitkan dengan Suzzanna.

KEHIDUPAN SEBAGAI PELAKON

Nama penuh Suzzanna adalah Suzzanna Martha Frederika van Osch, dilahirkan pada 13 Oktober 1942 di Bogor, Jawa Barat. Beliau dikatakan mula berlakon sejak berusia lapan tahun lagi. Lakonannya juga diakui sangat hebat oleh pengarah-pengarah yang pernah mengarahkan filem lakonannya. Pada asalnya genre lakonannya bukan lah dalam filem-filem seram, tetapi selepas kejayaannya membawa watak hantu dalam filem seram, nama Suzzanna terus melonjak naik dan seterusnya membintangi 19 filem horror sepanjang kariernya. 

ADA MENUNTUT ILMU

Jeng jeng jeng... Mungkin terjawab juga lah sedikit sebanyak dari mana datangnya aura misteri Suzzanna ni. Dikhabarkan oleh suami Suzzanna sendiri, sewaktu dia masih hidup Suzzanna pernah berguru. Walaupun dah tamat berguru, Suzzanna sering mendengar suara-suara yang menyuruhnya untuk bertapa. Dikatakan juga Suzzanna akan pergi ke satu lokasi untuk dia bertapa dengan cara merendamkan badannya ke dalam air yang dipercayai mampu memberi khasiat tertentu. Tempat yang Suzzanna sering kunjungi itu juga dikatakan agak keras.

Bukan itu sahaja, Suzzanna dikatakan banyak juga melakukan amalan-amalan atau ritual sepanjang hayatnya. Hal ini diakui sendiri oleh suaminya, Clift Sangra. Antara amalan yang sering dilakukan oleh Suzzanna adalah memakan bunga melati. Dikatakan pemakanan bunga melati ni untuk beliau kekal muda dan cantik, tapi korang tahu je kan bunga melati ni selalu dikaitkan dengan apa…

BILIK TIDUR KEKAL MISTERI

Antara benda yang misteri tentang kehidupan Suzzanna adalah kediamannya yang dikatakan penuh misteri. Sehingga kini, bilik tidurnya dibiarkan kosong tanpa penghuni. Yang ada cuma lah meja solek dan katil miliknya. Menurut suami Suzzanna, aura misteri masih dirasai menyelubungi bilik tidur tersebut. Sampai sekarang tak ada siapa pun yang berani masuk tidur dalam bilik tu. Tapi yang menariknya, pelakon dan juga penyanyi Luna Maya yang ada memegang watak sebagai Suzzanna dalam filem ‘Suzzanna: Bernapas Dalam Kubur’ pernah melawat bilik tidur tersebut. Dikatakan tujuannya adalah untuk merasai sendiri misteri kehidupan Suzzanna yang sering diceritakan orang ramai.

Selain bilik tidurnya, Suzzanna dikatakan mempunyai sebuah lagi bilik khas untuk dia duduk sendirian seperti bertapa. Suaminya pernah melihatnya menyikat rambut sendirian di bilik khas tersebut, dan ada masa selama berminggu-minggu (ada masa sampai berbulan) Suzzanna akan duduk bertapa dalam bilik tersebut. Orang lain tidak dibenarkan masuk sama sekali ke dalam bilik itu.

SEBAB KEMATIAN MASIH MENJADI MISTERI

Suzzanna menghembuskan nafas terakhirnya pada 15 Oktober 2008 di Magelang, Jawa Tengah, Indonesia. Dikatakan Suzzanna meninggal akibat daripada penyakit kencing manis yang dihidapinya lebih 30 tahun. Walau bagaimanapun, ada juga pihak yang tidak mempercayai dengan punca kematian Suzzanna ini terutamanya anak perempuannya.

Keluarga Suzzanna dikatakan kurang gemar dengan suami kedua Suzzanna ini, iaitu Clift Sangra. Anak perempuan Suzzanna turut menuduh Clift membunuh ibunya kerana mahukan harta ibunya. Tetapi menurut Clift, Suzzanna meninggal selepas minum minuman susu yang sudah pun menjadi habitnya setiap malam. Clift melihat Suzzanna menarik nafas dengan dalam dan kemudian terkulai selepas minum susu tersebut. Beliau disahkan meninggal pada waktu itu.

KELIBAT SUZZANNA NAMPAK DI RUMAH

Apa yang menyeramkan tentang Suzzanna ni bukan semasa hayatnya, tetapi selepas dia sudah meninggal dunia. Clift Sangra pernah memberitahu bahawa dia ternampak kelibat Suzzanna berdiri dihadapan pintu rumah dengan berpakaian coklat untuk mengucapkan selamat tinggal. Tambahan lagi, Clift juga pernah ternampak Suzzanna duduk menonton TV sambil mulutnya mengkritik drama yang ditontonnya itu. Tidak pasti samada ianya betul ataupun tidak, tetapi ia diceritakan sendiri oleh suami Suzzanna.

Mungkin apa yang lebih menyeramkan adalah suaminya sering mendengar bunyi ketukan dinding yang sama dibuat Suzzanna semasa hayatnya. Ada satu ketika semasa Clift pergi melawat kubur isterinya itu, dia ternampak Suzzanna sedang duduk di atas kubur!

KELIBAT SUZZANNA DILIHAT OLEH PENDUDUK SETEMPAT!

Ada satu kisah dimana si pembuat batu nisan dikatakan ternampak Suzzanna tersenyum berjumpa dengan dia. Selain itu, penduduk di Magelang turut mendakwa ternampak kelibat Suzzanna dalam rupa hantu seperti Sundelbolong dan juga rupa hantu-hantu yang pernah dilakonkannya dalam filem. Kejadian ini dikatakan berlaku selepas 2 minggu kematian Suzzanna. Memang agak kecoh juga lah kawasan Magelang ketika itu. Tambahan lagi, ada juga yang nampak Suzzanna berjalan di atas bumbung rumahnya dan duduk bertapa di bawah pokok hadapan rumahnya yang menjadi tempat favourite dia bertapa semasa hayatnya.

Samada apa yang diceritakan ini betul ataupun tidak, ia bukan lah diceritakan oleh orang-orang yang jauh. Kisah-kisah ini datang daripada penduduk setempat dan juga daripada suaminya sendiri. Walau bagaimanapun, kisah misteri Suzzanna ini masih tidak ada penghujungnya dan terus menjadi misteri hingga kini.

KATALAKI: Filem-filem horror lakonan Suzzanna pernah menghantui kita satu ketika dahulu…

Last modified: 13 August 2020