Nastia Kekal Konsep Melodrama Dengan “Tanpamu”

Sembang

Nama kumpulan Nastia ini mungkin nama yang tidak asing lagi, kumpulan yang dikenali dengan lagu-lagu yang pernah menghangatkan corong-corong radio dengan bunyian muzik yang berkualiti antarabangsa.

Selepas dikenali ramai peminat muzik mainstream tempatan dengan single berjudul Rapuh pada tahun 2017, kumpulan Nastia kembali ke persada industri hiburan dengan single terbaharu berjudul Tanpamu.

Selain muncul dengan lagu terbaharu, kumpulan Nastia juga turut muncul dengan ahli pemuzik terbaharu. Edisi terbaharu Nastia kali ini bekerjasama dengan Jenk sebagai mengisi posisi di bahagian Drum dan Zach selaku pemain Bass. Manakala Rudy masih di bahagian Gitar dan Leo Azman sebagai tunjang utama kumpulan Nastia.

Kemunculan Nastia dengan lagu terbaharu kali ini menurut vokalis; Leo Azman. Nastia masih mengekalkan konsep melodrama dalam penulisan seperti lagu yang terdahulu tetapi perjalanan muzikal Nastia kali ni turut di adunkan dengan elemen-elemen elektronik untuk memberikan penghayatan dinamik secara teknikal. Elemen elektronik ini memberikan muzik Nastia kedengaran lebih segar dan lain daripada yang lain.

“Tanpamu adalah sebuah lagu yang mengisahkan tentang semangat baru yang hadir selepas individu tertentu menghadapi hari-hari gelap mereka. Memandangkan kesemua ahli Nastia sudah pun berpunya, jadi lagu ini kami inspirasi dan ditujukan buat isteri tercinta kami” kata Leo ketika di sidang media majlis pelancaran lagu dan muzik terbaharu “Tanpamu”.

Menurut Nastia, muzik video lagu terbaharu; Tanpamu yang diarahkan oleh Elfie Nazari jelas membawa konsep ala sci-fi. Muzik video lagu Tanpamu ini juga turut menampilkan kebolehan ahli kumpulan Nastia sebagai penggerak utama kepada jalan cerita muzik video Tanpamu. Muzik video terbaharu lagu terbaharu kumpulan Nastia ini juga turut menampilkan lakonan daripada seorang gadis ayu Wawa Sabri yang melakonkan watak sebagai gadis misteri.

Tambahan pula, lagu terbaharu kumpulan Nastia berjudul Tanpamu ini akan turut dimuatkan dalam album kedua Nastia yang berjudul “Teater” dan dijadual akan dikeluarkan pada sekitar tahun ini. Album kedua Nastia yang masih lagi dalam proses pembikinan ini pasti akan mengubat rindu buat para peminat Nastia sejak kemunculan album pertama yang diriliskan enam tahun yang lepas.

KATALAKI: Nastia ini macam Coldplay tapi versi Malaysia. Betul tak?

Last modified: 17 February 2020