Pengadil Paling Garang Sepanjang Zaman

Aktif, Bola, ZAP, ZeKool

Majoriti peminat bola sepak generasi kini mesti kenal siapa Pierluigi Collina. Digelar pengadil paling berwibawa dan garang sepanjang zaman, Pierluigi Collina kini dah bersara daripada terlibat sebagai pengadil perlawanan bola sepak tapi masih lagi terlibat dalam bidang bola sepak.

Pierluigi Collina yang berasal dari Itali, memulakan karier sebagai pengadil perlawanan bola sepak pada tahun 1991 apabila mula terlibat untuk mengadili perlawanan Serie B dan seterusnya Serie A di Itali. Selama 4 tahun pengalaman menjadi pengadil di Itali, Pierluigi Collina mula diberi kepercayaan untuk mengadili perlawanan yang lebih berprestij di peringkat Eropah dan antarabangsa.

Pada tahun 1996, Pierluigi Collina diberikan tanggungjawab untuk menjadi pengadil utama kepada 4 perlawanan sukan Olimpik yang berlangsung di Amerika Syarikat, melibatkan perlawanan peringkat kumpulan, suku akhir dan akhir. Kali pertama nama Pierluigi Collina mula naik di serata dunia berlaku pada tahun 1999 apabila ditugaskan untuk menjadi pengadil utama kepada perlawanan akhir UEFA Champions League antara Bayern Munich dan Manchester United.

Dikenali ramai dengan imej botak dan mata yang garang, Pierluigi Collina sekali lagi terlibat dalam perlawanan bola sepak paling penting pada tahun 2002 iaitu perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2002 yang berlangsung di Jepun, melibatkan pasukan Jerman dan Brazil.

Selepas berbakul-bakul pujian yang diterima daripada mutu pengadilan yang ditampilkan dalam beberapa perlawanan Piala Dunia FIFA 2002, Pierluigi Collina dipilih untuk menjadi cover image permainan video paling popular suatu ketika dahulu, Pro Evolution Soccer 3 atau juga dikenali sebagai Winning Eleven 7 pada tahun 2003. Pierluigi Collina sekali lagi digunakan sebagai cover image untuk Pro Evolution Soccer 4 pada tahun 2004. Satu-satunya pengadil yang pernah terpilih untuk jadi cover image kepada sebarang produk permainan video sehingga kini.

Pada tahun 2005, Pierluigi Collina secara rasmi bersara daripada bertugas sebagai pengadil utama perlawanan bola sepak dan kini, Pierluigi Collina merupakan salah seorang ahli jawatankuasa pengadil UEFA dan pengerusi ahli jawatankuasa pengadil FIFA.

KATALAKI: Lepas Pierluigi Collina bersara, sekarang ni pengadil yang popular sebab selalu kena troll adalah Mike Dean. Korang boleh baca pasal Mike Dean kat sini.

Last modified: 28 February 2020