Pelumba Terhebat Yang Tak Pernah Menang Kejuaraan

Aktif, Motorsports, ZAP, ZeKool

Peminat sukan Fomula One mesti pernah dengar nama Stirling Moss yang diangkat sebagai pelumba kereta terbaik sepanjang zaman. Kalau yang baru pertama kali dengar, Stirling Moss merupakan bekas pelumba Formula One sekitar tahun 1951 sehingga 1961, dikenali ramai dengan gelaran pelumba terhebat tapi sekali pun tak pernah menang kejuaraan dunia Formula One.

Stirling Moss yang lahir pada 17 September 1929 dan berasal dari England, pernah terlibat dalam 66 perlumbaan Formula One sejak tahun 1951 sehingga 1961 bersama jentera berjenama Vanwall, Maserati dan Mercedes. Selama 10 tahun bersaing dalam 66 perlumbaan Formula One, Stirling Moss berjaya bergelar juara sebanyak 16 kali dan 24 kali pernah naik podium. Walau bagaimanapun, kehebatan Stirling Moss di dalam litar lumba masih belum mampu menjulang kejuaraan dunia Formula One sehingga ke penghujung karier.

Pada tahun 1955 sehingga 1958, Stirling Moss yang menamatkan saingan sepanjang musim di tempat ke-2 selama 4 tahun berturut-turut, dihalang untuk merasa menang kejuaraan dunia oleh musuh ketat dan rakan sepasukannya sendiri, juga merupakan salah seorang legenda Formula One yang disanjung sehinggi kini iaitu Juan Manuel Fangio.

Selepas Juan Manuel Fangio bersara pada tahun 1958, Stirling Moss sekali lagi kempunan untuk menang kejuaraan dunia apabila menamatkan saingan sepanjang musim pada tahun 1959 sehingga 1961 di tempat ke-3, 3 tahun berturut-turut, kali ni dihalang oleh seorang lagi legenda Formula One, Jack Brabham. Semasa Stirling Moss berada di puncak bersaing hebat dengan pelumba-pelumba Formula One lain yang kini digelar legenda antaranya Bruce McLaren, Jack Brabham dan Juan Manuel Fangio, takde siapa yang sangka tahun 1961 merupakan tahun terakhir Stirling Moss berlumba dalam perlumbaan Formula One.

Pada tahun 1962, sebelum bermulanya musim baru Formula One, Stirling Moss terlibat dalam satu kemalangan ngeri di litar lumba Goodwood yang menyebabkan kereta hampir remuk sepenuhnya sehingga mengambil masa selama 40 minit untuk mengeluarkan Stirling Moss yang tersepit dan tidak sedarkan diri. Stirling Moss terselamat daripada kemalangan tersebut bersama beberapa kecederaan yang serius antaranya luka di seluruh badan, tulang pipi hancur, kaki patah, kecederaan teruk di bahagian mata dan koma selama sebulan. Selepas sedar daripada koma, Stirling Moss lumpuh sebahagian badan selama 6 bulan.

Selepas pulih sepenuhnya pada tahun 1963, Stirling Moss akhirnya secara rasmi mengumumkan persaraan daripada dunia perlumbaan Formula One ketika berumur 34 tahun apabila gagal mencatat masa terbaik dalam sesi latihan di litar Goodwood, kali pertama kembali ke litar lumba selepas kejadian kemalangan ngeri. Pada 12 April 2020, legenda Formula One, Stirling Moss, berumur 90 tahun, disahkan meninggal dunia di London.

KATALAKI: Gelaran juara dunia belum tentu lagi boleh menentukan pelumba tersebut paling hebat atau tak. Kehebatan berlumba tu yang jadi penentu.

Last modified: 27 May 2020