Penemuan Pertama Manusia Berkulit Biru

Sembang, ZAP, ZeKool

Bukan lagi benda yang pelik kalau cakap pasal manusia berkulit biru. Sebab sebelum ni pun kita dah pernah didedahkan dengan watak-watak daripada filem popular yang mempunyai kulit berwarna biru menerusi kemunculan watak Yondu, Beast, Nebula atau Mystique. Tapi korang tahu tak sebenarnya, kat dunia ni memang betul-betul wujud manusia berkulit biru?

Pada tahun 2008, seorang lelaki yang dikenali sebagai Paul Karason pernah mengejutkan orang ramai apabila membuat kemunculan istimewa dalam sebuah rancangan temu bual yang ditayangkan di TV, menampilkan Paul Karason sebagai seorang manusia yang mempunyai kulit berwarna biru di seluruh badan. Apa sebenarnya yang terjadi kepada Paul Karason?

Paul Karason bukan lah seorang manusia yang dilahirkan dengan kulit berwarna biru semasa bayi. Tapi, perubahan warna kulit mula berlaku kepada Paul Karason selepas Paul Karason sendiri mengaku yang dirinya mengamalkan pengambilan sejenis minuman yang berasaskan logam perak, dikenali sebagai Colloidal Silver, dengan harapan tahap kesihatan dirinya akan semakin meningkat. Bukan je minum, Paul Karason juga menyapu Colloidal Silver di bahagian muka untuk merawat masalah penyakit kulit yang pernah dihidapinya. Selepas bertahun-tahun mengamalkan pengambilan Colloidal Silver, akhirnya seluruh badan Paul Karason bertukar menjadi warna biru, yang digelar sebagai Argyria.

Argyria adalah sejenis keadaan yang menyebabkan kulit manusia bertukar menjadi biru atau kelabu, berpunca daripada manusia tersebut yang terdedah kepada logam perak atau serbuk perak secara berlebihan atau dalam tempoh masa yang lama. Buat masa ni, Argyria tidak digelar sebagai sejenis penyakit dan tidak menyebabkan kematian. Walau bagaimanapun, Argyria masih mampu memberi impak yang serius kepada manusia.

Pada tahun 2017, pelakon popular yang pernah memegang watak sebagai isteri kepada Tony Stark, Gwyneth Paltrow pernah mengaku mengamalkan penggunaan Colloidal Silver untuk menjauhkan diri daripada kuman dan virus dengan cara menyemburkan Colloidal Silver di kerusi tempat duduk awam semasa melancong, ke udara dan ke dalam mulut. Sekarang ni, sama ada penggunaan Colloidal Silver betul-betul memberikan kebaikan manusia atau sebaliknya, masih lagi diperbalahkan. Tapi memang dah terbukti, penggunaan Colloidal Silver boleh memberikan kesan sampingan yang serius kepada manusia iaitu Argyria, perubahan warna kulit menjadi biru atau kelabu yang berkekalan selama-lamanya.

KATALAKI: Selain daripada duit syiling, logam perak juga digunakan dalam bidang perubatan, fotografi dan makanan.

Last modified: 3 August 2020