Penghuni Terawal Penjara Alcatraz

Sembang

Sejauh mana pengetahuan korang mengenai penjara paling popular di dunia yang dikenali sebagai Alcatraz Federal Penitentiary, terletak di California, Amerika Syarikat? Penjenayah terkenal yang pernah dihantar ke penjara Alcatraz untuk menjalani hukuman termasuk lah Al Capone, Machine Gun Kelly dan Roy Gardner yang popular dengan gelaran King of the Escape Artists. Tapi, korang tahu tak siapa penjenayah pertama yang menjejakkan kaki ke dalam penjara Alcatraz?

Sebelum Alcatraz Federal Penitentiary secara rasmi dibuka pada 11 Ogos 1934 untuk menghimpunkan penjenayah-penjenayah paling bahaya di Amerika Syarikat, penjara Alcatraz dijadikan sebagai pusat tahanan tentera Amerika Syarikat sejak tahun 1868, dihuni oleh pesalah tentera Amerika Syarikat yang melakukan pelbagai jenis jenayah antaranya jenayah rogol, rompakan dan pembunuhan. Pada tahun 1933, penjara Alcatraz seterusnya dibeli oleh Department of Justice, Amerika Syarikat, untuk menjadikan penjara Alcatraz sebagai sebuah penjara yang mempunyai tahap keselamatan paling maksimum, mengumpulkan penjenayah yang paling kejam dan penjenayah yang pernah meloloskan diri dari penjara lain dalam satu tempat yang sama.

Pada 11 Ogos 1934, kumpulan pertama yang terdiri daripada 137 orang penjenayah kejam yang pernah terlibat dalam jenayah rompakan bank, pembunuhan, liwat dan pemalsuan wang dibawa masuk ke dalam penjara Alcatraz, menandakan bermulanya operasi Alcatraz Federal Penitentiary. George Kerr yang pernah merompak sebuah pejabat pos, Frank Thurman yang pernah lari dari tahanan polis sebanyak 3 kali dan John Stadig yang pernah memalsukan wang dan lari dari penjara, antara penjenayah terawal yang check-in di penjara Alcatraz. Bulan seterusnya, beberapa lagi penjenayah kejam dan popular di seluruh dunia, dibawa masuk ke dalam penjara Alcatraz iaitu Al Capone dan Machine Gun Kelly.

Selepas 3 tahun beroperasi, penjara Alcatraz yang dikawal ketat oleh pegawai-pegawai penjara, tiba-tiba dikejutkan dengan berita seorang banduan yang membunuh diri, mencipta sejarah baru, banduan pertama yang berjaya membunuh diri dalam penjara Alcatraz. Banduan tersebut dikenali sebagai Edward Wutke, dihukum penjara selama 27 tahun atas kesalahan membunuh. Apa yang dilakukan oleh Edward Wutke untuk membunuh diri adalah dengan cara mengelar lehernya sendiri menggunakan bilah tajam yang diambil daripada penajam pensel.

Sejak penjenayah-penjenayah ekstrem mula ditempatkan di penjara Alcatraz, sebanyak 14 cubaan lari dari penjara Alcatraz pernah berlaku, tapi hanya 3 orang banduan yang berjaya lolos. 3 orang banduan tersebut dikenali sebagai Frank Morris, John Anglin dan Clarence Anglin, meloloskan diri dan meninggalkan penjara Alcatraz menggunakan sebuah rakit yang dibina daripada 50 helai baju hujan. Walau bagaimanapun, ketiga-tiga banduan tersebut masih lagi tak berjaya ditangkap semula sehingga kini dan takde siapa yang tahu sama ada Frank Morris, John Anglin dan Clarence Anglin masih hidup atau tak selepas meninggalkan penjara Alcatraz menggunakan rakit.

Selepas 29 tahun beroperasi, Alcatraz Federal Penitentiary akhirnya memberhentikan operasi sepenuhnya disebabkan kos operasi yang terlalu tinggi. Sekarang ni, penjara Alcatraz dijadikan sebuah muzium, dibuka kepada orang awam untuk melawat sebuah penjara yang pernah menempatkan penjenayah-penjenayah popular dan kejam.

KATALAKI: Kalau korang berpeluang melancong ke California, Amerika Syarikat, rugi kalau korang tak singgah melawat penjara Alcatraz.

Last modified: 19 August 2020