Pemain Bola Sepak Dibunuh Sebab Gol Sendiri

Sembang

Negara-negara dari benua Amerika Selatan yang terdiri daripada Argentina, Brazil, Colombia, Paraguay dan Uruguay memang terkenal mempersembahkan corak permainan yang lincah dan melahirkan bintang-bintang bola sepak ternama dunia. Lionel Messi, Luis Suarez, Ronaldinho, Diego Maradona dan Edinson Cavani, semuanya dibesarkan dengan budaya bola sepak Amerika Selatan.

Walau bagaimanapun, dunia bola sepak benua Amerika Selatan terutama sekali di Colombia, pernah gempar dengan kontroversi yang melibatkan kes pembunuhan seorang pemain bola sepak profesional yang dikenali sebagai Andres Escobar, ditembak mati selepas dipersalahkan sebagai punca pasukan bola sepak kebangsaan Colombia tersingkir daripada kejohanan Piala Dunia FIFA 1994. Untuk mengelakkan korang membuat andaian sendiri, Andres Escobar takde kena-mengena dengan penjenayah terkenal, Pablo Escobar.

Secara kebetulan, juga dibesarkan di Madellin, Colombia seperti Pablo Escobar, Andres Escobar memulakan karier bola sepak di usia remaja bersama Atlético Nacional, seterusnya berpindah ke Young Boys dan kembali semula ke Atlético Nacional, sehingga terpilih untuk mewakili skuad kebangsaan Colombia di kejohanan Copa America 1989, Piala Dunia FIFA 1990, Copa America 1991 dan Piala Dunia FIFA 1994 di Amerika Syarikat, kejohanan terakhir Andres Escobar bersama skuad kebangsaan Colombia. Andres Escobar beraksi di bahagian pertahanan ketika membarisi skuad kebangsaan Colombia menentang pasukan tuan rumah, Amerika Syarikat dalam perlawanan kedua peringkat kumpulan A, Piala Dunia FIFA 1994. Semasa cuba menghalang hantaran lintang yang dilakukan oleh pihak lawan, Andres Escobar secara tidak sengaja tertendang bola masuk ke gawang gol sendiri, menjadikan kedudukan gol 1-0 berpihak kepada Amerika Syarikat. Wisel penamat ditiupkan, Amerika Syarikat menang dengan jaringan gol 2-1, Colombia terpaksa balik awal selepas gagal mara ke pusingan seterusnya di kejohanan Piala Dunia FIFA 1994.

Beberapa hari selepas skuad kebangsaan Colombia tersingkir daripada kejohanan Piala Dunia FIFA 1994 dan kembali ke tanah air, Andres Escobar ditemui bermandi darah di sebuah tempat letak kereta selepas ditembak oleh penjenayah, dipercayai berpunca daripada rasa tak puas hati dengan gol sendiri yang dijaringkan oleh Andres Escobar ketika menentang Amerika Syarikat. Andres Escobar yang berumur 27 tahun, disahkan meninggal dunia semasa menuju ke hospital.

Tak lama selepas Andres Escobar disahkan mati, seorang pengawal yang bekerja untuk kartel dadah di Colombia, Humberto Castro Munoz mengaku melakukan pembunuhan tersebut. Masa ni, seluruh rakyat Colombia yang kecewa dengan gol sendiri Andres Escobar, mula berasa sedih dan murung dengan kematian seorang pemain bola sepak yang berdisiplin dan terkenal dengan sikap positif di dalam padang, menjadi mangsa kekejaman di Colombia.

Humberto Castro Munoz yang mengaku bersalah di mahkamah, dikenakan hukuman penjara selama 43 tahun. Hukuman tersebut seterusnya dikurangkan kepada 26 tahun dan akhirnya, Humberto Castro Munoz dibebaskan selepas menjalani hukuman penjara selama 11 tahun, atas alasan berkelakuan baik.

KATALAKI: Betapa susah dan bahayanya kalau rasuah berleluasa dalam sesebuah negara. Rakyat yang merana.

Last modified: 3 August 2020