Perogol Kanak-Kanak Malaysia, Dibunuh

Sembang


Pada tahun 2016, Richard Huckle yang berasal dari United Kingdom, menerima 22 hukuman penjara seumur hidup selepas didapati bersalah melakukan jenayah seksual melibatkan kanak-kanak di Malaysia dan di beberapa lagi negara Asia Tenggara sejak tahun 2006 sehingga 2014. Selepas 3 tahun ditempatkan di penjara Full Sutton, Yorkshire, England, Richard Huckle dijumpai mati berlumuran darah akibat ditikam berkali-kali oleh banduan lain.

Penangkapan Richard Huckle berlaku pada 19 Disember 2014 di lapangan terbang Gatwick, London apabila pihak polis Britain menerima laporan dan arahan daripada pihak polis Australia yang menjalankan siasatan terperinci mengenai penglibatan Richard Huckle dalam kegiatan jenayah mengeksploitasi kanak-kanak secara atas talian. Ketika ditahan dan disoal siasat, semua peralatan teknologi yang dimiliki oleh Richard Huckle termasuk kamera, komputer riba, handphone dan hard disk, dirampas.

Semasa dibicarakan di mahkamah, semua kesalahan dan jenayah yang dilakukan oleh Richard Huckle didedahkan dengan mendalam buat pertama kali bersama bukti-bukti yang berjaya dikumpul oleh pihak pendakwa. Antara bukti dan tuduhan yang didedahkan termasuk mendera dan merogol kanak-kanak bawah umur 12 tahun, memiliki dan menyebarkan bahan pornografi kanak-kanak dan mencipta sebuah buku manual pedofilia yang bertajuk Paedophiles And Poverty: Child Lover Guide. Pihak pendakwa juga berjaya membongkar identiti 29 orang kanak-kanak yang menjadi mangsa rogol bersama lebih daripada 20,000 gambar dan video yang disimpan dalam komputer riba milik Richard Huckle yang dirampas selepas mendarat di lapangan terbang Gatwick dari Malaysia.

Semasa berada di Malaysia sekitar tahun 2005 sehingga 2010, Richard Huckle bertugas sebagai salah seorang sukarelawan yang terlibat dalam pelbagai aktiviti komuniti, mengajar Bahasa Inggeris kepada kanak-kanak, dalam masa yang sama, juga seorang jurugambar bebas. Memiliki kelayakan untuk mengajar Bahasa Inggeris, Richard Huckle menggunakan kelebihan tersebut untuk mendekatkan diri dengan kanak-kanak, sebelum mula melakukan kejahatan kepada kanak-kanak tersebut. Richard Huckle juga dikatakan menggunakan kanak-kanak sebagai mangsa untuk mempromosikan perniagaannya yang dijalankan secara atas talian di dark web, iaitu menjual bahan pornografi kanak-kanak. Pada 6 Jun 2016, Richard Huckle yang berumur 30 tahun, akhirnya dijatuhkan 22 hukuman penjara seumur hidup selepas mengaku bersalah terhadap 71 pertuduhan yang diterima. Pada 13 Oktober 2019, Richard Huckle disahkan mati dibunuh selepas ditikam bertubi-tubi oleh banduan lain ketika menjalani hukuman di penjara Full Sutton.

KATALAKI: Kini, Richard Huckle digelar sebagai seorang pedofilia terkeji dan terburuk di Britain.

Last modified: 4 September 2020