Patung Seram Okiku Mampu Tumbuh Rambut Manusia

Sembang, ZeKool

Okiku merupakan satu boneka berhantu yang terkenal dengan jolokan nama “The Haunted Doll of Hokkaido.” Ia merupakan anak patung Jepun lama yang kelihatan menyeramkan, tinggal di sebuah Kuil Iwamizawa dan didakwa mampu tumbuh rambut manusia. Ia dipercayai dihantui oleh roh seorang gadis kecil. Terdapat banyak lagenda mengenai Okiku ini. Biasa lah kisah misteri macam ni biasanya memang ada banyak versi. Tapi ada satu versi cerita yang paling popular diceritakan pada umum.

LAGENDA SERAM OKIKU BERMULA DENGAN KEMATIAN GADIS KECIL…

Dipercayai Okiku merupakan satu boneka tradisional Jepun yang dibeli oleh Eikichi Suzuki, iaitu seorang budak lelaki berusia 17 tahun yang tinggal di Hokkaido pada tahun 1918. Suzuki membelikan boneka tersebut untuk adik perempuannya yang berumur tiga tahun. Adik perempuan Suzuki yang bernama Kikuko dilihat sering bermain dengan boneka tersebut dan membawanya kemana sahaja dia pergi, termasuk lah tidur bersama dengan boneka itu. Seperti kisah seram yang lain, akhirnya Kikuko mati selepas jatuh sakit, dan bermula lah kejadian-kejadian ganjil yang berlaku selepas itu.

Keluarga Suzuki menyimpan boneka kesukaan adiknya itu dengan diletakkan pada sebuah kuil kecil sebagai tanda ingatan. Mereka menamakan boneka tersebut ‘Okiku’ dan mula berdoa kepada boneka itu. Tiba-tiba, satu hari mereka ternampak sesuatu yang ganjil pada Okiku. Rambut Okiku yang sepatutnya kelihatan pendek dengan gaya rambut ‘okappa’ sebelum ini telah kelihatan panjang. Dari situ, mereka beranggapan bahawa Okiku dihantui oleh roh Kikuko.

Pada tahun 1938, keluarga Kikuko membuat keputusan untuk berpindah dari Hokkaido. Tapi mereka juga memutuskan untuk tidak membawa Okiku bersama dan bersetuju untuk meletakkannya di Kuil Mannenji. Setelah menceritakan keganjilan terhadap Okiku, mereka memberi kepercayaan kepada para sami di situ untuk menjaga Okiku. Sejak dari itu, ramai juga orang yang datang melawat kuil tersebut hanya untuk melihat sendiri boneka lagenda Okiku yang dikatakan mampu tumbuh rambut manusia dengan sendiri. Walaupun dilarang untuk mengambil gambar Okiku, tetapi nampaknya ada juga yang berjaya merakamkan gambarnya.

ADA YANG KATA SIAP TUMBUH GIGI…

Sekarang boleh dilihat rambut Okiku telah tumbuh panjang sehingga ke bahagian lutut. Walau bagaimanapun, dikatakan sepatutnya rambut Okiku lebih panjang daripada tu, tetapi sami yang menjaganya memotongkan rambut Okiku dari masa ke semasa. Kalau nak ikutkan, agak bahaya juga tindakan mengusik atau mengubah apa-apa pada boneka yang berhantu. Tapi sami yang memotong rambut Okiku itu menyatakan bahawa dia bermimpi boneka tersebut memintanya untuk memotongkan rambutnya.

Sehingga kini, tiada siapa dapat menjelaskan kenapa rambut Okiku memanjang seperti rambut manusia. Terdapat juga dakwaan saintifik yang mengatakan bahawa rambut tersebut sememangnya merupakan rambut seorang kanak-kanak. Dakwaan yang paling gila juga ada menyatakan kalau kita tengok dengan lebih dekat pada mulut Okiku yang terbuka sedikit tu, kita akan nampak giginya tumbuh. Rasa seram sejuk pula bila tengok Okiku ni lama-lama.

So kalau korang berkesempatan untuk pergi ke Pulau Hokkaido, boleh lah singgah ke Kuil Mannenji untuk lihat sendiri boneka Okiku yang dikatakan seram ini. Tapi kalau lemah semangat, better pergi tempat yang kurang menyeramkan lah.

KATALAKI: Patung kanak-kanak yang zaman purba kala ni memang selalunya kelihatan menyeramkan. Sama lah dengan patung Chucky dengan Annabelle tu…

Last modified: 28 July 2020