Misteri Segitiga Bermuda: Fakta Atau Auta?

Sembang

Selama bertahun-tahun lamanya kawasan Segitiga Bermuda dipercayai menjadi kawasan paling misteri. Kawasan yang menjadi sebahagian daripada Laut Atlantik ini dikatakan menjadi punca hilangnya berpuluh kapal laut serta kapal terbang. Peristiwa kemalangan dan hilangnya kapal-kapal ini juga dikatakan tidak dapat dijelaskan, termasuk lah peristiwa dimana juruterbang skuad pengebom Tentera Laut AS dikatakan menjadi bigung ketika mereka terbang di kawasan itu. Kapal-kapal yang hilang itu pula dilaporkan hilang semasa cuaca dalam keadaan baik dan tanpa menghantar sebarang mesej amaran bahaya. Daripada kisah-kisah misteri seperti ini lah membuatkan ramai yang percaya Segitiga Bermuda merupakan tempat tinggal makhluk misteri ataupun tempat tinggal Dajjal menurut kepercayaan sesetengah orang kita.

MISTERI SEGITIGA BERMUDA BERMULA DARI…

Antara tahun 1945 dan 1965 sahaja, dilaporkan sebanyak lima pesawat terhempas di kawasan itu dan 10 kapal laut karam atau hilang antara tahun 1800 dan 1963. Tetapi nama Segitiga Bermuda, atau dikenali sebagai ‘The Devil’s Triangle’ menjadi sebutan pada 5 Disember 1945 ketika lima pesawat pengebom Tentera Laut AS hilang dari radar semasa melakukan latihan. Pesawat tersebut lengkap bersenjata dan telah diperiksa dengan teliti sebelum berlepas dari Stesen Tentera Laut Fort Lauderdale di Florida. Apa yang membuatkan kejadian itu menjadi misteri adalah ia berlaku ketika dunia sedang aman seketika. Tiada sebab untuk pesawat tersebut ditembak jatuh oleh musuh.

Sebelum terputusnya komunikasi radio, dilaporkan bahawa kapten pesawat tersebut menyatakan “Semuanya kelihatan aneh, termasuk laut.” Kesemua pesawat termasuk 14 anak kapal tidak dijumpai selepas itu walaupun usaha pencarian dan siasatan yang panjang telah dijalankan oleh pihak kerajaan. Menurut laporan, sebuah pesawat mencari dan menyelamat dengan 13 orang di dalamnya telah dihantar ke kawasan yang dikatakan misteri itu untuk mencari pesawat yang hilang. Malangnya, kumpulan search and rescue itu juga turut dilaporkan hilang secara tiba-tiba. Maka daripada situ juga lah semakin kuat teori yang mengatakan Segitiga Bermuda sememangnya penuh misteri. 

BERTAMBAH SENSASI DENGAN PENGHASILAN BUKU

Ramai juga yang ambil kesempatan dengan berita tentang kehilangan pesawat secara misteri di Segitiga Bermuda. Sebilangan besar buku berkaitan misteri itu diterbitkan, dan banyak juga buku yang meraih populariti diperingkat antarabangsa. Buku yang paling popular adalah buku yang dikarang oleh Charles Berlitz yang berjudul ‘The Bermuda Triangle.’ Ia diterbitkan pada tahun 1974. Buku tersebut dilaporkan telah terjual sebanyak 20 juta naskhah dalam lebih daripada 30 bahasa. Mungkin kalau tiada buku yang dihasilkan, kisah kehilangan pesawat dan misteri Segitiga Bermuda tidak menjadi begitu terkenal. 

Sebenarnya teori-teori dan juga fakta-fakta berkenaan misteri Segitiga Bermuda sudah lama dibincangkan dan dibongkarkan. Tapi ia tetap muncul sebagai satu misteri yang belum diselesaikan disebabkan banyak buku yang lebih berminat dengan cerita luar biasa berbanding fakta yang sebenar. Sehinggakan muncul juga kisah tentang wujudnya time portal, kerajaan Atlantis, pangkalan UFO, raksasa laut dan apa sahaja cerita luar biasa yang ada. So jom tengok apakah penjelasan yang sebenarnya tentang kejadian misteri di Segitiga Bermuda. 

PENJELASAN MUDAH TENTANG MISTERI SEGITIGA BERMUDA

Sebenarnya hasil dari penyelidikan telah menunjukkan bahawa kegagalan kompas pesawat pengebom Tentera Laut AS menjadi punca tragedi yang berlaku. Dah ada penjelasan hasil penyelidikan pun orang masih nak percaya cerita ‘misteri.’ Tragedi kehilangan yang lain juga dikatakan mungkin mempunyai penjelasan yang sama. 

Seorang wartawan dikenali sebagai Larry Kusche mengatakan tiada apa-apa misteri berkaitan Segitiga Bermuda yang perlu diselesaikan. Beliau meneliti kembali laporan-laporan tentang misteri kehilangan pesawat di kawasan tersebut dan mendapati ianya hanya rekaan untuk menjelaskan perkara yang sukar difahami manusia. Macam mana pesawat boleh hilang? Jawapannya, ada UFO culik. Lebih mudah untuk meletakkan sesuatu misteri sebagai jawapan sedangkan hakikatnya adalah tidak benar. Melalui penelitiannya lagi, tidak ramai yang mahu melakukan penyelidikan sebenar dan semua laporan yang ada dibanjiri dengan non-scientific theories

BANYAK DIKUNJUNGI KAPAL LAUT

Adalah penting juga untuk kita perhatian bahawa kawasan Segitiga Bermuda banyak dikunjungi kapal persiaran dan kapal kargo. Jadi secara logiknya, lebih banyak kapal yang lalu di situ maka lebih tinggi lah jumlah kes kapal tenggelam di situ kalau nak dibandingkan dengan laluan South Pacific yang kurang digunakan. Terdapat juga kajian yang mengatakan kawasan Segitiga Bermuda sama bahaya dengan kawasan-kawasan lain di dunia yang mempunyai trafik yang tinggi. Seperti jalan raya juga lah, lebih banyak kereta maka lebih tinggi risiko kemalangan. 

Mayat mangsa dan bangkai pesawat masih tidak dijumpai? Hal ini tidak menjadi misteri disebabkan kawasan laut yang luas memang menyukarkan pencarian. Mungkin dah tenggelam ke dasar laut dan tidak akan dijumpai semula. Jadi mungkin lepas ni kita boleh anggap kisah-kisah misteri di kawasan Segitiga Bermuda hanya lah fiksyen semata-mata.

KATALAKI: Tapi tu lah kisah-kisah misteri tu lebih sedap dan seronok untuk kita dengar berbanding fakta sebenar…

Last modified: 21 August 2020