Siapa Kata Influencer Tak Perlu Isytihar Pendapatan?

Collab, Sembang

Zaman sekarang punya bidang pekerjaan memang unik sebab influencer media sosial pun dah dikira sebagai satu pekerjaan atau career. Jangan terkejut kalau ada pelajar-pelajar di sekolah yang cakap cita-cita dia nak jadi influencer. Mungkin kita boleh faham lah kenapa ada yang pasang cita-cita sedemikian, sebabnya influencer ni macam dikenali ramai orang. Kira famous lah, and dunia famous ni memang ramai yang nak. Tambahan lagi, influencer sekarang dah boleh buat duit. Kadang-kadang tu lagi banyak dari orang yang kerja office. Sampai ada yang rasa baik jadi influencer dari kerja dekat pejabat.

Tapi itu pilihan masing-masing lah nak kerja apa. Cumanya kalau korang bercita-cita nak jadikan influencer media sosial ni sebagai sumber pendapatan, korang wajib tahu cara pembayaran cukai. Sebagai influencer, korang dikira sebagai bekerja sendiri. Jadi tiada majikan yang akan tolong uruskan bab-bab cukai ni.

INFLUENCER YANG MACAM MANA KENA BAYAR?

Tak kira lah korang instafamous ke, tweetfamous ke, streamer ke atau vlogger, korang dah wajib bayar cukai sekiranya pendapatan sudah mencecah RM34,000 setahun selepas ditolak dengan potongan KWSP. Segala aktiviti influencer seperti mempromosikan produk yang memberi hasil pendapatan kepada influencer perlu diisytiharkan dan seterusnya wajib bayar cukai sekiranya dah mencecah amount tersebut. Itu dikira sebagai duit sumber pendapatan korang sebagai influencer.

Sebenarnya tidak terhad kepada influencer je sebab pekerjaan lain seperti peniaga SME dan juga pekerja pejabat juga perlu melakukan perkara yang sama. Yang penting pendapatan dah mencecah RM34,000 setahun selepas ditolak dengan potongan KWSP. Jangan dah masyuk tapi buat senyap pula ye soal cukai ni.

Sekiranya korang dah melepasi syarat wajib bayar cukai, ada beberapa perkara yang korang kena buat iaitu:

  • Berdaftar dengan LHDNM dan mempunyai nombor cukai pendapatan
  • Melaporkan pendapatan/kerugian yang diterima daripada aktiviti perniagaan dan aktiviti ekonomi digital
  • Melengkapkan dan menghantar Borang e-B (borang cukai) secara e-Filing
  • Membuat bayaran cukai (ByrHASiL)

SEMUANYA SECARA ONLINE

Pendaftaran dan juga pembayaran cukai boleh dilakukan secara atas talian. Mudah je. Korang cuma perlu pergi ke ez.hasil.gov.my dan terus login di situ. Sekiranya korang baru pertama kali nak daftar, kena pergi ke kaunter LHDN dulu lah untuk dapatkan nombor PIN. Jadi lepas ni setiap kali kena update cukai tahunan, tak perlu dah ke pejabat LHDN. Semuanya diisi secara atas talian. Yang penting segala resit atau rekod transaksi perlu disimpan selama 7 tahun sebagai bukti kepada pihak LHDN.

Kalau korang masih belum isytihar pendapatan korang sebagai influencer media sosial, LHDN boleh je detect korang. Sebabnya syarikat-syarikat pun dah mula buka akaun pembayaran bagi tujuan promosi menggunakan influencer media sosial, jadi secara automatik LHDN akan tahu pendapatan korang.

KEPENTINGAN BAYAR CUKAI

Cukai yang dibayar oleh setiap rakyat sebenarnya penting untuk pembangunan negara. Sekiranya negara tidak mempunyai hasil cukai, maka kita tak akan nampak sekolah-sekolah, hospital-hospital, pertahanan negara yang dibangunkan untuk kegunaan kita sendiri sebagai rakyat. Segala pembangunan dan hasil ekonomi yang kita nikmati sekarang merupakan hasil dari kutipan cukai. Bayangkan kalau negara tanpa cukai atau sebahagian dari kita tak nak bayar cukai, mungkin segala kemudahan yang kita nikmati selama ni tak akan ada. Jadi sebab itu lah pentingnya untuk kita cakna tentang cukai hasil dari pendapatan kita.

Jom lapor dan isytihar pendapatan korang sekarang! Maklumat lanjut di www.hasil.gov.my Apa-apa pun, kita layan dulu lagu rap pasal cukai daripada team Thelaki.

THELAKI: Sebelum satu lembaga ni datang ketuk pintu rumah korang tanya pasal cukai, baik korang declare pendapatan korang…

Last modified: 21 May 2020