Ejen Ali The Movie – Review Tanpa Spoiler

Sembang

Tidak dinafikan yang animasi di Malaysia kini semakin bagus dan juga diiktiraf diseluruh dunia. Baru-baru ini, team TheLaki telah dijemput untuk menghadiri tayangan awal kepada satu lagi filem animasi tempatan iaitu Ejen Ali The Movie yang bertempat di GSC Mid Valley.

Bagi korang yang tidak pernah menyaksikan animasi Ejen Ali sebelum ini, Ejen Ali ini mengisahkan tentang Ali, seorang kanak-kanak yang berusia 12 tahun direkrut untuk menjadi seorang perisik dalam satu agensi rahsia MATA. Dalam filem ini MATA dalam proses untuk upgrade alat ciptaan mereka iaitu IRIS kepada IRIS NEO. Proses ini tidak diketahui oleh Ejen Ali dan apabila dia mengetahui tentangnya, dia mula mempersoalkan tentang kedudukannya dalam agensi MATA.

Jika sebelum ini hanya dia seorang sahaja yang memakai cermin mata IRIS namun selepas IRIS NEO disiapkan, semua ejen telah diberikan cermin mata IRIS NEO sebagai gadget asas untuk mereka gunakan semasa melakukan tugas. Disebabkan itu, Ali mula merasakan dirinya sudah tak diperlukan lagi dalam MATA. Ali juga telah bertemu dengan beberapa watak misteri dan mereka telah memberitahu padanya tentang sisi gelap bandar Cyber Raya.

Semasa menonton filem ini, aku dapat rasakan vibe seperti filem Captain America: Winter Soldier dan Captain America: Civil War sebab dalam filem Ejen Ali The Movie ini juga, kita dapat lihat Ali mula sesuatu yang tidak kena dengan agensi MATA dan dia mula mengambil tindakan sendiri bagi menyelesaikan misteri dalam filem ini walaupun ia ditentang oleh rakan-rakan seperjuangannya sendiri dalam agensi MATA.

Kualiti animasi 3D dalam filem Ejen Ali The Movie ini sememangnya sangat-sangat mengagumkan dan aku sendiri sebagai penonton sangat-sangat berpuas hati dengan qualiti yang dipersembahkan. Kalau aku tak tahu langsung tentang kewujudan animasi Ejen Ali ini, terus terang aku akan cakap movie ini mungkin dikeluarkan oleh studio animasi terkenal luar negara. Sebagai rakyat Malaysia, aku memang bangga dengan qualiti animasi daripada WAU Animation dan Primeworks Studios!

Plot untuk filem ini juga disusun dengan teliti dan membuatkan aku sebagai penonton sentiasa engage dan ingin tahu apa yang akan terjadi seterusnya. Walaupun Ejen Ali The Movie merupakan satu filem animasi untuk kanak-kanak, aku sebagai orang dewasa tetap terhibur sebab jalan cerita yang dipersembahkan telah dikembangkan dengan cukup bagus sekali.

Isi kandungan untuk filem ini mungkin dilihat agak berat sedikit untuk kanak-kanak sebab ia menceritakan amanah dan sisi gelap politik tapi disebabkan ia telah diadunkan dengan scenescene action dan lawak, kanak-kanak yang menonton movie ini akan tetap terhibur. Kiranya storyline untuk orang dewasa dan animasinya untuk kanak-kanak jadi filem Ejen Ali The Movie ini sememangnya satu movie yang sesuai untuk ditonton oleh seluruh lapisan masyarakat.

Satu lagi benda yang aku nak puji adalah rekaan costume untuk setiap watak yang ada dalam filem Ejen Ali The Movie ini. Ciri-ciri tempatan tetap diserapkan dalam filem animasi ini dan ia membuatkan aku merasakan filem Ejen Ali The Movie ini sangat dekat dengan jiwa rakyat Malaysia. Ada beberapa costume yang dipakai oleh watak dalam filem ini yang aku sangat minat dan aku rasa tidak lama lagi, cosplayercosplayer di Malaysia khususnya mungkin akan cosplay watak-watak daripada siri animasi Ejen Ali!

Yang terakhir yang aku nak puji adalah lagu-lagu yang digunakan dalam filem Ejen Ali The Movie ini. Lagu-lagu yang digunakan sangat-sangat kena dengan scene yang dipersembahkan. Lagu seperti Bukalah Matamu yang dinyanyikan Aisyah Aziz dan Bunga, bagi aku adalah lagu yang sangat bersemangat sampaikan aku letak ia dalam playlist untuk aku dengar pada waktu pagi hahaha!

Bagi yang tak tahu nak tengok movie apa pada bulan ini, aku syorkan untuk korang pergi menonton filem Ejen Ali The Movie ini. Tak kiralah korang bujang or dah berkeluarga, filem Ejen Ali The Movie ini sememangnya sangat kena dengan semua lapisan masyarakat dari yang muda hinggalah yang tua!

KATALAKI: Bukalah matamu~~~~~~

Last modified: 25 November 2019