Pemain² Ternama Yang Pernah Beraksi Bersama Leeds United

Aktif, Bola, ZAP

Kelab Leeds United bukan lah nama baru dalam kancah liga bola sepak England. Baru-baru ni Leeds United semakin popular di kalangan peminat-peminat sukan bola sepak selepas Leeds United yang dipimpin oleh Marcelo Bielsa sebagai pengurus, berjaya menjadi juara Sky Bet Championship, secara automatik layak bersaing di Premier League untuk musim 2020/21 nanti.

Menurut sejarah, Leeds United dah pernah mencatat beberapa kejayaan yang membanggakan sebelum tiba-tiba hilang status sebagai kelab bola sepak elit Eropah antaranya pernah menang English Football League First Division (sebelum ditukarkan kepada Premier League) sebanyak 3 kali dan pernah beraksi di perlawanan akhir European Cup pada tahun 1975 (sebelum ditukarkan kepada UEFA Champions League), namun tewas kepada Bayern Munich dengan jaringan 2-0. Masa tu, Franz Beckenbauer merupakan ketua pasukan Bayern Munich.

Selain daripada sejarah kelab Leeds United yang penuh dengan liku dan kejayaan, sebenarnya Leeds United juga pernah menjadi tempat beberapa pemain bola sepak ternama mencipta nama. Ada pemain yang dikenali ramai ketika beraksi bersama Leeds United dan ada gak pemain yang semakin popular selepas berpindah keluar dari Leeds United. Sama ada korang dah lupa atau masih lagi tersemat dalam ingatan korang, ini antara pemain-pemain ternama yang pernah beraksi bersama Leeds United.

ERIC CANTONA

Walaupun Eric Cantona lebih popular sebagai legenda Manchester United, tapi kali pertama Eric Cantona menjejakkan kaki di England adalah ketika bersama Leeds United pada tahun 1992. Beraksi bersama Leeds United selama dua musim, Eric Cantona merupakan salah seorang pemain penting yang membantu Leeds United menjulang kejuaraan English Football League First Division musim 1991/92, sebelum Premier League mula diperkenalkan.

Belum sempat menamatkan musim kedua bersama Leeds United, Eric Cantona mula mencipta kontroversi di kalangan penyokong Leeds United apabila berita mengenai Eric Cantona dipancing oleh musuh ketat Leeds United iaitu Manchester United tular. 11 bulan menabur bakti kepada Leeds United, Eric Cantona akhirnya secara rasmi berpindah ke Manchester United di penghujung tahun 1992.

HARRY KEWELL

Berasal dari Australia, bakat Harry Kewell diasah oleh Leeds United sendiri sejak remaja sebelum diberi peluang untuk beraksi buat pertama kali bersama pasukan senior pada tahun 1996, ketika berumur 17 tahun. Selama 8 tahun bersama Leeds United, Harry Kewell pernah menerima anugerah PFA Young Player of the Year untuk musim 1999/00 sehingga pernah dipancing oleh beberapa kelab ternama Eropah, tapi ditolak.

Pada tahun 2003, Harry Kewell sekali lagi digoda oleh beberapa kelab ternama Eropah selepas prestasi Leeds United mula merudum di Premier League, kali ni tawaran diterima daripada kelab yang disokong oleh Harry Kewell sejak kecil iaitu Liverpool. Harry Kewell akhirnya sah bergelar pemain Liverpool sebelum bermulanya musim 2003/04 dan diberikan jersi nombor 7.

JIMMY FLOYD HASSELBAINK

Lebih dikenali sebagai penyerang legenda Chelsea, tapi Jimmy Floyd Hasselbaink mula mencipta nama sebagai penyerang yang tajam ketika beraksi bersama Leeds United pada tahun 1997, kali pertama menjejakkan kaki di Premier League.

Musim ke-2 bersama Leeds United, Jimmy Floyd Hasselbaink berjaya berdiri setanding Michael Owen dan Dwight Yorke untuk berkongsi anugerah penjaring terbanyak Premier League untuk musim 1998/99, sebelum dijual kepada Atletico Madrid dan seterusnya menjadi penyerang utama Chelsea.

RIO FERDINAND

Walaupun Manchester United merupakan musuh ketat Leeds United di England, tapi Leeds United boleh dikira sebagai lubuk bakat pemain bola sepak ternama dunia yang selalu dipancing oleh Manchester United untuk mendapatkan pemain-pemain bermutu. Selain daripada Eric Cantona dan Alan Smith, Rio Ferdinand juga pernah beraksi di Leeds United pada tahun 2000 sehingga 2002 sebelum dibeli oleh Manchester United.

Bersama Leeds United selama 2 musim, Rio Ferdinand pernah menjadi pemain penting Leeds United untuk melayakkan diri bertanding di perlawanan separuh akhir UEFA Champions League pada tahun 2001 dan pernah menggalas tugas ketua pasukan selama satu musim sebelum berpindah ke Manchester United.

KATALAKI: Leeds United ambik masa selama 16 tahun untuk buat comeback di Premier League.

Last modified: 22 July 2020