Operation Leyenda, Misi Memburu Ketua Kartel Dadah Pertama Mexico

Sembang, ZAP, ZeKool

Pada 7 Februari 1985, seorang ejen yang berkhidmat dengan United States Drug Enforcement Administration (DEA), Enrique Camarena yang juga dikenali sebagai Kiki Camarena diculik oleh kartel dadah ketika dalam misi memburu ketua kartel dadah di Mexico.

Kiki Camarena diseksa selama lebih 30 jam oleh kartel dadah untuk mendapatkan maklumat sulit mengenai hasil intipan yang dah berjaya dikumpul sebelum mayatnya dijumpai dalam keadaan mengerikan di sebuah perkampungan di Mexico. Kisah sedih dan ngeri yang terjadi kepada Kiki Camarena ni ada diceritakan dalam Narcos: Mexico musim pertama.

Kejadian yang berlaku kepada Kiki Camarena membuatkan DEA semakin tercabar dan terdesak untuk memburu siapa dalang disebalik pembunuhan kejam Kiki Camarena. Satu misi siasatan besar-besaran mengenai pembunuhan Kiki Camarena dilancarkan oleh DEA, dikenali sebagai Operation Leyenda yang menghantar sepasukan unit khas ke Mexico untuk memburu pembunuh Kiki Camarena sampai dapat, dengan apa-apa cari sekali pun. Kat sini lah bermulanya cerita yang disampaikan dalam drama bersiri terbaru Narcos: Mexico musim kedua yang mula ditayangkan pada 13 Februari 2020.

Kalau nak dibandingkan antara musim pertama dan kedua, Narcos: Mexico musim pertama menceritakan mengenai bermulanya hidup seorang pegawai polis, Miguel Ángel Félix Gallardo, yang terlibat dengan penjualan dadah jenis ganja, sehingga terlibat dengan aktiviti penyeludupan dadah yang lebih berskala besar, berjaya membina sebuah empayar dadah yang berjaya di Mexico dan berakhir dengan kes pembunuhan seorang ejen DEA, Kiki Camarena.

Narcos: Mexico musim kedua pula menceritakan mengenai Operation Leyenda yang dijalankan secara senyap oleh DEA dan kemusnahan empayar dadah yang dibina oleh Félix Gallardo. Seorang ejen yang ditugaskan untuk mengetuai Operation Leyenda iaitu Walt Breslin yang dilakonkan oleh Scoot McNairy merupakan watak penting yang memburu Félix Gallardo dalam Narcos: Mexico musim kedua ni.

Memang betul, drama bersiri Narcos semuanya diinspirasikan daripada kisah benar kartel dadah yang pernah terjadi sebelum ni. Tapi dalam Narcos: Mexico musim kedua, kita sendiri sebagai penonton boleh rasa ada banyak cerita bukan kisah benar yang ditambah supaya nampak lebih dramatik. Contohnya, watak Walt Breslin tu tak wujud pun, hanya rekaan untuk Narcos: Mexico musim kedua. Kalau watak Kiki Camarena tu memang betul wujud. Sebab tu Narcos: Mexico musim pertama lebih padu daripada musim kedua.

Operation Leyenda yang berlaku dalam Narcos: Mexico musim kedua memang berdasarkan kisah benar, misi sulit yang dijalankan oleh DEA untuk memburu pembunuh Kiki Camarena. Tapi takde siapa yang tahu mengenai apa yang berlaku secara terperinci sepanjang Operation Leyenda berjalan termasuk lah pelakon, pengarah, penerbit atau penulis skrip Narcos: Mexico musim kedua.

KATALAKI: Sampai sekarang nampaknya Amerika Syarikat belum lagi berjaya menenggelamkan empayar kartel dadah.

Last modified: 28 February 2020